Antarabangsa
‘Lindungi generasi anda’, laung peserta himpunan anti-LGBTQ di Istanbul, Turkiye
Beratus-ratus penunjuk perasaan berkumpul pada Ahad lalu bagi perarakan anti-LGBTQ di Istanbul, bandar di mana demonstrasi pro-LGBTQ diharamkan selama bertahun-tahun.
- Beratus-ratus penunjuk perasaan berkumpul pada Ahad lalu bagi perarakan anti-LGBTQ di Istanbul.
- Kumpulan agama, konservatif dan kumpulan haluan kanan menganjurkan protes di kawasan kejiranan Fatih itu ke atas apa yang mereka dakwa sebagai peningkatan ancaman terhadap nilai tradisional di Turkiye yang dicetuskan kelompok LGBTQ.
- Penunjuk perasaan memegang sepanduk dengan tulisan “lindungi keluarga anda dan generasi anda” dan “katakan tidak kepada projek masyarakat berasaskan tanpa jantina”.
- Homoseksualiti adalah sah di Turkiye sejak abad ke-19 dan terdapat beberapa selebriti LGBTQ popular di negara itu, namun ia tidak diterima secara meluas masyarakat Turkiye.
ISTANBUL – Beratus-ratus penunjuk perasaan berkumpul pada Ahad lalu bagi perarakan anti-LGBTQ di Istanbul, bandar di mana demonstrasi pro-LGBTQ diharamkan selama bertahun-tahun.
Kumpulan agama, konservatif dan kumpulan haluan kanan menganjurkan protes di kawasan kejiranan Fatih itu ke atas apa yang mereka dakwa sebagai peningkatan ancaman terhadap nilai tradisional di Turkiye yang dicetuskan kelompok LGBTQ.
Penunjuk perasaan memegang sepanduk dengan tulisan “lindungi keluarga anda dan generasi anda” dan “katakan tidak kepada projek masyarakat berasaskan tanpa jantina,” demikian lapor Middle East Eye.
Kumpulan hak asasi bagaimanapun mengecam demonstrasi itu dan keputusan Majlis Tertinggi Radio dan Televisyen Turkiye membenarkan penyiaran iklan yang menyokong protes itu atas alasan “kepentingan awam”.
Iklan itu dihasilkan Unity in Ideas dan Struggle Platform, sebuah kumpulan 150 NGO berhaluan kanan, dan menyiarkan gambar daripada perhimpunan Pride ketika narator menyeru mereka yang menentang “pelobi imperialis dan global yang mahu menghapuskan gender, mengurangkan generasi manusia dan memusnahkan unit keluarga”.
Parti berhaluan kiri, Parti Demokrasi Rakyat (HDP) dan Parti Pekerja Turkiye (TIP), masing-masing parti ketiga dan keenam terbesar di Parlimen, kedua-duanya mengeluarkan kecaman terhadap perarakan itu dengan HDP menuduh penganjur cuba mendapatkan “laba politik daripada jenayah kebencian”.
Walaupun homoseksualiti adalah sah di Turkiye sejak abad ke-19 dan terdapat beberapa selebriti LGBTQ popular di negara itu, namun ia tidak diterima secara meluas masyarakat di Turkiye.
Sejak berkuasa pada 2002, Kerajaan Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) yang memerintah Turkiye juga menyokong agenda konservatif dan sebilangan ahli politiknya sering menentang homoseksualiti.
Sumber: Middle East Eye