Antarabangsa
Kajian antarabangsa dedah akaun media sosial menyamar Muslim burukkan komuniti Islam
- Antara kajian dan laporan itu adalah daripada penyelidik Universiti Cornell yang menemui rangkaian akaun bot berbahasa Arab yang mempromosikan kebencian di platform X.
- Menurut organisasi DISA, dari tahun 2014 hingga 2025, terdapat banyak kes di India di mana individu yang dikaitkan gerakan nasionalis Hindu yang mencipta identiti Muslim palsu untuk mengancam, menghasut keganasan dan menyebarkan fitnah terhadap komuniti Islam.
- Laporan Axios (2017) pula mendedahkan bahawa ejen Rusia pernah menyamar sebagai Muslim Amerika di Facebook untuk mencampuri urusan sosial dan politik negara tersebut.
CALIFORNIA – Beberapa kajian akademik dan laporan siasatan antarabangsa membongkar taktik terancang pihak bukan Muslim yang mencipta akaun media sosial palsu yang menyamar sebagai Muslim bagi menyebarkan kebencian, memperburuk imej Islam dan mencetuskan ketegangan antara komuniti.
Kajian dan laporan berkenaan yang dipetik Reverts Network menunjukkan bagaimana akaun-akaun palsu tersebut menyebarkan maklumat salah, provokasi agama dan propaganda ekstremis dengan niat mencemar reputasi umat Islam dan menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat.
Antaranya, sebuah siasatan organisasi Clean Up the Internet yang berpangkalan di United Kingdom membongkarkan tindakan pelaku-pelaku berhaluan kanan di Denmark telah mewujudkan halaman Facebook palsu yang menyamar sebagai kumpulan Islam radikal.
Halaman itu menyebarkan kandungan provokatif bagi menimbulkan kemarahan terhadap umat Islam dan pelarian, sambil membuatkan orang ramai percaya bahawa kandungan tersebut datang daripada Muslim sendiri.
Di platform X, penyelidik dari Universiti Cornell pula menemui rangkaian akaun bot berbahasa Arab yang mempromosikan kebencian. Kajian menunjukkan akaun-akaun itu menggunakan identiti Muslim palsu untuk menyebarkan retorik kebencian secara sistematik.
Menurut Disinformation and Information Security Alliance (DISA), dari tahun 2014 hingga 2025, terdapat banyak kes di India di mana individu yang dikaitkan dengan gerakan nasionalis Hindu mencipta identiti Muslim palsu untuk mengancam, menghasut keganasan dan menyebarkan fitnah terhadap komuniti Islam. Tujuannya, mewujudkan ketegangan agama dan mencetuskan rusuhan antara kaum.
Kajian yang diterbitkan dalam Journal of International Affairs oleh Bradshaw dan Howard (2018) pula menunjukkan kempen media sosial bersifat global dan sering melibatkan manipulasi identiti agama demi tujuan politik.
Sementara itu, kajian Mujiburrahman & Anshori (2021) dalam Academy of Strategic Management Journal menekankan bagaimana polarisasi ideologi Islam turut dimanipulasi untuk menyebarkan hoaks dan kebencian di platform seperti Twitter.
Laporan Axios (2017) pula mendedahkan bahawa ejen Rusia pernah menyamar sebagai Muslim Amerika di Facebook untuk mencampuri urusan sosial dan politik negara tersebut.
Dalam pada itu, laporan oleh The Guardian (2024) pula membongkar bagaimana dakwaan palsu mengenai serangan pisau di Southport disebarkan pantas melalui akaun-akaun palsu berimej Muslim.
Penyelidik dari StopFake.org pula mendapati banyak hantaran berunsur Islamofobia bukan berasal daripada umat Islam sendiri, tetapi daripada akaun bot dan “sockpuppet”, identiti palsu yang sengaja diwujudkan untuk mencetuskan provokasi.
Kajian berkenaan menunjukkan hanya sebahagian kecil akaun tersebut adalah benar-benar tulen, selebihnya palsu atau automatik.
Penemuan-penemuan itu menuntut masyarakat untuk lebih berhati-hati dalam menerima dan menyebarkan maklumat di media sosial.
Ini kerana identiti dalam talian semakin mudah dimanipulasi, dan kebencian boleh disebarkan oleh pihak-pihak tertentu yang menyembunyikan agenda perkauman atau politik.
Penggunaan akaun palsu untuk memburukkan sesuatu agama bukan sahaja merosakkan perpaduan sosial, tetapi juga mencetuskan sentimen ekstremisme yang membahayakan keamanan dan keharmonian antara komuniti. — The Merdeka Times