Connect with us

Terkini

Kes culik lelaki warga Palestin, dua lagi individu didakwa

Dua lagi individu lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu, atas pertuduhan menculik seorang lelaki warga Palestin berhubung perisian untuk menggodam telefon bimbit bulan lalu. 

Wartawan TMT

Published

on

Kes culik lelaki warga Palestin, dua lagi individu didakwa
Foto: Sumber Harian Metro.
  • Dua lagi individu lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu, atas pertuduhan menculik seorang lelaki warga Palestin berkaitan perisian untuk menggodam telefon bimbit bulan lalu. 
  • Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu berada bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
  • Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jalan Mayang pada pukul 10.40 malam, 28 September lalu.
  • Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

KUALA LUMPUR – Dua lagi individu lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu, atas pertuduhan menculik seorang lelaki warga Palestin berhubung perisian untuk menggodam telefon bimbit bulan lalu. 

Bagaimanapun, Mohd Zaidi Mohd Zain, 54, dan Tengku Hazarul Ismail T Hamid, 49, berdiam diri ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Wong Chai Sia. 

Tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu berada bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi. 

Berdasarkan pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa telah menahan Omar ZM Albelbaisy Raeda, 31, dengan cara tidak berpatutan untuk mendapatkan ganjaran iaitu rahsia maklumat membuat dan menyahaktif perisian komputer yang digunakan untuk menggodam telefon bimbit.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jalan Mayang di sini pada pukul 10.40 malam, 28 September lalu. 

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan. 

Dalam prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fatin Hanum Abdul Hadi dan Kamarul Aris Kamalludin manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Pada 14 Oktober lalu, Sinar Harian melaporkan seramai 11 individu termasuk seorang wanita didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan sama. 

Semua tertuduh itu ialah Dody Junaidi, 42, Mohamad Norakmal Hassan, 41, Edy Ko’im Said, 40, Faizull Hardey Mohd Isa, 40, Tengku Arif Bongsu Tengku Hamid, 39, Mohamad Naziree Mustapha, 39. Selain itu ialah Raibafie Amdan, 39, Nidarahayu Zainal, 34, Muhammad Iqmal Abdul Rahis, 25, Mohamad Sufian Saly, 23, dan Muhammad Al Hatim Mohd fauzi, 21. 

Awal bulan ini, polis telah menahan 18 individu di sekitar Lembah Klang berhubung kes penculikan seorang lelaki Palestin di kawasan Jalan Yap Kwan Seng.

Sumber: Sinar Harian 

 

Author

Kolumnis

Islam tetapkan dasar hak pekerja lebih awal dari Barat

TARIKH 1 Mei adalah hari ditetapkan dunia Barat bagi memperingati perjuangan para buruh dalam menuntut hak-hak mereka sebagai pekerja semasa era Revolusi Perindustrian kira-kira 140 tahun lalu.

Research And Development MRM

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.

TARIKH 1 Mei adalah hari ditetapkan dunia Barat bagi memperingati perjuangan para buruh dalam menuntut hak-hak mereka sebagai pekerja semasa era Revolusi Perindustrian kira-kira 140 tahun lalu.

Sejak saat itu, tarikh tersebut didedikasikan sebagai ‘Hari Pekerja’ bagi meraikan semua yang bergelar pekerja di seluruh dunia.  

Namun, fahaman itu adalah fahaman simplistik yang mengaitkan Hari Pekerja hanyalah hari untuk berehat dan bersantai sempena cuti umum. 

Sedangkan, terdapat peristiwa hitam di sebalik ‘keseronokan’ cuti Hari Pekerja di mana untuk mencapai ke detik itu, telah banyak nyawa terkorban dalam menuntut hak-hak pekerja. 

Barat perlu bermati-matian tetap dasar hak pekerja 

Kemuncak kepada perjuangan buruh itu sudah tentulah dikaitkan dengan Rusuhan Haymarket di Chicago, Amerika Syarikat pada 4 Mei 1886 yang menjadi akar kepada sejarah Hari Pekerja. 

Foto: Peristiwa rusuhan Haymarket di Chicago pada 4 Mei 1886

Rusuhan itu berpunca daripada kezaliman pemilik kilang industri yang menindas tenaga buruh supaya mereka bekerja lebih masa dengan kadar upah rendah semata-mata untuk memaksimumkan keuntungan peribadi. 

Ada buruh dipaksa bekerja 16 jam sehari. Malah, ada yang terpaksa bekerja selama 19 jam sehari tanpa diberikan sebarang cuti. Dan upah diterima tidak setimpal dengan kadar jam yang mereka kerjakan. 

Disebabkan tiada sebarang kawalan daripada kerajaan, kilang-kilang industri ini bebas untuk memperlakukan apa-apa sahaja terhadap tenaga buruh mereka walaupun ditindas seperti ‘hamba’. 

Malah di samping dunia Barat pada ketika itu, tidak mempunyai asas dan dasar yang boleh mengangkat hak-hak asasi kemanusiaan. 

Maka para buruh perlu berjuang bermati-matian dan berdemonstrasi bagi menuntut dan menetapkan hak buat mereka. 

Iaitu hak bekerja lapan jam sehari, hak bercuti rehat seminggu sekali serta hak dibayar upah setimpal. 

Perjuangan inilah yang akhirnya membawa kepada sambutan Hari Buruh Antarabangsa atau Labour Day pada 1 Mei setiap tahun dan hak-hak inilah yang menjadi teras kepada tenaga sumber manusia di zaman moden. 

