Terkini
Wujud ketidakpatuhan prosedur dalam penahanan Nagahswaran, bekas suami Loh Siew Hong – Ketua Hakim Negara
Mahkamah Persekutuan hari ini membebaskan Nagahswaran Muniandy dengan serta-merta kerana didapati wujud ketidakpatuhan prosedur di dalam penahanan dia atas dakwaan mengedar dadah, pada dua tahun lalu.
- Nagahswaran Muniandy serta-merta dibebaskan selepas ditahan dua tahun lalu atas dakwaan mengedar dadah.
- Dia ditahan di Pusat Pemulihan Akhlak Machang tanpa bicara di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985.
- Ketua Hakim Negara Tengku Maimum Tuan Mat yang mempengerusikan perbicaraan mengatakan wujud ketidakpatuhan prosedur dalam penahanan Nagahswaran dan mengarahkan Nagahswaran dilepaskan serta-merta.
- “Dalam tempoh penahanan, Nagahswaran berterusan menafikan bahawa dia terlibat dalam kesalahan tersebut, “ – Peguambela dan Peguamcara.
KUALA LUMPUR – Mahkamah Persekutuan hari ini membebaskan Nagahswaran Muniandy dengan serta-merta kerana didapati wujud ketidakpatuhan prosedur di dalam penahanan dia atas dakwaan mengedar dadah, pada dua tahun lalu.
Nagahswaran sebelum ini terpalit dengan konflik bekas isterinya Loh Siew Hong yang mendakwa beliau telah melarikan tiga anak mereka dan menukar agama mereka tanpa pengetahuan dan kebenaran Loh.
Ketua Hakim Negara Tengku Maimum Tuan Mat yang mempengerusikan perbicaraan tersebut mengatakan bahawa wujud ketidakpatuhan prosedur di dalam penahanan Nagahswaran dan beliau telah mengarahkan Nagahswaran dilepaskan serta-merta.
Ketidakpatuhan prosedur disini bermaksud dalam penahanan Nagahswaran terdapat kecacatan/kesilapan daripada pihak berkuasa, dan atas sebab itu beliau dibebaskan pada hari ini.
Sebelum ini, Nagahswaran telah ditahan selama dua tahun di Pusat Pemulihan Akhlak Machang tanpa bicara di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985.
Peguambela dan Peguamcara, Jay Moy Wei Jiun yang mewakili Nagahswaran menjelaskan menerusi akta tersebut, anak guamannya ditahan pada 21 September 2020 berdasarkan wujud individu-individu yang telah memberikan maklumat kepada pihak polis bahawa Nagahswaran terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah.
“Bila ditangkap di bawah akta ini dia tidak akan dituduh di mahkamah sebaliknya akan disiasat di bawah akta ini sama ada dia terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah dengan sekumpulan besar orang.
Jadi selepas siasatan pihak polis dalam tempoh 60 hari, pihak Kementerian Dalam Negeri telah keluarkan perintah tahanan selama 2 tahun ke atas Nagahswaran tanpa bicara.
Akta tersebut digunakan pihak polis untuk membuat tangkapan dan siasatan di mana tidak ada bukti pengedaran tersebut. Maksudnya tiada penangkapan bersama dadah.
Sebaliknya ia berdasarkan kepada fakta bahawa ada individu-individu yang telah memberikan maklumat kepada pihak polis bahawa Nagahswaran terlibat dalam aktiviti pengedaran,” katanya yang telah memfailkan permohonan Habeas Corpus di Mahkamah Tinggi untuk mendapatkan pembebasan Nagahswaran di atas isu sama ada terdapat ketidakpatuhan prosedur dalam penahanan anak guamannya.
Jay turut menjelaskan bahawa dalam tempoh penahanan, Nagahswaran berterusan menafikan bahawa dia terlibat dalam kesalahan tersebut.
Dalam pada itu, menurut Jay, anak guamannya ada berkongsi bahawa dia mempunyai fakta untuk melawan dakwaan bekas isterinya namun ketika itu dia berada dalam tahanan hingga ia tidak mampu mempertahankan diri.
Berikut kronologi penahanan Nagahswaran Muniandy:
- Nagahswaran ditangkap di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985 pada 21.9.2020.
- Selepas siasatan pihak polis, beliau diberikan Perintah Tahanan selama 2 tahun oleh Kementerian Dalam Negeri yang bermaksud dia ditahan tanpa bicara.
- Semasa ditahan di pusat pemulihan akhlak, Nagahswaran melalui pendengaran representasi di hadapan Lembaga Penasihat namun tidak diwakili peguam dan masih menafikan penglibatannya dalam aktiviti pengedaran dadah.
- Pengerusi Lembaga Penasihat telah menolak rayuan itu dan kekalkan perintah tahanan selama dua tahun itu.
- Nagahswaran melantik Peguambela dan Peguamcara, Jay Moy Wei Jiun sebagai peguam belanya.
- Jay failkan permohonan Habeas Corpus di Mahkamah Tinggi untuk mendapatkan pembebasan di atas isu sama ada terdapat ketidakpatuhan prosedur dalam penahanan anak guamannya.
- Hakim Mahkamah Tinggi menolak permohonan tersebut dan mengatakan tidak ada apa-apa ketidakpatuhan prosedur.
- Rayuan dibuat di Mahkamah Persekutuan.
- Hari ini (7 Sep 22) Mahkamah Persekutuan memutuskan Nagahswaran dibebaskan serta-merta daripada sebarang pertuduhan.
- Ketua Hakim Negara Tengku Maimum Tuan Mat yang mempengerusikan perbicaraan mengatakan wujud ketidakpatuhan prosedur di dalam penahanan Nagahswaran.