Connect with us

Agama

Jihad dan syahid: Adakah hanya untuk berperang dan mati di medan perang?

Jika seseorang ulama menyeru untuk berjihad dan mencintai mati syahid, maka hendaklah difahami maksud dan kaedahnya dengan jelas. 

WhatsApp
Facebook0
Twitter

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.

Jika seseorang ulama menyeru untuk berjihad dan mencintai mati syahid, maka hendaklah difahami maksud dan kaedahnya dengan jelas. 

Kita juga boleh memahami realitinya dengan cara bagaimana ulama yang menjelaskannya itu sendiri menjalani kehidupannya sebagai hamba kepada Allah swt. 

Adakah cara hidup  beliau dengan cara ekstrem atau melampaui batas atau hidup sederhana yang sentiasa memotivasikan dirinya sendiri dan masyarakat supaya hidupnya dan umatnya dipandang  mulia dan di pengakhiran hidupnya dapat mati syahid hanya pada jalan Allah swt. 

Begitu juga boleh diperhatikan apakah beliau boleh bergaul dengan semua lapisan masyarakat dengan cara mesra dan mulia tanpa sebarang kepentingan.

Kedua, konsep jihad dan mati syahid itu sendiri perlu difahami supaya tidak tersasar dan disalah tafsirkan. 

Konsep tersebut perlu dirujuk semula di dalam al-Quran dan Hadis bukan difahami melalui fahaman kita sendiri atau melalui sentimen atau mencari publisiti dengan mencari keuntungan peribadi, kumpulan atau pengaruh.

Apa itu jihad?

Merujuk kepada kamus Lisan al-‘Arab, jihad berasal dari kalimah jim-ha-dal (ج.ه.د) yang bermaksud  menghadapi kesusahan dan mengerah tenaga. (Lisan al-‘Arab: 3/133). Dari segi istilah Al-Kasani mengatakan jihad pada uruf syarak digunakan pada mengerah sepenuh kemampuan untuk berjuang pada jalan Allah s.w.t dengan nyawa, harta, lisan dan lain-lain. (Bada’i’ al-Sana’i’: 7/97). Secara am ia meliputi pelbagai jenis jihad sama ada dengan harta, lisan dan nyawa manakala secara khas ia bermaksud memerangi musuh.

Berdasarkan definisi di atas, jihad pada asasnya memiliki maksud yang luas melangkaui makna perang semata-mata. Antara hujah menunjukkan jihad bukan hanya bermaksud qital (peperangan), perkataan jihad juga digunakan dalam ayat-ayat Makkiyyah sedangkan qital belum lagi disyariatkan kecuali di Madinah.

Antaranya firman Allah swt dalam surah al-Furqan, ayat 52:

فَلَا تُطِعِ ٱلۡكَٰفِرِينَ وَجَٰهِدۡهُم بِهِۦ جِهَادا كَبِيرا

“Maka janganlah kamu mengikuti orang-orang kafir, dan berjuanglah dengan Al Quran dengan jihad yang besar”.

Kalimah “وَجَٰهِدۡهُم بِهِۦ” merujuk kepada jihad atau berjuang dengan al-Quran yakni berjuang dengan berdakwah kepada mereka tanpa menggunakan kekerasan. (Al-Tafsir al-Wasit: 10/208).

Peringkat-peringkat jihad

Bagi menjelaskan lagi bahawa jihad bukan sekadar bermaksud perang, amat baik jika kita merujuk kepada perbahasan mengenai peringkat-peringkat jihad:

Pertama: Jihad melawan nafsu

Kedua: Jihad melawan syaitan

Ketiga: Jihad melawan bid’ah dan penyelewengan intelektual

Keempat: Jihad melawan musuh yang jelas

Kesimpulannya, adalah tidak tepat jika jihad hanya diertikan sebagai peperangan semata-mata. Ini kerana maksud jihad yang sebenar adalah lebih luas dan bukan hanya tertumpu pada erti peperangan. 

