Antarabangsa
Syria kecam serangan Israel, desak PBB tegakkan undang-undang antarabangsa
- Damascus menuduh Israel sengaja bertindak demikian untuk menggugat kestabilan negara yang sedang berusaha pulih daripada kesan peperangan.
- Serangan tersebut berlaku selepas beberapa hari insiden pertempuran antara kumpulan Druze dan puak Badwi di bandar selatan Suwayda, yang telah mencetuskan ketegangan di rantau itu.
- Syria menyeru PBB dan masyarakat antarabangsa supaya mengecam serangan itu dan bertindak segera bagi menegakkan prinsip kedaulatan dan keadilan sejagat.
DAMSYIK – Kementerian Luar Syria mengutuk sekeras-kerasnya serangan udara yang dilancarkan oleh Israel ke atas wilayahnya, menyifatkan tindakan itu sebagai “pelanggaran terang-terangan terhadap kedaulatan dan undang-undang antarabangsa”.
Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di platform media sosial X, kerajaan Syria mendakwa bahawa pencerobohan pengkhianat oleh Israel itu menyasarkan kedudukan tentera kerajaan di wilayah Syria.
Damascus menuduh Israel sengaja bertindak demikian untuk menggugat kestabilan negara yang sedang berusaha pulih daripada kesan peperangan.
Serangan tersebut berlaku selepas beberapa hari insiden pertempuran antara kumpulan Druze dan puak Badwi di bandar selatan Suwayda, yang telah mencetuskan ketegangan di rantau itu.
Menurut kenyataan Kementerian Luar Syria, serangan Israel itu adalah satu tindakan terancang yang bertujuan untuk melemahkan kestabilan negara dan memecah-belahkan perpaduan rakyat Syria.
Damsyik menegaskan bahawa Israel perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap serangan tersebut dan kesan-kesannya, sambil menyifatkannya sebagai satu tindakan jenayah yang menyalahi undang-undang antarabangsa.
Sehubungan itu, Syria menyeru Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat antarabangsa supaya mengecam serangan itu dan bertindak segera bagi menegakkan prinsip kedaulatan dan keadilan sejagat.
Dalam kenyataan yang sama, Syria juga menegaskan haknya untuk mempertahankan tanah air dan rakyatnya dengan segala cara yang dibenarkan oleh undang-undang antarabangsa.
Tindakan Israel itu dikatakan menambah lagi ketegangan di rantau yang sudah sedia bergolak, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap potensi konflik lebih besar yang melibatkan kuasa-kuasa luar. -The Merdeka Times