Antarabangsa
Ireland umum bentang rang undang-undang haramkan perdagangan dengan Israel
- Dalam satu hantaran di platform X pada hari Sabtu, Timbalan Perdana Menteri Ireland, Simon Harris, yang juga Menteri Pertahanan dan Luar Negeri, berkata beliau berharap Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Negeri akan mula meneliti rang undang-undang itu bulan depan.
- Pengumuman Harris dibuat beberapa hari selepas majoriti negara Kesatuan Eropah (EU) bersetuju untuk mengkaji semula hubungan perdagangan blok itu dengan Israel.
- “Ia bukan sekadar perlu dikaji semula. Ia perlu digantung, kerana keadaan tidak boleh diteruskan seperti biasa,” kata Harris yang menyifatkan tindakan Israel di Gaza sebagai “jenayah perang” dan “aktiviti pembunuhan beramai-ramai”.
DUBLIN – Kerajaan Ireland akan membentangkan rang undang-undang untuk mengharamkan perdagangan dan perniagaan dengan Israel, menjadikannya negara Eropah pertama yang mengambil langkah sedemikian.
Dalam satu hantaran di platform X pada hari Sabtu, Timbalan Perdana Menteri Ireland, Simon Harris, yang juga Menteri Pertahanan dan Luar Negeri, berkata beliau berharap Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Negeri akan mula meneliti rang undang-undang itu bulan depan.
Pengumuman Harris dibuat beberapa hari selepas majoriti negara Kesatuan Eropah (EU) bersetuju untuk mengkaji semula hubungan perdagangan blok itu dengan Israel.
“Ia bukan sekadar perlu dikaji semula. Ia perlu digantung, kerana keadaan tidak boleh diteruskan seperti biasa,” kata Harris yang menyifatkan tindakan Israel di Gaza sebagai “jenayah perang” dan “aktiviti pembunuhan beramai-ramai”.
“Sudah jelas dunia perlu bertindak dan dunia masih belum berbuat secukupnya,” tambah beliau yang dilaporkan Middle East Eye.
Minggu lalu, United Kingdom menghentikan rundingan perdagangan bebas dengan Israel disebabkan perluasan operasi ketenteraan di Gaza dan sekatan terhadap kemasukan bantuan kemanusiaan.
Pada tahun 2018, Rang Undang-Undang Wilayah Diduduki telah diperkenalkan di Ireland oleh senator bebas Frances Black, yang mencadangkan larangan perdagangan dengan perniagaan yang beroperasi di penempatan haram Yahudi di tanah Palestin, namun ia akhirnya disekat kerana kebimbangan ia melanggar peraturan perdagangan EU.
Bagaimanapun, pendapat penasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada Julai lalu menjadi titik perubahan dalam mempertimbangkan semula penguatkuasaan rang undang-undang Ireland tersebut.
Kerajaan Ireland, bersama Sepanyol dan Norway, telah mengiktiraf negara Palestin pada Mei 2024. – The Merdeka Times