Seharusnya setiap Muslim itu melalui dan melaksanakan setiap tingkatan jihad mengikut kemampuan diri masing-masing. 

Ia bermula dengan memperbaiki diri (jihad nafsu), jihad melawan syaitan, jihad melawan bid’ah dan penyelewengan intelektual dan jihad menentang musuh yang nyata. 

Jika ditelusuri sejarah para rasul, sahabat dan tabiin, Islam tersebar dengan dengan dakwah penuh ilmu, beradab dan disulami hikmah. 

Justeru, Islam tidak sekali-kali mensyariatkan peperangan kecuali apabila keadaan memerlukan demi mempertahankan Islam dan umatnya.

Ia tertakluk kepada hukum hakam sebagaimana yang dibahaskan oleh para ulama dalam bab fiqah jihad.

Maksud mati syahid

Rasulullah saw menyebutkan darjat syahid bukan sahaja mati dalam peperangan tapi juga bagi mereka yang gugur membela keluarga, membela diri dan membela agamanya. Dengan demikian, pintu syahid memiliki banyak jalan.

‎�فَقَالَ وَمَنْ قُتِلَ دُونَ أَهْلِهِ أَوْ دُونَ دَمِهِ أَوْ دُونَ دِينِهِ فَهُوَ شَهِيدٌ

Maksudnya: “Rasulullah saw bersabda, ‘Siapa saja yang gugur karena membela keluarga, membela diri atau membela agamanya, maka ia mendapat darjat syahid.’”

Secara ringkasnya, Imam Syihabuddin al-Ramli berpandangan bahawa orang yang mati dalam keadaan syahid boleh dikategorikan kepada tiga golongan iaitu:

  1. Syahid di dunia dan akhirat iaitu orang yang gugur terbunuh dalam medan peperangan di jalan Allah swt @kerana menentang golongan kafir dan berniat ikhlas untuk meninggikan kalimah Allah swt. Golongan ini baginya pahala di dunia dan akhirat.
  2. Syahid di akhirat sahaja iaitu orang yang terbunuh dalam keadaan dizalimi tetapi bukan gugur terbunuh di medan peperangan. Mereka ini tergolong dalam hadis yang disebutkan di atas seperti orang yang mati kerana lemas, orang mati dalam runtuhan, orang yang mati kerana penyakit perut dan orang yang mati dalam kebakaran.
  3. Syahid di dunia sahaja iaitu orang yang berperang di jalan Allah SWT tetapi berniat semata-semata untuk mendapatkan harta rampasan perang, terbunuh ketika sedang cuba melarikan diri daripada medan peperangan, berperang hanya kerana riya dan lain-lain lagi.

Jihad memerlukan kekuatan jiwa

Generasi kita yang semakin hilang identiti, lemah jati diri, takut untuk mempertahankan  diri,  bangsa sendiri, agama dan ibu pertiwi. 

Cabaran hidup semasa dan pengaruh luar yang bertimpa-timpa  memerlukan kekuatan jiwa dengan menanam semangat jihad atau sentiasa bermujahadah.

Generasi kini perlu disuntik dengan roh jihad supaya jihad sentiasa hidup dalam diri dan menjiwainya. Usaha ini tentunya memerlukan pengorbanan dengan mengutamakan kebahagiaan akhirat dan tidak pula membiarkan kehidupan dunia kita mundur hingga dihina. 

Selalulah bersabar dan bertenang dalam setiap tindakan. Ingatlah firman Allah swt dalam Surah Ali ‘Imran. Ayat 200:

‎يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ آمَنُوا۟ ٱصْبِرُوا۟ وَصَابِرُوا۟ وَرَابِطُوا۟ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ 

Maksudnya:

Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertakwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan). – The Merdeka Times

Penulis adalah bekas Ketua Hakim Syarie dan Hakim Rayuan Syarie JKSM, Putrajaya.

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Sokong TMT media berani, benar & bebas di https://support.themerdekatimes.com/

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *