Antarabangsa
Tokoh agama Hindu kritik perasmian Parlimen India tanpa kehadiran lembu hidup
- “Kalau patung lembu boleh masuk ke Parlimen, mengapa tidak lembu hidup?” soal tokoh agama Hindu terkenal, Shankaracharya Avimukteshwaranand dalam satu sidang media pada Ahad.
- Beliau turut menggesa kerajaan negeri Maharashtra untuk merangka satu protokol rasmi bagi penghormatan kepada lembu.
NEW DELHI — Tokoh agama Hindu terkenal, Shankaracharya Avimukteshwaranand, mengkritik majlis perasmian bangunan baharu Parlimen India yang tidak melibatkan kehadiran lembu hidup, walaupun simbol lembu digunakan dalam upacara tersebut.
“Kalau patung lembu boleh masuk ke Parlimen, mengapa tidak lembu hidup?” soal beliau dalam satu sidang media pada Ahad.
Beliau merujuk kepada Sengol, tongkat simbolik yang dipegang oleh Perdana Menteri Narendra Modi ketika memasuki bangunan Parlimen baharu yang turut mempunyai ukiran lembu pada permukaannya.
“Seekor lembu sebenar sepatutnya dibawa masuk ke dalam bangunan untuk memberikan restu. Jika masih ada masa, kami akan bawa lembu dari seluruh negara ke Parlimen,” tegasnya.
Sengol kini dipasang secara kekal di Dewan Lok Sabha.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa kerajaan negeri Maharashtra untuk merangka satu protokol rasmi bagi penghormatan kepada lembu.
“Negeri ini belum umumkan cara sebenar untuk menghormati lembu. Sepatutnya ada garis panduan yang jelas, dan juga hukuman jika ia dilanggar,” katanya.
Shankaracharya turut mencadangkan agar setiap kawasan pilihan raya di India dibina sebuah Ramadham iaitu tempat perlindungan khas yang menempatkan sekurang-kurangnya 100 ekor lembu.
Sebanyak 4,123 buah Ramadham dirancang akan dibina di seluruh negara.
Tempat ini, menurutnya, akan berfungsi sebagai pusat penjagaan harian lembu, perlindungan baka tempatan, serta pemuliharaan tradisi keagamaan.
Shankaracharya menyeru rakyat hanya memilih calon pilihan raya yang memperjuangkan nasib lembu dan undang-undang yang melindungi haiwan itu.
“Kerajaan sekarang masih belum memuaskan kami. Penyembelihan lembu mesti dihentikan sepenuhnya di India,” katanya.
“Adalah sesuatu yang melucukan apabila kerajaan meraikan Amrit Kaal (era kemakmuran) sedangkan lembu yang membekalkan susu kepada kita sedang disembelih. Pemimpin yang tidak menyokong lembu tidak layak digelar saudara kita,” katanya menutup kenyataan. -The Merdeka Times