Connect with us

Antarabangsa

Ibu di China jual dua anak untuk hidup mewah

Published

on

Foto: Wanita yang dikenali sebagai Huang, 26
  • Wanita yang dikenali sebagai Huang dari wilayah Guangxi mencetuskan kemarahan orang ramai selepas didapati menjual dua anak kandungnya demi memberikan ganjaran kepada hos penstriman langsung serta membeli pakaian mewah untuk diri sendiri.
  • Pada 8 Julai, Mahkamah Rakyat Daerah Jin’an, Fuzhou menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dua bulan terhadap Huang atas kesalahan penipuan dan pemerdagangan, selain denda sebanyak 30,000 yuan (RM21,000).

 

CHINA – Seorang wanita berusia 26 tahun di China mencetuskan kemarahan orang ramai selepas didapati menjual dua anak kandungnya demi memberikan ganjaran kepada hos penstriman langsung serta membeli pakaian mewah untuk diri sendiri.

Wanita yang dikenali sebagai Huang dari wilayah Guangxi, hanya memiliki pendidikan rendah dan berpindah ke Fuzhou di wilayah Fujian untuk bekerja secara sambilan.

Beliau didakwa merupakan anak angkat yang kurang mendapat perhatian daripada keluarga angkatnya dan meninggalkan rumah pada usia muda.

Pada Oktober 2020, Huang melahirkan anak lelaki pertamanya.  Namun, disebabkan tekanan kewangan, beliau memutuskan untuk menjual anak tersebut.

Melalui bantuan tuan rumahnya, Wei, beliau diperkenalkan kepada Li, seorang individu yang ingin mengambil anak angkat untuk anaknya yang tidak subur. Anak lelaki itu dijual kepada keluarga Li pada harga 45,000 yuan (RM32,000).

Wang hasil penjualan anak tersebut digunakan sepenuhnya untuk memberi ganjaran kepada hos strim langsung dan membeli pakaian.

Apabila kehabisan wang, Huang mengambil keputusan lebih ekstrem dengan mencari lelaki untuk tujuan hubungan seks semata-mata bagi melahirkan anak kedua untuk dijual.

Pada 2022, Huang melahirkan anak lelaki kedua bernama Guyu dan menjualnya kepada seorang broker pada harga 38,000 yuan (RM27,000), yang kemudian menjual bayi itu semula pada harga 103,000 yuan (RM73,000).

Wang tersebut juga digunakan untuk pembelian barangan mewah dan pemberian ganjaran atas talian.

Pada 13 April 2022, Huang dilaporkan kepada pihak berkuasa atas dakwaan penipuan. Siasatan polis menemukan bukti perbualan dalam telefon bimbitnya berkaitan urusan penjualan kanak-kanak.

Kedua-dua kanak-kanak itu berjaya diselamatkan dan kini di bawah jagaan Jabatan Hal Ehwal Awam tempatan sementara menunggu proses pengambilan anak angkat.

Pada 8 Julai, Mahkamah Rakyat Daerah Jin’an, Fuzhou menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dua bulan terhadap Huang atas kesalahan penipuan dan pemerdagangan, selain denda sebanyak 30,000 yuan (RM21,000).

Li dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan yang digantung selama setahun, manakala Wei dihukum tujuh bulan penjara.

Kes ini telah mencetuskan kemarahan dalam talian dengan ramai pengguna media sosial menuntut hukuman lebih berat, mempersoalkan sama ada hukuman lima tahun itu mencerminkan keadilan terhadap tindakan menjual dua anak kandung demi keseronokan peribadi.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author