Connect with us

Terkini

(VIDEO) Firdaus Wong lapor polis selepas sekali lagi terima ugutan isu kuil haram

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Foto: Pempengaruh dan pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung

KUALA LUMPUR — Pempengaruh dan pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung membuat laporan polis ke atas seorang individu yang didakwa membuat ugutan terhadap beliau selepas tidak berpuas hati tentang isu kuil haram.

Bercakap kepada The Merdeka Times, Firdaus berkata laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya hari ini susulan beliau tertonton satu video TikTok berdurasi lima minit 25 saat dengan paparan tajuk bertulis, “Firdaus Wong kalau kau masih cakap kuil haram aku akan pijak mulut kau”.

Menurut beliau, video itu mengandungi ugutan daripada individu bernama Joseph Prakash yang jelas mengugut untuk memukul dan memecahkan mulutnya.

Jelasnya, individu terbabit yang mempunyai satu NGO bernama Pertubuhan Kebajikan Integriti Persahabatan Nasional (PKIPN) pernah ditemui beliau bersama Datuk Nadzim Johan bagi membincangkan isu kuil haram sebelum ini.

“Tujuan saya membuat laporan polis ini adalah agar pihak polis dan pihak berkuasa lain membuat siasatan serta mengambil tindakan ke atas individu ini,” kata Firdaus kepada The Merdeka Times di sini hari ini.

Joseph dalam video itu yang turut mengeluarkan beberapa makian kepada Firdaus berkata, sekiranya pendakwah terbabit mengulangi tindakan menggunakan perkataan kuil haram, maka dia akan memijak mulut beliau.

Individu itu juga memainkan semula video Firdaus yang mengulas berkenaan isu kuil haram bertajuk, “Ceroboh Tanah Milik Orang: Sampai Lupa Sensitiviti Kaum Di Malaysia?”.

Sementara itu, Firdaus menerusi hantaran di Facebook hari ini turut mengingatkan bahawa dalam hal sebegini sepatutnya hujah dilawan dengan hujah dan bukannya ugut-mengugut.

“Negara kita ada undang-undang. Semoga tindakan segera diambil terhadap Joseph Prakash. Saya rakyat Malaysia yang menjunjung Rukun Negara, kedaulatan undang-undang dan kesopanan serta kesusilaan,” katanya.

Ini bukan kali pertama pendakwah bebas itu dilapor berdepan ugutan bunuh kerana tahun lalu beliau juga telah membuat enam laporan polis selepas menerima ugutan bunuh, pukul dan fitnah melibatkan dirinya serta keluarga di Balai Polis Wangsa Maju.

Ketika itu, beliau mengakui ugutan tersebut banyak diterima selepas pembongkaran isu stoking kalimah Allah dan percaya, ada yang tidak berpuas hati dengan kerja-kerja dakwah dilakukannya.

Terbaharu, Firdaus pada Mac lalu mendakwa beliau sekali lagi menerima ugutan bunuh dari seorang individu bernama Mohan Raj Thangaraju selepas beliau membangkitkan isu pembinaan kuil haram di negara ini.

Bagaimanapun sehingga kini, katanya, individu berkenaan masih belum didakwa. — The Merdeka Times

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *