Connect with us

Antarabangsa

Arab Saudi, GCC tuntut Netflix buang kandungan langgar nilai Islam, LGBT

Negara Kerjasama Teluk (GCC) menuntut Netflix membuang semua kandungan yang dianggap melanggar nilai dan prinsip Islam dan masyarakat, demikian menurut laporan media Saudi.

Published

on

Arab Saudi, GCC tuntut Netflix buang kandungan langgar nilai Islam, LGBT
Foto: Negara Kerjasama Teluk menuntut Netflix untuk membuang semua kandungannya yang melanggar nilai dan prinsip Islam dan masyarakat.
  • Arab Saudi dan Negara Kerjasama Teluk (GCC) menuntut Netflix untuk membuang semua kandungannya yang melanggar nilai dan prinsip Islam dan masyarakat. 
  • Ia susulan filem ditayangkan Netflix tidak menyampaikan mesej bermoral dan mengancam pendidikan sihat anak-anak. 
  • “(Netflix) telah dihubungi untuk mengalih keluar kandungan ini, termasuk kandungan yang ditujukan kepada kanak-kanak, dan untuk memastikan pematuhan kepada undang-undang,” – Suruhanjaya Am Saudi untuk Media Audiovisual.

Negara Kerjasama Teluk (GCC) menuntut Netflix membuang semua kandungan yang dianggap melanggar nilai dan prinsip Islam dan masyarakat, demikian menurut laporan media Saudi.

Kandungan terbaru di Netflix, termasuk yang dibuat untuk kanak-kanak didapati melanggar peraturan, kata badan pemerhati media Majlis Kerjasama Arab Saudi dan Teluk dalam satu kenyataan.

Ia tidak memberikan sebarang butiran lanjut tetapi TV kerajaan Saudi menunjukkan klip yang dikaburkan dari rancangan animasi Jurassic World: Camp Cretaceous di mana dua remaja perempuan mengaku mereka saling mencintai dan berciuman.

Rakaman daripada filem kontroversi Perancis Cuties juga dipaparkan dalam laporan stesen TV Al Ekhbariya dengan kapsyen mendakwa Netflix membuat “liputan sinematografi bertujuan menyampaikan mesej tidak bermoral dan mengancam didikan sihat kanak-kanak”.

Satu lagi video di laman web Al Ekhbariya mendakwa perkhidmatan penstriman itu mempromosikan homoseksual dengan memberi tumpuan secara berlebihan kepada golongan homoseksual.

Saluran itu turut menemu bual beberapa tokoh awam yang membuat tuduhan sama dan meminta pihak berkuasa mengambil tindakan segera.

“(Netflix) telah dihubungi untuk mengeluarkan kandungan ini, termasuk kandungan yang ditujukan kepada kanak-kanak, dan untuk memastikan pematuhan kepada undang-undang,” menurut kenyataan bersama Suruhanjaya Am Saudi untuk Media Audiovisual dan Jawatankuasa Pegawai Media Elektronik GCC.

“Pihak berkuasa akan membuat susulan terhadap pematuhan arahan itu dan sekiranya kandungan yang melanggar peraturan itu terus disiarkan, langkah undang-undang yang perlu akan diambil,” tegasnya. 

Di bawah tafsiran undang-undang Islam negara itu, kelakuan seksual sesama jantina secara suka sama suka boleh dihukum mati atau dihukum sebat, bergantung kepada keseriusan kes itu.

Pada April, pawagam di Arab Saudi tidak menayangkan filem Doctor Strange in the Multiverse of Madness selepas Disney menolak permintaan pihak berkuasa Saudi untuk memotong babak yang boleh dikategorikan sebagai LGBTQ.

Sumber: BBC

 

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author