Antarabangsa
KEADILAN gesa kerajaan terus teguh sokong Palestin merdeka, Tidak tunduk tekanan luar
- Pengerusi Biro Antarabangsa KEADILAN, Dr Maszlee Malik berkata, penyelesaian sebenar terhadap konflik berpanjangan antara Palestin dan Israel tidak akan dapat dicapai selagi rejim Zionis terus melanggar undang-undang antarabangsa dan mengekalkan pendudukan haram di wilayah Palestin.
- “Kami percaya bahawa penyelesaian sebenar kepada krisis ini hanya dapat dicapai sekiranya Israel mematuhi sepenuhnya undang-undang antarabangsa dan menghentikan pendudukan haram di wilayah Palestin,” katanya dalam kenyataan media berhubung Deklarasi New York yang dibentangkan oleh Perancis dan Arab Saudi di PBB pada 30 Julai lalu.
- KEADILAN mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan untuk mengambil pendirian berkecuali (abstain) sekiranya terdapat klausa dalam deklarasi yang bercanggah dengan dasar luar Malaysia atau prinsip keadilan antarabangsa.
PETALING JAYA — Biro Antarabangsa Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) menggesa kerajaan Malaysia supaya kekal teguh dengan pendirian menyokong penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka, berdaulat dan diiktiraf sepenuhnya di peringkat antarabangsa, selaras dengan Resolusi 242 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang diluluskan pada tahun 1967.
Pengerusinya, Dr Maszlee Malik berkata, penyelesaian sebenar terhadap konflik berpanjangan antara Palestin dan Israel tidak akan dapat dicapai selagi rejim Zionis terus melanggar undang-undang antarabangsa dan mengekalkan pendudukan haram di wilayah Palestin.
“Kami percaya bahawa penyelesaian sebenar kepada krisis ini hanya dapat dicapai sekiranya Israel mematuhi sepenuhnya undang-undang antarabangsa dan menghentikan pendudukan haram di wilayah Palestin,” katanya dalam kenyataan media berhubung Deklarasi New York yang dibentangkan oleh Perancis dan Arab Saudi di PBB pada 30 Julai lalu.
Deklarasi tersebut mencadangkan pelaksanaan semula formula Two-State Solution (2SS) sebagai jalan penyelesaian, namun antara syarat utamanya ialah Hamas perlu meletakkan senjata dan menyerahkan pentadbiran Gaza kepada Pihak Berkuasa Palestin (PA).
Mengulas syarat itu, Dr Maszlee menegaskan bahawa KEADILAN melihatnya sebagai tuntutan berat sebelah yang tidak mengikat Israel kepada sebarang komitmen undang-undang, sekali gus mencerminkan ketidakseimbangan dalam pendekatan penyelesaian konflik.
“Pelaksanaan 2SS telah berkali-kali gagal bukan kerana penolakan rakyat Palestin, tetapi kerana keengganan Israel untuk tunduk kepada resolusi PBB dan prinsip keadilan antarabangsa,” jelasnya.
Tambah beliau, Malaysia mesti berpegang teguh pada prinsip kedaulatan rakyat Palestin dan tidak tunduk kepada tekanan luar dalam menentukan nasib mereka.
Sebarang perubahan pentadbiran di Gaza juga, katanya, mestilah melalui proses pilihan raya yang bebas dan adil, serta diselia oleh badan-badan antarabangsa, bukan ditentukan oleh kuasa luar.
Biro Antarabangsa KEADILAN turut mengingatkan bahawa pendirian rasmi Malaysia terhadap Deklarasi New York perlu mengambil kira tiga perkara utama:
- Komitmen Malaysia terhadap undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia;
- Keseimbangan antara keperluan diplomasi global dan sentimen rakyat Malaysia;
- Memastikan semua pihak termasuk Israel dipertanggungjawabkan atas pelanggaran undang-undang antarabangsa.
Sehubungan itu, KEADILAN mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan untuk mengambil pendirian berkecuali (abstain) sekiranya terdapat klausa dalam deklarasi yang bercanggah dengan dasar luar Malaysia atau prinsip keadilan antarabangsa.
“Kami menyokong sepenuhnya proses damai dan penamatan krisis kemanusiaan di Palestin, tetapi ia mesti dibina atas landasan keadilan dan kepatuhan kepada undang-undang antarabangsa,” tegas Dr Maszlee. -The Merdeka Times