Connect with us

Antarabangsa

Facebook pengebom pusat imigresen Dover dedah pelaku seorang anti-Islam

Suspek dalam serangan bom di pusat imigresen Dover dipercayai bertindak atas sentimen anti- Islam berdasarkan hantaran di Facebooknya.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Facebook pengebom pusat imigresen Dover dedah pelaku seorang anti-Islam
  • Polis UK dedahkan pengebom pusat imigresen Dover, Andrew Leak, 66, sebagai pembenci Islam berdasarkan hantaran Facebooknya.
  • Hantaran pada 9 Ogos mengkritik orang Islam yang menuntut faedah pengangguran walaupun tidak boleh berbahasa Inggeris.
  • Pada 24 Julai, dia menuduh semua orang Islam terlibat dengan ‘sexual-grooming’ dan merogol orang bukan Islam.
  • Hantaran bertarikh 20 Mac pula menunjukkan beliau mengutuk keluarga diraja dengan mempersoalkan tindakan Putera Charles memberi penempatan untuk pelarian Ukraine.

Suspek dalam serangan bom di pusat imigresen Dover dipercayai bertindak atas sentimen anti- Islam berdasarkan hantaran di Facebooknya.

Independent melaporkan polis tempatan mendedahkan identiti suspek pada Selasa sebagai Andrew Leak, 66, dari High Wycombe, Buckinghamshire.

Hantaran Facebook menerusi akaun di bawah nama Andy Leak dari High Wycombe mengandungi sentimen anti-Muslim tentang individu menuntut faedah pengangguran jika mereka tidak berbahasa Inggeris.

Hantaran bertarikh 9 Ogos bertulis, “Lain kali, jika pusat kerja menyekat wang anda kerana usaha mencari kerja yang tidak mencukupi, tanya mereka tentang ribuan yang mendapat faedah walaupun tidak boleh berbahasa Inggeris, bagaimana mereka mencari kerja?

“Faedah pengangguran dengan jelas menyatakan anda tidak boleh menuntut faedah jika tidak mencari kerja, semua individu ini harus dikecualikan daripada faedah.

“Anda jelas tidak boleh mencari kerja jika anda tidak boleh berbahasa Inggeris, mereka melanggar undang-undang, masa untuk bangkit”.

Hantaran bertarikh 24 Julai pula bertulis, “Semua orang Islam terlibat dengan ‘grooming’, mereka tidak pernah bersuara kerana itu bukan anak perempuan mereka, dasar binatang durjana. Sedarlah.

“Mereka hanya merogol orang bukan Islam, itu merupakan jenayah kebencian agama, bodoh”.

Suspek itu juga turut membuat hantaran mengutuk keluarga diraja pada 20 Mac, “Putera Charles berkata dia akan menempatkan pelarian Ukraine di salah satu penempatan miliknya yang merupakan milik rakyat British, bagaimana pula dengan askar dan orang awam yang tidur di pintu masuk? Memalukan. Tamatkan keluarga diraja sekarang.”

Terdahulu, Andrew dipercayai membaling dua atau tiga bahan letupan di tapak Western Jet Foil di Dover, kira-kira jam 11.20 pagi Ahad, sebelum membunuh diri dalam keretanya di garaj tempat letak kereta berhampiran.

Sumber: Independent UK

Author