Terkini
‘Suspek ugut bunuh saya dah mengaku, tapi mengapa tiada pendakwaan?’ – Firdaus Wong

- Firdaus Wong membandingkan kesnya dengan kes Harith Iskander, di mana pelaku ugutan telah dihukum dalam tempoh hanya tujuh hari, sedangkan kesnya sudah berlanjutan beberapa bulan lamanya.
- “Ya, di situ ada perbandingan (kecepatan tindakan diambil) sebab dua-duanya (kes beliau dan Harith Iskander) melibatkan ugutan bunuh.
- “Saya juga ada ugutan pukul dan bunuh dan saya difahamkan suspek dalam kes ugutan bunuh saya juga telah mengaku dia yang menghantar (mesej ugutan terbabit) jadi saya agak keliru kenapa masih belum ada tindakan dan sebagainya,” katanya.
KUALA LUMPUR — Ketiadaan sebarang pendakwaan terhadap dua individu yang mengugut untuk membunuh dan memukul pendakwah Firdaus Wong Wai Hung, meskipun telah berlalu berbulan lamanya, menimbulkan persoalan berhubung kecepatan proses siasatan dan pendakwaan.
Ini kerana tempoh masa yang diambil itu dilihat berbeza dengan kes berasingan membabitkan pelawak Harith Iskander, di mana individu yang mengugut untuk membunuh beliau telah ditangkap, didakwa dan dijatuhi hukuman dalam tempoh hanya tujuh hari.
Bercakap kepada The Merdeka Times hari ini, Firdaus Wong berkata beliau keliru mengapa tiada sebarang tindakan dikenakan ke atas suspek yang mengugut untuk membunuh beliau, sedangkan kedua-dua kes di antaranya dengan Harith Iskander melibatkan ugutan bunuh.
“Ya, di situ ada perbandingan (kecepatan tindakan diambil) sebab dua-duanya (kes beliau dan Harith Iskander) melibatkan ugutan bunuh.
“Saya juga ada ugutan pukul dan bunuh dan saya difahamkan suspek dalam kes ugutan bunuh saya juga telah mengaku dia yang menghantar (mesej ugutan terbabit) jadi saya agak keliru kenapa masih belum ada tindakan dan sebagainya,” katanya.
Ia merujuk kepada ugutan bunuh yang diterima Firdaus Wong menerusi mesej peribadi di Facebook pada Mac lalu daripada seorang individu bernama Mohan Raj Thangaraju selepas beliau membangkitkan isu pembinaan kuil haram di negara ini. Suspek sebelum ini dilapor ditahan pihak polis pada bulan sama dan direman dua hari untuk disoal siasat.

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook di muat naik Firdaus Wong hari ini.
Pada Mei lalu, Firdaus Wong turut membuat laporan polis ke atas seorang individu bernama Joseph Prakash yang didakwa membuat ugutan terhadap beliau selepas tidak berpuas hati tentang isu kuil haram.
Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya susulan beliau tertonton satu video TikTok berdurasi lima minit 25 saat dengan paparan tajuk bertulis, “Firdaus Wong kalau kau masih cakap kuil haram aku akan pijak mulut kau”.
Diminta mengulas lanjut berkenaan hantaran Facebook dimuat naik beliau hari ini, Firdaus Wong tidak menafikan bahawa ada perbezaan kecepatan tindakan diambil pihak berkuasa dalam dua kes berasingan itu.
Bagaimanapun, beliau enggan mengulas faktor yang menimbulkan perbezaan tersebut.
Firdaus Wong turut memaklumkan bahawa pegawai penyiasat baru sahaja menerima arahan terkini daripada Timbalan Pendakwa Raya, namun bentuk arahan itu masih belum dimaklumkan kepadanya. — The Merdeka Times
