Connect with us

Terkini

Umrah Sang Mualaf: Kembara yang tumbuh rasa cinta dakwah

HARI ini merupakan hari terakhir kembara umrah saya dan peserta Program Tetamu Penjaga Dua Kota Suci di kota kelahiran Baginda Rasulullah SAW, Makkah al-Mukarramah.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Research And Development MRM

Published

on

Foto: Seorang mualaf dari Multiracial Reverted Muslims (MRM). 

HARI ini merupakan hari terakhir kembara umrah saya dan peserta Program Tetamu Penjaga Dua Kota Suci di kota kelahiran Baginda Rasulullah SAW, Makkah al-Mukarramah.

Walaupun kami berada di sana kira-kira 10 hari, namun rasanya bagai semalam baru sahaja menjejakkan kaki di kota ini. 

Mungkin sewaktu catatan ini diterbitkan, saya sudah selamat pulang ke tanah air di pangkuan keluarga dan kembali meneruskan gerak kerja dakwah bersama Multiracial Reverted Muslims (MRM). 

Satu kembara rohani yang tidak dapat saya lupakan di mana sejarah Islam yang saya ketahui dan pelajari selama ini seolah-olah ia hidup semula walaupun baginda Rasulullah SAW dan para sahabat sudah tiada secara fizikalnya. 

Apabila sudah menjejakkan kaki sendiri di bumi Makkah dan Madinah ini, perasaannya tidak sama seperti hanya membaca dari buku-buku sejarah atau mendengar di kelas. 

Kali ini saya dapat merasai, malah menghayati perjuangan dan kesabaran mereka dalam berdakwah dengan melihat sendiri tempat-tempat mereka berjuang pada waktu itu.

Foto: Bukit Safa saksi dakwah terbuka Rasulullah SAW yang pertama.

Bermula dengan wahyu pertama di Gua Hira, pengislaman Khadijah, Abu Bakr, Ammar, Bilal dan para sahabat lain, penentangan Quraisy hingga hijrah di Madinah, permulaan perang-perang yang menyaksikan sahabat yang syahid hingga ke pembukaan Kota Makkah, khutbah terakhir Nabi hingga ke kewafatan Nabi SAW, semuanya berlaku di bumi ini. 

Namun bagi saya, mustahil bagi kita merasai erti kesabaran dalam perjuangan baginda Rasulullah SAW dan para sahabat yang sebenar sekiranya kita sendiri tidak melaksanakan dakwah seperti mereka. 

Apabila kita sendiri yang turun ke medan dakwah, barulah kita tahu bahawa berdakwah bukanlah perkara mudah yang boleh dilihat keputusannya dalam masa yang singkat. Inilah realiti berdakwah.  

Ini kerana dakwah adalah sunnah dan sunnah dalam berdakwah adalah dihina, dimaki dan dibenci. 

Malah, kesayangan Allah SWT sendiri, Rasulullah SAW juga pernah ditentang, dihina, malah diancam bunuh. 

Namun apakah tentangan, hinaan dan ancaman itu membuatkan baginda berhenti dan berdiam? 

Tidak! Baginda bersabar dan terus menyebarkan dakwah sehingga malaikat maut menjemputnya. 

Saya teringat firman Allah SWT memujuk Nabi Allah SAW untuk tetap teguh berdakwah.

“Maka jangan pula engkau (wahai Muhammad), membinasakan dirimu disebabkan menanggung dukacita terhadap kesan-kesan perbuatan mereka, jika mereka enggan beriman kepada keterangan al-Qur’an ini.” (Surah Al-Kahfi, 18:6)

Kembara umrah kali ini berjaya membuka mata saya betapa teguhnya Rasulullah SAW dan para sahabat dalam medan dakwah, malah tumbuh rasa cinta untuk terus menegakkan agama Tauhid.

Saya berharap semoga rasa cinta dakwah ini semakin subur dan diberikan kekuatan untuk berjalan terus menyampaikan dakwah di bumi Malaysia.

Kamu semua adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia menyuruh kepada yang ma’ruf, mencegah dari yang mungkar dan beriman kepada Allah.” (Surah Ali Imran, 3: 110) – The Merdeka Times

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *