Terkini
Jawatan TPM perlu ada kuasa sebenar, bukan sekadar ‘jawatan istiadat’ – GPS
Jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) yang ditawarkan kepada pemimpin Sarawak dan Sabah selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), harus mempunyai kuasa dan bukan bukan sekadar ‘jawatan istiadat’.

- Jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) ditawarkan kepada Sarawak dan Sabah harus mempunyai kuasa dan bukan sekadar ‘jawatan istiadat’.
- Pihak yang menawarkan jawatan itu harus bersedia memberikan jawatan sebenar supaya berfungsi menjaga kepentingan dua wilayah terbabit.
- “Kami mengalu-alukan dan menyambut baik tawaran itu, tetapi bukannya TPM yang hanya untuk memenuhi protokol,” – Gabungan Parti Sarawak (GPS)
KUCHING – Jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) yang ditawarkan kepada pemimpin Sarawak dan Sabah selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), harus mempunyai kuasa dan bukan bukan sekadar ‘jawatan istiadat’.
Justeru, Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Abang Openg, berkata mana-mana pihak yang menawarkan jawatan itu kepada pemimpin Sarawak dan Sabah, harus bersedia memberikan jawatan yang sebenar supaya ia berfungsi untuk menjaga kepentingan dua wilayah terbabit.
Beliau berkata, GPS menyambut baik tawaran Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) untuk memberikan slot jawatan TPM kepada pemimpin Sarawak dan Sabah jika gabungan itu berjaya membentuk kerajaan PRU15, namun ia harus mempunyai kuasa sewajarnya.
“Kami mengalu-alukan dan menyambut baik tawaran itu, tetapi bukannya TPM yang hanya untuk memenuhi protokol.
“Kami mahu pemimpin Sarawak atau Sabah yang dilantik ke jawatan itu mempunyai kuasa sebenar seorang Timbalan Perdana Menteri,” katanya.
Abang Johari, yang juga Premier Sarawak, berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Makan Tengah Hari Sempena Perayaan Deepavali anjuran peguam terkemuka Sarawak, Shankar R P Asnani, di sini, hari ini.
Turut hadir, dua Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.
Abang Johari berkata, GPS tidak menghadapi masalah untuk menyediakan wakil berkelayakan bagi memegang jawatan nombor dua itu kerana memiliki ramai pemimpin berwibawa.
Semalam, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pada sidang media selepas perasmian Program Gelombang Biru BN Zon 3, di Papar, Sabah berkata, jawatan tiga TPM akan diwujudkan jika BN muncul dominan untuk membentuk Kerajaan Persekutuan pada PRU15 nanti.
Beliau memberi jaminan pelantikan wakil dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung mengisi jawatan TPM itu akan dimasukkan dalam manifesto BN sebelum PRU15 nanti.
Sementara itu, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang ditemui media selepas Jelajah PH Sabah di Sandakan, turut menjanjikan tawaran sama kepada dua wilayah di Borneo itu jika PH berjaya membentuk kerajaan.
Bagaimanapun, Anwar hanya menawarkan dua jawatan TPM, iaitu membabitkan seorang dari Semenanjung dan seorang mewakili Borneo.
Sumber: Berita Harian
