Kolumnis
Umrah Sang Mualaf: Makkah aku datang
HARI ini merupakan hari yang saya dan jemaah umrah Program Tetamu Penjaga Dua Kota Suci amat nanti-nantikan, di mana kami akan bertolak dari Madinah ke kota Makkah untuk menunaikan ibadah umrah.
HARI ini merupakan hari yang saya dan jemaah umrah Program Tetamu Penjaga Dua Kota Suci amat nanti-nantikan, di mana kami akan bertolak dari Madinah ke kota Makkah untuk menunaikan ibadah umrah.
Kami hanya mengambil masa selama tujuh jam perjalanan sahaja untuk tiba ke kota Makkah dari Madinah al-Munawwarah.
Sepanjang perjalanan ke Makkah, saya teringat akan suatu peristiwa yang tidak asing dalam sejarah umat Islam iaitu peristiwa pembukaan Kota Makkah (Fathul Makkah).
Peristiwa bersejarah di mana Rasulullah SAW dan 10,000 orang sahabat berarak dari Kota Madinah menuju ke Makkah pada 10 Ramadan tahun ke-8 Hijrah. Mereka tiba ke kota Makkah pada 18 Ramadan tahun ke-8 Hijrah iaitu kira-kira lapan hari perjalanan.
Namun perjalanan lapan hari itu pada hakikatnya bukanlah suatu perjalanan yang mudah. Ia memakan masa bertahun-tahun lamanya yang dipenuhi segala liku cabaran untuk tiba ke detik bersejarah itu.
Sebelum itu, golongan Muslim terpaksa menghadapi pelbagai peperangan dan penindasan Musyrikin untuk membebaskan kota Makkah daripada belenggu jahiliyah dan pemberhalaan.
Sejarah Islam turut merekodkan betapa ramainya para sahabat telah syahid di jalan Allah demi memastikan tertegaknya Islam.
Alangkah besarnya pengorbanan baginda Rasulullah SAW dan para sahabat untuk mengembangkan syiar Islam.
Namun, janji Allah itu janji yang pasti. Tiada keraguan baginya. Allah SWT telah berfirman dalam Surah Al-Fath, 48:1-3:
“Sesungguhnya kami telah memberikan kepadamu kemenangan yang nyata. Supaya Allah memberi ampunan kepadamu terhadap dosamu yang telah lalu dan yang akan datang serta menyempurnakan nikmatNya atasmu dan memimpin kamu kepada jalan yang lurus. Dan supaya Allah menolongmu dengan pertolongan yang kuat (banyak).”
Keteguhan para Muslim pada janji Allah telah menyaksikan kemenangan Islam pada hari tersebut apabila sekali lagi para Muslim kembali dan menguasai Makkah secara keseluruhan setelah lapan tahun meninggalkannya.
Apabila saya sedang menaip catatan ini, saya sedang berada di hadapan Kaabah di mana pada satu ketika dahulu ia dipenuhi lebih dari 300 patung berhala yang pernah disembah orang musyrikun.
Apabila tertegaknya agama tauhid pada hari Fathul Makkah, kesemua berhala itu berjaya ditumbangkan dan dihancurkan oleh Baginda Rasulullah SAW lalu mengucapkan firman Allah:
“Telah datang kebenaran (Islam), dan hilang lenyaplah perkara yang salah (kufur dan syirik); telah datang kebenaran (Al-Quran yang memberi segala kebaikan), dan perkara yang salah tidak memberi sebarang kebaikan di dunia, usahkan hendak mengulanginya di akhirat.” (Sahih Bukhari, no 4287)
Ia sebagai satu tanda untuk membersihkan dan memuliakan Kaabah daripada segala perbuatan kekufuran dan syirik kepada Allah SWT. Ternyata yang layak disembah hanyalah Allah SWT, Tuhan yang Maha Esa. Tiada yang lain selain Dia.
“Allahu Akbar,” takbiratul ihram saya yang pertama di depan Kaabah. Hari-hari saya solat menghadap kiblat, inilah kali pertama kiblat kepada semua penganut Islam kini berada di hadapan mata saya. Sebegitu dekatnya jarak saya dengan Kaabah pada waktu ini.
“Ya Allah, jangan jadikan ini kali terakhir aku melihat Kaabah ini.”
Walaupun kami hanya meluangkan masa 3 jam untuk menyelesaikan ibadah umrah, namun 3 jam itu saya terasa begitu singkat waktunya.
Semoga umrah kami ini diterima Allah SWT dan menjadi umrah yang mabrur. – The Merdeka Times