Kolumnis
Perancis dan penghinaan agama: Kontroversi yang tidak berkesudahan
Ketika dunia menantikan upacara pembukaan Olimpik baru-baru ini, Perancis, sebagai tuan rumah Sukan Olimpik, sekali lagi mencetuskan kontroversi dengan tradisi mereka yang gemar mempermainkan sentimen agama.
Ketika dunia menantikan upacara pembukaan Olimpik baru-baru ini, Perancis, sebagai tuan rumah Sukan Olimpik, sekali lagi mencetuskan kontroversi dengan tradisi mereka yang gemar mempermainkan sentimen agama.
Kali ini, agama Kristian menjadi sasaran penghinaan Perancis untuk dipermalukan di muka awam.
Dalam salah satu babak upacara pembukaan tersebut, terdapat parodi terhadap lukisan ‘The Last Supper’, yang merupakan satu detik penting dalam agama Kristian iaitu jamuan terakhir Jesus bersama 12 pengikutnya sebelum penyaliban.
Namun, momen itu telah diparodikan dengan barisan Drag Queen yang secara terang-terangan menghina babak yang sangat suci itu dengan budaya songsang LGBTQ+.
Babak parodi itu benar-benar mencetuskan kemarahan dan kekecewaan yang mendalam dalam kalangan penganut Kristian dari seluruh dunia.
Khususnya para paderi yang mengecam tindakan Perancis membenarkan penghinaan agama berlaku di pentas Olimpik, satu acara yang seharusnya memupuk semangat perpaduan dan keamanan global.
Bishop Robert Barron, seorang paderi Katolik di Amerika Syarikat melabelkan babak Olimpik itu sebagai ‘hinaan kasar pada babak The Last Supper’.
“Perancis, yang pernah dikenali sebagai anak sulung Gereja dan Paris, yang dahulunya pernah memberi kami Thomas Aquinas (tokoh agamawan Kristian) telah memilih untuk mempermainkan kepercayaan Kristian.
“Perancis, yang budayanya berakar dalam agama Kristian merasakan bahawa mengejek agama Kristian adalah wajar,” katanya dengan penuh kecewa.
Amalan menghina dan membenci agama adalah jati diri Perancis
Ini bukanlah kali pertama Perancis menghina agama sebagai satu bahan jenaka.
Tidak salah rasanya sekiranya penulis menyimpulkan terus bahawa tindakan menghina, mempersenda dan membenci agama sebenarnya adalah sebahagian daripada jati diri negara Perancis.
Perancis adalah negara yang telah lama mengadvokasikan nilai sekularisme (pemisahan agama dan negara) sebagai dasar negara sejak lebih 100 tahun.
Dasar ini dikenali sebagai rukun Laïcité iaitu satu rukun anti-agama yang ekstrim. Suatu rukun yang melarang segala penyampaian simbol atau identiti agama di ruang awam dan institusi negara.
Menurut rukun Laïcité, agama adalah hal peribadi yang hanya boleh diamalkan dalam rumah dan secara sulit.
Di luar, rakyat Perancis dilarang sama sekali untuk mempamerkan sebarang simbol hatta menunjukkan identiti keagamaan mereka.
Oleh sebab itu, Perancis secara terang melarang sebarang pemakaian simbol identiti agama seperti hijab dan abaya terhadap wanita Muslim, kippot bagi lelaki Yahudi dan turban bagi lelaki Sikh.
Malah, ia boleh mengenakan hukuman dan tindakan undang-undang sekiranya tidak patuh kerana telah melanggar rukun negara Laïcité.
Pengamalan sekularisme di Perancis jauh berbeza dengan negara-negara sekular lain seperti Eropah dan Amerika Syarikat yang masih membenarkan kebebasan beragama kepada rakyat mereka di ruangan publik.
Rukun Laïcité di Perancis jauh lebih ekstrim. Dan ia adalah ‘agama’ negara Perancis yang perlu diletakkan atas segalanya.
Bagi mempertahankan ‘agama’ Laïcité itu, rakyat Perancis merasakan wajar untuk ‘mengkritik’ sebarang kepercayaan atau kelakuan beragama kerana inilah jati diri dan identiti mereka. Bagi mereka, agama perlu ditentang, dikritik dan dibenci.
Perancis akan terus berdiam isu hina agama
Apatah lagi kini dengan bermodalkan tiket hak kebebasan bersuara, lebih mudah untuk melaksanakan rukun Laïcité.
Sebarang ‘kritikan’ terhadap agama walaupun tajam dan menyentuh sensitiviti orang beragama, ia seolah-olah dibenarkan di bawah undang-undang Perancis.
Ini terbukti melalui majalah kartun anti-agama, Charlie Hebdo yang menjadi contoh bagaimana penghinaan agama Islam, Kristian dan agama-agama lain dibenarkan dan dipromosikan.
Walaupun satu dunia mengecam tindakan kontroversi satira mereka yang berterusan menghina agama Islam dengan kartun kontroversi menghina Nabi Muhammad SAW, namun Mahkamah Perancis tidak pernah mengambil sebarang tindakan undang-undang ke atas majalah tersebut.
Editor Charlie Hebdo, Stephane Charbonnier atau ‘Charb’ bahkan menyatakan bahawa mereka akan berterusan menghina agama Islam sehingga ia menjadi secetek agama Katolik.
Mereka bukan sekadar menghina Islam. Agama-agama lain juga tidak berkecuali daripada menjadi mangsa penghinaan.
Sebagai contoh, satu lukisan satira oleh kartunis Riss yang telah mengejek kepercayaan Triniti. Lukisan itu telah memaparkan perlakuan tidak senonoh yang melibatkan hubungan seksual tiga orang yang tertulis ‘Bapa’, ‘Anak’ dan ‘Roh Kudus’.
Seterusnya pada 2006, filem komedi Perancis, Les Bronzés 3: Amis Pour La Vie dikecam oleh badan pertubuhan Hindu di Britain kerana mempamerkan satu babak di mana watak utama itu menyumpah dan ketawa sambil mengoyakkan gambar Dewa Shiva .
Hindu Forum of Britain, yang mewakili 240 kumpulan Hindu telah menyifatkan filem itu sebagai ‘penghinaan secara terang-terang kepada Dewa Shiva yang mempersendakan pemujaan’.
Ini adalah contoh jelas bagaimana kebebasan bersuara digunakan untuk merendahkan dan menghina agama, bukan untuk membela nilai-nilai kemanusiaan.
Walaupun terdapat kecaman, protes dan tindakan undang-undang dari pelbagai pihak bagi menghentikan setiap penghinaan agama oleh rakyat Perancis, namun Perancis terus berdiam dan tidak mengambil sebarang tindakan.
Melihat tindakan diam Perancis berkait isu-isu penghinaan agama sebelum ini, sudah pasti isu yang terjadi di Olimpik ini juga akan dipandang sepi.
Inilah kesan sentimen anti-agama, Laïcité. Mereka tidak lagi takut mengutarakan kebencian terhadap agama secara terang-terangan kerana terlindung dengan dasar negara yang anti-agama.
Ini bukan lagi hak asasi, tetapi ia adalah satu diskriminasi, prejudis dan kebencian kepada agama secara terang-terangan yang dimanipulasikan atas tiket Laïcité dan hak kebebasan bersuara. – The Merdeka Times
Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.