Terkini
Generasi baru BN buktikan politik berintegriti
Generasi baharu pemimpin Barisan Nasional (BN) komited kepada tadbir urus yang baik, berintegriti dan melawan pelakuan rasuah.

- Generasi baharu pemimpin Barisan Nasional (BN) menyatakan komitmen mereka kepada tadbir urus yang baik, berintegriti dan melawan pelakuan rasuah, menerusi sesi santai secara langsung Kenali New Gen BN bersama KJ menerusi Facebook Khairy Jamaluddin, hari ini.
- “Rakyat menyampah dan meluat dengan kelakuan serta tindak tanduk orang politik.
- “Kita sebagai generasi baharu kena buktikan mereka salah. Kita kena tunjukkan generasi baharu BN bekerja dan tunjukkan keberanian, berani bercakap perkara betul dan benar, itu mesej jelas,” – Shaiful Hazizy Zainol Abidin, Calon BN Parlimen Merbok.
SUNGAI BULOH: Generasi baharu pemimpin Barisan Nasional (BN) komited kepada tadbir urus yang baik, berintegriti dan melawan pelakuan rasuah.
Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Merbok, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin, menegaskan BN memerlukan pemimpin bersih dan tidak terpalit dengan kes rasuah.
“Kita perlukan ahli politik yang mahu bekerja dan menunjukkan keazaman tinggi untuk berkhidmat kepada rakyat kerana ketika ini, rakyat menyampah dan meluat dengan kelakuan serta tindak tanduk orang politik.
“Kita sebagai generasi baharu kena buktikan mereka salah. Kita kena tunjukkan generasi baharu BN bekerja dan tunjukkan keberanian, berani bercakap perkara betul dan benar, itu mesej jelas,” katanya dalam sesi santai secara langsung Kenali New Gen BN bersama KJ menerusi Facebook Khairy Jamaluddin, hari ini.
Khairy yang bertindak sebagai moderator, bertanya beberapa soalan kepada panel jemputan termasuk wajarkah generasi baharu pimpinan BN komited kepada tadbir urus yang baik, berintegriti dan menolak rasuah.
Calon turut ditanya mengenai harapan dan aspirasi untuk rakyat dan negara pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Selain Shaiful Hazizy, panel jemputan lain adalah calon Parlimen Arau, Datuk Rozabil Abd Rahman atau Tok Ben; calon Parlimen Raub, Datuk Chong Sin Woon; calon Parlimen Kuala Langat, Datuk M Mohana; calon Parlimen Alor Gajah, Shahril Hamdan; calon Parlimen Tebrau, Nicole Wong; calon Parlimen Padang Serai, Datuk C Selvaraj dan calon Parlimen Putatan, Datuk Shahelmey Yahya.
Mohana berkata, pembabitan wanita sebagai pembuat dasar tidak patut terhad kepada 30 peratus, sebaliknya peranan wanita perlu lebih besar bersandarkan kemampuan dan kredibiliti.
“Beri wanita jawatan atau tugas dalam pentadbiran yang lebih mencabar, tidak hanya terhad jaga Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
“Sebaliknya, pemimpin wanita boleh mencapai tahap seperti Tan Sri Rafidah Aziz.
“Sekiranya BN menang PRU15 dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri, kita harap peranan wanita dapat terus diperkasa tanpa mengira kaum,” katanya.
Shahelmey menyuarakan pandangan mengenai pertumbuhan ekonomi dan jurang perbezaan pembangunan antara Sabah dan Semenanjung selain Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Perlu ada usaha memacu pembangunan dan ekonomi di Sabah supaya wujud satu puas hati dalam kalangan rakyat di negeri itu.
“Saya percaya BN boleh merealisasikan apa yang diperjuangkan rakyat Sabah termasuk menerusi MA63 yang mana Perdana Menteri turut komited menyelesaikannya secara berperingkat perkara tertunggak,” katanya.
Sementara itu, Khairy berkata, ramai individu muda berkaliber dan berpotensi berada dalam BN.
‘Ini hanya pilihan kecil, ramai lagi yang tidak sempat kita himpunkan pada hari ini.
“Mereka ada idea dan boleh menyampaikannya dengan baik, membuktikan semuanya bukan ‘yes man’ kepada ketua, apa yang tidak betul akan diberitahu tidak betul kerana kita membawa aspirasi rakyat Malaysia,” katanya.
Sumber: Berita Harian

You must be logged in to post a comment Login