Connect with us

Antarabangsa

Ketua BJP Bengal dikecam seru penyertaan muslim nasionalis demi tarik undi

WhatsApp
Facebook0
Twitter

Published

on

Foto: Ketua baru BJP Bengal Barat, Samik Bhattacharya
  • Ketua baru BJP Bengal Barat, Samik Bhattacharya menyeru penyertaan muslim nasionalis, progresif dan berfikiran terbuka dalam usaha parti itu menghadapi pilihan raya negeri akan datang
  • Bekas presiden negeri, Adhir Ranjan Chowdhury, menyifatkannya sebagai taktik politik semata-mata untuk menarik undi Muslim.
  • Beliau mendakwa matlamat sebenar BJP ialah membentuk sebuah negara Hindu di mana Muslim dilayan sebagai warganegara kelas kedua.

 

KOLKATA – Ketua baru BJP Bengal Barat, Samik Bhattacharya, mengundang kontroversi apabila menyeru penyertaan muslim nasionalis, progresif dan berfikiran terbuka dalam usaha parti itu menghadapi pilihan raya negeri akan datang, sambil menuduh wujud “perang senyap” untuk mengubah demografi India sejak tahun 1980-an.

“Radikalisasi merebak ke seluruh negara. Tetapi tiada siapa boleh memecah-belahkan Bengal lagi. Bagi menentang perubahan demografi ini, kita perlukan bukan sahaja orang Hindu, tetapi juga Muslim nasionalis yang bersatu menolak ekstremisme,” kata Bhattacharya dalam ucapan sempena ulang tahun kelahiran ideologi BJP.

Sebelum ini, pada 3 Julai lalu, sejurus dilantik sebagai presiden negeri BJP, beliau menekankan pentingnya memelihara sifat pelbagai budaya Bengal dan menyeru persefahaman antara penganut agama.

Beliau juga menyatakan bahawa BJP bukan anti-Muslim, tetapi hanya menentang mereka yang menyokong keganasan.

Namun, kenyataan Bhattacharya menerima kecaman hebat daripada jurucakap Trinamool Congress (TMC), Jay Prakash Majumdar, yang mendakwa BJP keliru dalam pendekatannya dan akan kehilangan sokongan menjelang pilihan raya.

Beliau turut merujuk kepada pemimpin pembangkang BJP, Suvendu Adhikari, yang sebelum ini menggesa parti itu fokus hanya kepada undi Hindu.

Kongres turut mengkritik kenyataan tersebut, dengan bekas presiden negeri, Adhir Ranjan Chowdhury, menyifatkannya sebagai taktik politik semata-mata untuk menarik undi Muslim.

Beliau mendakwa matlamat sebenar BJP ialah membentuk sebuah negara Hindu di mana Muslim dilayan sebagai warganegara kelas kedua.

BJP sejak sekian lama menuduh Ketua Menteri Mamata Banerjee membenarkan pendatang haram Bangladesh menetap di Bengal demi kepentingan politik.

Muslim, yang mewakili kira-kira 30 peratus populasi negeri itu, dilihat memainkan peranan penting dalam sekurang-kurangnya 120 daripada 294 kerusi DUN.

Pada pilihan raya 2021, BJP hanya menang 75 kerusi dan semua sembilan calon Muslimnya tewas. Strategi Bhattacharya kini dianggap sebagai usaha untuk memecah undi Muslim daripada TMC kepada pihak lain seperti Kongres atau parti kiri, sekali gus memberikan kelebihan tidak langsung kepada BJP.

Seorang pemimpin BJP negeri berkata, walaupun undi itu tidak pergi kepada BJP, pemecahan undi tetap memberi manfaat kepada mereka. -The Merdeka Times

Author