Connect with us

Terkini

Pengusaha kedai vape di Kedah diberi tempoh hingga Disember untuk tamatkan operasi

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Foto: Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Negeri, Mansor Zakaria
  • Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Negeri, Mansor Zakaria berkata kerajaan negeri tidak akan melanjutkan jangka masa berkenaan dan tempoh tujuh bulan bermula Mei hingga Disember dianggap mencukupi untuk peniaga beralih ke bidang perniagaan lain.
  • Penguatkuasaan penuh akan bermula awal tahun depan dan tindakan sitaan akan diambil terhadap premis yang masih menjual produk vape selepas tarikh ditetapkan.
  • Mansor berpandangan adalah wajar untuk KKM turut membatalkan semua lesen pengeluaran dan penjualan vape pada peringkat Persekutuan.

KUALA LUMPUR — Pengusaha kedai vape di Kedah diberi tempoh sehingga Disember untuk menamatkan operasi mereka, berikutan larangan sepenuhnya penjualan rokok elektronik itu di negeri berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Negeri, Mansor Zakaria berkata kerajaan negeri tidak akan melanjutkan jangka masa berkenaan dan tempoh tujuh bulan bermula Mei hingga Disember dianggap mencukupi untuk peniaga beralih ke bidang perniagaan lain.

Menurut laporan Berita Harian, Mansor berkata penguatkuasaan penuh akan bermula awal tahun depan dan tindakan sitaan akan diambil terhadap premis yang masih menjual produk vape selepas tarikh ditetapkan.

“Kebanyakan lesen premis tamat pada Disember ini dan sebahagian kecil akan tamat pada Januari serta Februari tahun depan.

“Jika masih degil dan ingkar, kita akan keluarkan kompaun serta rampas barang,” katanya sambil menyatakan bahawa keputusan itu dicapai dalam mesyuarat bersama semua pihak berkuasa tempatan di Kedah minggu ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Ketil itu berkata bagi kedai serbaneka dan premis lain yang menjual vape, penguatkuasaan terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Kesihatan (KKM).

Justeru, beliau berpandangan adalah wajar untuk KKM turut membatalkan semua lesen pengeluaran dan penjualan vape pada peringkat Persekutuan.

“Negeri hanya kawal penjualan di premis, tetapi lesen jualan diberi Kerajaan Pusat. Jika Persekutuan hentikan pengeluaran lesen, isu ini boleh selesai sepenuhnya.

“KKM selalu ingatkan rakyat kesan buruk vape, jadi Kerajaan Pusat perlu ambil langkah tegas haramkan terus penjualan vape,” katanya.

Kedah pada minggu lalu dilapor tidak akan menyambung pembaharuan lesen penjualan rokok elektronik atau vape di negeri itu, yang dikhuatiri turut menjadi satu daripada alat untuk penyalahgunaan dadah.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata dalam mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah peringkat negeri pada Selasa lalu, perbincangan turut menyentuh berkaitan penggunaan vape sebagai medium penyalahgunaan dadah sintetik.

Pada 24 April lalu, Kerajaan Terengganu dilapor mengumumkan larangan penjualan vape berkuat kuasa 1 Ogos dan Perlis mengikut jejak sama dengan pelaksanaan larangan pada tarikh sama.— The Merdeka Times

Author