Terkini
(VIDEO) Penduduk Kampung Sungai Baru tidak mampu tanggung kos hidup di kondo baharu – Rafidah Ibrahim
- Menurut Rafidah Ibrahim, ramai penduduk kampung tersebut adalah penerima zakat, bantuan baitulmal dan golongan asnaf yang kini bakal berpindah ke unit kondominium bertaraf tinggi.
- “Ceritanya memang indah. Penduduk daripada rumah flat, kiranya nak di-upgrade jadi penduduk kondominium. Masa rumah flat, penyelenggaraan RM35, bawah RM50 pun masih ramai yang ada tunggakan. Ini kan pula bila kata yang bercita-cita nak duduk dekat kondo,” jelas Rafidah.
- Rafidah turut menyoal nasib warga tua yang hanya menerima bantuan RM300 sebulan tetapi terpaksa membayar jumlah sama untuk yuran penyelenggaraan.
KUALA LUMPUR – Penduduk asal Kampung Sungai Baru dijangka tidak mampu menanggung kos kehidupan di kondominium baharu yang disediakan pemaju, menurut aktivis tempatan Rafidah Ibrahim dalam wawancara bersama The Merdeka Times hari ini.
Menurut beliau, ramai penduduk kampung tersebut adalah penerima zakat, bantuan baitulmal dan golongan asnaf yang kini bakal berpindah ke unit kondominium bertaraf tinggi.
Namun, kos penyelenggaraan minimum sebanyak RM300 sebulan dilihat tidak selari dengan kemampuan kewangan penduduk asal.
“Ceritanya memang indah. Penduduk daripada rumah flat, kiranya nak di-upgrade jadi penduduk kondominium. Masa rumah flat, penyelenggaraan RM35, bawah RM50 pun masih ramai yang ada tunggakan. Ini kan pula bila kata yang bercita-cita nak duduk dekat kondo,” jelas Rafidah.
Tambah beliau, penduduk yang majoritinya warga emas dan pesara akan berdepan kesukaran besar apabila segala kos perlu ditanggung sendiri selepas tempoh pemindahan sementara berakhir.
Ketika ini, mereka masih tinggal di kondominium sementara di Kerinchi yang semua kosnya ditanggung pemaju.
“Maintenance dia, lagi-lagi dekat tengah KL ni… bila dah upgrade, dia dah naik. Tanah pun dah jadi premium. Dia punya maintenance akan jadi tak kurang daripada RM300. Itu saya boleh cakap, tak kurang daripada RM300,” katanya.
Rafidah turut menyoal nasib warga tua yang hanya menerima bantuan RM300 sebulan tetapi terpaksa membayar jumlah sama untuk yuran penyelenggaraan.
“Habis makcik-makcik, pakcik-pakcik ni nak makan apa lepas ni?,” soal Rafidah.
Sebagai waris dan anak jati Kampung Sungai Baru, Rafidah menyuarakan komitmennya untuk mempertahankan kampung dan tanah asal penduduknya.
Beliau turut menyeru semua pihak tertindas untuk tampil dan mendapatkan bantuan, kerana menurutnya, pengalaman di kampung tersebut boleh dijadikan pedoman untuk memperjuangkan hak komuniti lain yang menghadapi nasib serupa.
“Saya akan bawa mereka ni, yang ada pengetahuan, yang ada kepakaran masing-masing, untuk kita selamatkan tanah Melayu. Ataupun tanah mereka yang ditindas, untuk kita tahu hak kita dan kita pertahan dan perjuangkan hak kita,” katanya.
Rafidah juga mendakwa telah disaman hampir RM1 juta oleh pihak tertentu dalam usaha menyekat suaranya. Namun, beliau menegaskan tidak akan berundur daripada memperjuangkan hak rakyat.
“Saya tak akan berhenti untuk menegakkan kebenaran dekat sini. Saya akan perjuangkan bukan sahaja hak saya, tetapi hak semua yang tertindas bukan sahaja orang Melayu, orang Islam, tetapi keseluruhan rakyat Malaysia yang tertindas,” tegasnya.
Isu pembangunan semula Kampung Sungai Baru timbul apabila kawasan perkampungan itu yang terletak di tengah ibu kota dicadangkan untuk dibangunkan semula oleh pihak pemaju.
Penduduk asal ditawarkan unit kondominium sebagai pampasan perpindahan namun proses ini telah mencetuskan pelbagai reaksi.
Penduduk Kampung Sungai Baru juga telah mengadakan perarakan dari Masjid Jamek ke pejabat Suhakam menuntut campur tangan kerajaan untuk menghentikan pengambilalihan tanah mereka yang didakwa berlaku secara paksa dan tidak berperlembagaan, serta menuntut siasatan rasmi terhadap isu tersebut. -The Merdeka Times