Justeru itu, sehingga kini ramai memandang ke arah dunia Barat sebagai peneraju dalam menetapkan dasar hak-hak pekerja dan paling terkedepan dalam mencari solusi isu hak pekerja. 

Muslim usah inferior, Islam sudah lama ada hak pekerja anti penindasan 

Sedangkan menariknya, Islam telah lama mengakui dan membawa dasar hak-hak pekerja anti-penindasan yang diperjuangkan Barat sejak 1400 tahun dahulu tanpa perlu berlakunya pertumpahan darah. 

Dalam ajaran Islam, pekerja dianggap seperti saudara dan pembantu yang layak dilayan dengan manusiawi, cermat dan perlu dijaga hak dan kebajikannya sepanjang tempoh mereka berkhidmat.  

“Mereka adalah saudara dan pembantu kalian, Allah telah menjadikan mereka di bawah (kekuasaan) tangan-tangan kalian. Barangsiapa yang keadaan saudaranya berada di bawah kekuasaannya, hendaklah ia memberi makan dari apa yang ia makan, memberi pakaian dari apa yang ia pakai, dan janganlah kalian memberinya pekerjaan yang tidak sanggup mereka kerjakan. Jika kalian membebaninya pekerjaan, maka bantulah mereka!” (Sahih Bukhari, No. 30) 

Berbeza dengan dunia Barat di mana pekerja perlu bermati-matian untuk menuntut hak-hak mereka daripada majikan, sebaliknya para sahabat Nabi SAW, yang juga majikan, dengan mudahnya mengimplementasikan dasar itu dan memberikan hak-hak pekerja kepada hamba-hamba mereka. 

Contohnya dari kehidupan para sahabat seperti kisah Salman RA dan Abu Dzar RA menunjukkan bagaimana mereka tidak membebani pekerja dengan tugas yang berat dan menjaga kebajikan pekerjanya. 

Abu Qilabah meriwayatkan: Seorang lelaki masuk ke rumah Salman RA, sedang dia menguli tepung. Lelaki itu berkata, “Apakah ini?”. Salman berkata, “Kami mengutus hamba itu untuk suatu urusan dan kami tidak suka jika dia mempunyai dua tugas sekaligus.” (Ḥilyat al-Awliyā’, No. 657)

Dalam hadis lain yang diriwayatkan Ibnu Syuaib RA berkata: “Aku pernah menemui Abu Dzar di daerah Rabbah, aku melihat Abu Dzar memakai jubah dan hambanya juga memakai jubah yang sama juga.” (Sahih Bukhari, No. 30) 

Meskipun Islam telah memperkenalkan nilai anti-penindasan dan hak-hak pekerja terlebih dahulu dari Barat, sayangnya, nilai dan hak tersebut jarang diperkatakan secara luas seperti Barat. 

Barangkali disebabkan Muslim sendiri berasa ‘inferior’ dengan nilai Islam dan terlalu memandang tinggi terhadap nilai Barat sedangkan nilai Islam hakikatnya sudah jauh mendahului nilai Barat. 

Contohnya, hak dibayar upah setimpal yang diperjuangkan Barat. Islam memerintahkan majikan bukan sahaja perlu membayar pekerjanya dengan upah setimpal, namun penggajiannya perlu cepat dan disegerakan. 

Rasulullah SAW bersabda: “Berikanlah upah pekerja (buruh) sebelum kering peluhnya.” (Sunan Ibn Majah, No. 2443) 

Imam Al-Munawi dalam kitabnya, Faidh Al-Qadir berkata: “Haram hukumnya menunda gaji pekerja jika tiada kekangan untuk disegerakan. Perintah untuk menyerahkan gaji sebelum mengering peluh para pekerja adalah satu kiasan atas wajibnya menyegerakan setelah pekerjaan mereka selesai, walau para pekerja memintanya meskipun belum sampai berpeluh, atau berpeluh dan telah kering.” 

Walaupun demikian penggajian boleh juga mengikut persetujuan sama ada harian, mingguan atau bulanan. Jika ianya telah dipersetujui, maka hendaklah ditunaikan mengikut persetujuan. 

“Umat Islam wajib mematuhi persyaratan yang telah mereka sepakati.” (Jami’ at-Tirmidhi, No. 1352) 

Kesimpulan 

Bayangkan sejak 1400 tahun lalu, dari sistem kontrak antara majikan dan pekerja, sistem penggajian sehinggalah hal ehwal kebajikan dan implementasinya telah dititik beratkan dalam dunia Islam. 

Malah terdapat satu amaran keras terhadap majikan yang menzalimi dan menindas pekerjanya. Dalam satu hadis, Rasulullah SAW meriwayatkan bahawa Allah SWT berfirman: 

“Terdapat tiga golongan yang akan menjadi musuhKu pada hari kiamat…(salah satunya ialah) orang yang mempekerjakan orang lain, namun setelah orang tersebut memenuhi tugasnya, upahnya tidak dibayarkan.” (Sahih Bukhari, No. 2227) 

Sesungguhnya, nilai-nilai dan hak-hak pekerja dalam Islam adalah solusi yang cukup adil dan saksama kerana ia diberi oleh Tuhan yang Maha Mengetahui, yang tahu apa yang terbaik dan terburuk untuk setiap makhlukNya. – The Merdeka Times 

Author

Teruskan Membaca

Kata Kunci

Trending