Terkini
Kes saman Yusoff Rawther: Anwar gagal rujuk persoalan undang-undang, termasuk isu imuniti
-
Hakim, Roz Mawar Rozain memutuskan demikian selepas mendapati permohonan berkenaan tidak memenuhi peruntukan Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 (CJA).
-
Beliau berkata tiada satu pun peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang, menimbulkan sebarang persoalan undang-undang perlembagaan yang nyata, substantif atau boleh diadili, hingga memerlukan penentuan Mahkamah Persekutuan di bawah Perkara 128(2) PP atau Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
-
“Dari perspektif kehakiman, persoalan yang dicadangkan tidak kelihatan memenuhi ambang kontroversi perlembagaan yang tulen,” katanya.
- Permohonan penangguhan prosiding saman sivil difailkan Yusoff Rawther oleh peguam Anwar juga ditolak.
KUALA LUMPUR — Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk merujuk lapan persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan, termasuk sama ada Perdana Menteri itu mempunyai imuniti daripada sebarang kes saman sivil.
Hakim, Roz Mawar Rozain memutuskan demikian selepas mendapati permohonan berkenaan tidak memenuhi peruntukan Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 (CJA).
Ketika membaca keputusan itu, beliau berkata tiada satu pun peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang, menimbulkan sebarang persoalan undang-undang perlembagaan yang nyata, substantif atau boleh diadili, hingga memerlukan penentuan Mahkamah Persekutuan di bawah Perkara 128(2) PP atau Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
“Persoalan yang dikemukakan ialah bersifat spekulatif dan tidak membabitkan tafsiran atau kesahan bagi mana-mana peruntukan perlembagaan.
“Dari perspektif kehakiman, persoalan yang dicadangkan tidak kelihatan memenuhi ambang kontroversi perlembagaan yang tulen,” katanya dipetik media tempatan hari ini.
Roz Mawar berkata Anwar selaku defendan masih bebas dengan kapasiti undang-undang penuh dan perlindungan prosedur yang tersedia, oleh itu Perkara 5(1) tidak terbabit dan tidak perlu ditafsirkan dalam permohonan itu.
Menurut beliau, Perkara 8(1) (kesamarataaan di sisi undang-undang) pula, berfungsi sebagai pelindung, dan bukan pemberi kekebalan.
“Ia menjamin layanan sama rata di sisi undang-undang dan bukan pengecualian daripadanya,” katanya yang turut memerintahkan Anwar membayar kos sebanyak RM20,000 kepada Yusoff.
Anwar pada 23 Mei lalu dilapor memohon Mahkamah Tinggi untuk merujuk lapan persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan bagi diputuskan, antaranya sama ada beliau mempunyai imuniti daripada saman sivil difailkan bekas penyelidiknya, Muhammed Yusoff Rawther yang mendakwa beliau menyerangnya secara seksual tujuh tahun lalu.
Menerusi permohonan difailkan firma guamannya, Tetuan Zain Megat & Murad, Anwar memohon Mahkamah Persekutuan memutuskan sama ada Perkara 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan memberi beliau kekebalan bersyarat daripada saman berkenaan.
Menteri Kewangan itu turut memohon supaya mahkamah mempertimbangkan sama ada saman tersebut menjejaskan keupayaannya menjalankan tugas eksekutif serta melemahkan prinsip pengasingan kuasa yang dijamin oleh Perlembagaan.
Pada 2021, Yusoff memfailkan saman sivil dengan mendakwa dia diserang secara seksual oleh Anwar di pejabat Presiden PKR pada Oktober 2018, sebelum Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri pada 24 November 2022.
Sementara itu, Roz Mawar juga dilapor berkata perbicaraan saman Yusoff Rawther, yang dijadual bermula pada 16 Jun, akan diteruskan seperti dirancang pada jam 9 pagi hari tersebut, sekali gus menolak permohonan penangguhan prosiding oleh peguam Anwar, Alan Wong.
“Maaf, tangan saya terikat,” katanya sambil menambah bahawa pihak defendan boleh memfailkan permohonan penangguhan di Mahkamah Rayuan. — The Merdeka Times