Terkini
Hampir 20 video TikTok MB Terengganu dipadam tanpa notis dan sebab
Hampir 20 video di TikTok Menteri Besar (MB) Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar didakwa dipadam tanpa sebarang notis dan alasan.
- Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Harun Esa berkata beliau terkejut selepas melihat senarai video dipadam itu kerana kesemuanya tidak menyentuh perkara sensitif, termasuk 3R.
- “Antara video dipadam ialah ucapan semangat MB kepada pasukan bola sepak Terengganu sempena perlawanan akhir (1.3 juta tontonan), perkongsian ahli Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Terengganu, ‘Aunty Amy Chua’ (5.5 juta tontonan) dan perbahasan MB di Parlimen tentang politik diskriminasi (700 ribu tontonan).
- “Banyak lagi video lain yang dipadam terus, rata-rata tontonan sudah mencecah 500 ribu hingga 1 juta, ini kejadian sangat pelik dan saya sangat kecewa dengan apa yang berlaku,” katanya dipetik TRDI News pada Isnin.
- Difahamkan Sekretariat Akhbar Menteri Besar (SAMB) Terengganu telah memohon penjelasan rasmi daripada TikTok, namun masih belum menerima jawapan.
- Malaysia sebelum ini dilaporkan menduduki tempat teratas dalam senarai pentadbiran di dunia meminta TikTok menurunkan kandungan di platformnya dalam tempoh separuh kedua tahun lalu.
KUALA LUMPUR — Hampir 20 video di TikTok Menteri Besar (MB) Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar didakwa dipadam tanpa sebarang notis dan alasan.
Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Harun Esa berkata beliau terkejut selepas melihat senarai video dipadam itu kerana kesemuanya tidak menyentuh perkara sensitif, termasuk 3R iaitu race (bangsa), religion (agama) dan royalty (raja).
“Antara video dipadam ialah ucapan semangat MB kepada pasukan bola sepak Terengganu sempena perlawanan akhir (1.3 juta tontonan), perkongsian ahli Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Terengganu, ‘Aunty Amy Chua’ (5.5 juta tontonan) dan perbahasan MB di Parlimen tentang politik diskriminasi (700 ribu tontonan).
“Selain itu, video majlis Perasmian Pecah Tanah Hotel di Strawberry Park (900 ribu tontonan) dan meraikan kunjungan hormat Duta Qatar (300 ribu tontonan) turut dipadam.
“Banyak lagi video lain yang dipadam terus, rata-rata tontonan sudah mencecah 500 ribu hingga 1 juta, ini kejadian sangat pelik dan saya sangat kecewa dengan apa yang berlaku.
“Tambah lagi semua video terbabit tiada unsur provokatif atau menyakitkan hati mana-mana pihak, ia hanya dengan fakta, harapan dan perkembangan negeri serta kerajaan negeri,” katanya dipetik TRDI News pada Isnin.
Mohd Harun difahamkan Sekretariat Akhbar Menteri Besar (SAMB) Terengganu telah memohon penjelasan rasmi daripada pihak TikTok, namun masih belum menerima sebarang jawapan.
“Kita harap isu ini ada penjelasan segera daripada pihak berwajb, jangan baling batu sembunyi tangan,” katanya.
Beliau berkata pihak SAMB juga memaklumkan penggunaan X (Twitter) Ahmad Samsuri turut mengalami kesukaran di mana video yang dimuat naik hilang secara tiba-tiba dan tidak dapat dilihat pengguna lain.
Mengulas isu itu, seorang warga emas berbangsa Cina di daerah Kuala Terengganu dilaporkan kecewa selepas video perkongsiannya di TikTok Ahmad Samsuri tentang perpaduan kaum di Terengganu dipadam tanpa sebab.
Wanita mesra dipanggil Aunty Amy Chua itu berkata, lebih menyedihkan video dibuang daripada TikTok Menteri Besar Terengganu tersebut sudah mencecah 5.9 juta tontonan itu.
Difahamkan, Aunty Amy Chua menerusi video itu antaranya mengatakan dia dan rakan-rakan yang lain tidak pernah sesekali dipaksa menukar agama atau masuk Islam.
Terdahulu, dua klip video bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin membincangkan isu kontroversi Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) dan BlackRock turut dilaporkan dikeluarkan TikTok kerana didakwa melanggar garis panduan komuniti platform itu.
Isu sekatan kandungan di media sosial juga pernah dibangkitkan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mendakwa sekatan kandungan berunsur kritikan kepada kerajaan menerusi media sosial kini meningkat 40 kali ganda.
“Tetapi hari ini terbukti jumlah censorship (penapisan), sekatan meningkat bukan sekali ganda, dua kali ganda, tiga kali ganda meningkat, (tapi) 40 kali ganda sampai apabila Yang Berhormat Putrajaya keluarkan video berasaskan fakta kritik berkenaan mata wang ringgit yang paling lemah lebih 26 tahun!
“Tetapi bila dah cecah 2 juta views dilenyapkan kerana laporan MCMC bawah Kerajaan MADANI,” katanya menerusi klip video di TikTok berlatarkan Persidangan Dewan Rakyat.
Malaysia sebelum ini dilaporkan menduduki tempat teratas dalam senarai pentadbiran di dunia meminta TikTok menurunkan kandungan di platformnya dalam tempoh separuh kedua tahun lalu.
Ia berdasarkan data dikeluarkan syarikat itu, sebulan selepas Malaysia jatuh 34 anak tangga dalam indeks kebebasan media antarabangsa tahun ini.
Platform video pendek TikTok dilaporkan menerima 2,202 permintaan Putrajaya untuk mengalih keluar lebih 6,000 kandungan, demikian menurut “Laporan Permintaan Pembuangan Kerajaan” tahunan TikTok bagi 2023. — The Merdeka Times