Connect with us

Terkini

Dijangka 500,000 pekerjaan berasaskan AI dicipta dalam tempoh enam tahun

Sebanyak 500,000 pekerjaan berasaskan kecerdasan buatan (Al) yang merangkumi pelbagai sektor di Malaysia dijangka diwujudkan dalam tempoh enam tahun akan datang.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Foto: Timbalan Presiden Persatuan Internet Pelbagai Benda (loT) Malaysia, Datuk P. Sri Ganes.
  • 500,000 pekerjaan berasaskan kecerdasan buatan (Al) merangkumi pelbagai sektor di Malaysia dijangka diwujudkan dalam  tempoh enam tahun akan datang.
  • “Dalam konteks global, teknologi Al dijangka mengambil alih atau menggantikan 85 juta pekerjaan tetapi pada masa sama, ia bakal mengubah landskap pelbagai industri dengan mewujudkan 97 juta pekerjaan baharu.
  • “Justeru, pembangunan bakat tempatan yang mampu menghasilkan penyelesaian inovatif serta menjadi pemain utama dalam Al perlu menjadi keutamaan,” kata Timbalan Presiden Persatuan Internet Pelbagai Benda (loT) Malaysia, Datuk P. Sri Ganes kepada pemberita selepas majlis pelancaran program pensijilan komprehensif Al pertama di negara ini yang dilancarkan Menteri Digital, Gobind Singh Deo baru-baru ini.

KUALA LUMPUR — Sebanyak 500,000 pekerjaan berasaskan kecerdasan buatan (Al) yang merangkumi pelbagai sektor di Malaysia dijangka diwujudkan dalam  tempoh enam tahun akan datang.

Timbalan Presiden Persatuan Internet Pelbagai Benda (loT) Malaysia, Datuk P. Sri Ganes berkata peralihan dalam corak pekerjaan berasaskan Al itu memerlukan kemahiran serta latihan yang bersesuaian.

“Dalam konteks global, teknologi Al dijangka mengambil alih atau menggantikan 85 juta pekerjaan tetapi pada masa sama, ia bakal mengubah landskap pelbagai industri dengan mewujudkan 97 juta pekerjaan baharu.

“Justeru, pembangunan bakat tempatan yang mampu menghasilkan penyelesaian inovatif serta menjadi pemain utama dalam Al perlu menjadi keutamaan,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran program pensijilan komprehensif Al pertama di negara ini yang dilancarkan Menteri Digital, Gobind Singh Deo baru-baru ini.

Sri Ganes berkata program pensijilan melibatkan kerjasama antara SG TVET Group Berhad dan United States Artificial Intelligence Institute (USAIl) itu adalah usaha bagi memacu ketersediaan Al di Malaysia.

“Menerusi program ini, 10 syarikat terkemuka di negara ini turut menawarkan jaminan penempatan kerja kepada pelajar selepas tamat pengajian,” katanya.

Beliau berkata pengukuhan ekosistem penyelidikan dan inovasi serta pemantapan ekosistem pemboleh daya bagi sektor pendidikan tinggi dalam pelaksanaan Al dimantapkan lagi melalui kerjasama itu.

“Inisiatif ini antara lain bertujuan memperkukuh ekonomi digital negara dengan memupuk kepakaran Al serta meningkatkan kebolehpasaran tenaga kerja selain menjadikan Malaysia sebagai pemain utama dalam landskap Al global,” katanya.

Beliau berkata Program Pensijilan Kejuruteraan Al itu menawarkan pensijilan berganda yang dikeluarkan oleh USAlI dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).

“Dengan pensijilan berganda ini, pelajar akan menerima akreditasi di peringkat antarabangsa dan nasional, memandangkan kurikulum dibangunkan oleh Majlis Al Global USAll dan pakar akademik tempatan selaras Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) yang menjadi dokumen penilaian kompetensi pekerja mahir di Malaysia,” jelasnya.

Sri Ganes berkata program Al seumpama itu akan menjadi penyumbang utama kepada matlamat Malaysia untuk menjadi hab Al global menjelang 2030 seperti digariskan dalam Pelan Tindakan Nasional Al. — BERNAMA

Author