Terkini
Tiada keperluan warganegara perlu kuasai BM untuk mohon pasport – Lawyers for Liberty
Tiada keperluan bagi warganegara Malaysia yang secara rutin memohon pasport perlu menunjukkan kefasihan dalam berbahasa Melayu, kata Pengarah Lawyers for Liberty (LFL), Zaid Malek.
- Tiada keperluan bagi warganegara Malaysia yang secara rutin memohon pasport perlu menunjukkan kefasihan dalam berbahasa Melayu, kata Pengarah Lawyers for Liberty (LFL), Zaid Malek.
- Zaid Malek berkata demikian susulan tindakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mempertahankan seorang pengawai imigresen mempersoalkan seorang individu yang didapati tidak fasih berbahasa Melayu semasa mahu memperbaharui pasportnya di Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Johor, baru-baru ini.
- Zaid berkata cubaan Saifuddin untuk bergantung kepada kajian dijalankan KDN yang mendakwa penguasaan bahasa sebagai syarat untuk kewarganegaraan di negara lain adalah salah.
- “Dalam apa jua keadaan, Perlembagaan kita tidak mempunyai keperluan sedemikian bagi mereka yang berhak mendapat kerakyatan seperti sepatutnya, dan dia tidak boleh memetik contoh negara lain yang bertentangan undang-undang tertinggi negara kita,” kata Zaid dalam kenyataan pada Rabu.
- Saifuddin pada 4 Disember lalu dilaporkan berkata, tindakan diambil pegawai berkenaan disebabkan kemungkinan wujud syak wasangka terhadap status kewarganegaraan individu terbabit.
KUALA LUMPUR — Tiada keperluan bagi warganegara Malaysia yang secara rutin memohon pasport perlu menunjukkan kefasihan dalam berbahasa Melayu, kata Pengarah Lawyers for Liberty (LFL), Zaid Malek.
Zaid Malek berkata demikian susulan tindakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mempertahankan seorang pegawai imigresen mempersoalkan seorang individu didapati tidak fasih berbahasa Melayu semasa mahu memperbaharui pasportnya di Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Johor, baru-baru ini.
“Mengenakan syarat sedemikian adalah menyalahi undang-undang, keterlaluan dan akan membangkitkan kebimbangan dalam kalangan orang ramai,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Zaid berkata cubaan Saifuddin untuk bergantung kepada kajian dijalankan KDN yang mendakwa penguasaan bahasa sebagai syarat untuk kewarganegaraan di negara lain adalah salah.
Katanya, ini kerana keperluan itu merujuk kepada kewarganegaraan melalui penaturalisasian atau pendaftaran yang berbeza dengan syarat kewarganegaraan sebagai perkara undang-undang.
“Dalam apa jua keadaan, Perlembagaan kita tidak mempunyai keperluan sedemikian bagi mereka yang berhak mendapat kerakyatan seperti sepatutnya, dan dia tidak boleh memetik contoh negara lain yang bertentangan undang-undang tertinggi negara kita.
“Adalah membimbangkan seorang Menteri Dalam Negeri yang terlibat dalam kontroversi pindaan Perlembagaan mengenai kewarganegaraan dilihat tidak mempunyai pemahaman asas undang-undang kewarganegaraan di bawah Perlembagaan.
“Beliau juga nampaknya tidak memahami kewarganegaraan melalui kuat kuasa undang-undang adalah berasingan daripada kewarganegaraan melalui pendaftaran atau naturalisasi,” katanya.
Zaid berkata wanita dan anak perempuannya yang terbabit dalam insiden itu merupakan warganegara Malaysia berdasarkan undang-undang dan tidak sepatutnya mengalami gangguan dan ejekan yang mereka hadapi daripada pegawai itu.
Beliau mengingatkan Menteri Dalam Negeri atau mana-mana pihak penguatkuasa di bawah bidang kuasanya untuk tidak menambah ketetapan di luar kehendak undang-undang.
Katanya, penting bagi KDN sebagai badan eksekutif memastikan undang-undang dan perlembagaan dipatuhi.
“Untuk itu, perlu ada siasatan dan tindakan sewajarnya diambil terhadap pegawai imigresen atas kelakuan mereka yang menyalahi undang-undang dan keterlaluan.
“Kerajaan juga perlu memastikan semua protokol yang berkuat kuasa di Jabatan Imigresen mematuhi undang-undang,” kata Zaid.
Saifuddin pada 4 Disember lalu dilaporkan berkata, tindakan diambil pegawai berkenaan disebabkan kemungkinan wujud syak wasangka terhadap status kewarganegaraan individu terbabit.
Katanya, KDN sebelum ini pernah membuat kajian tentang warganegara mendedahkan syarat menguasai bahasa tempatan juga menjadi syarat utama bagi beberapa negara termaju dunia seperti di Singapura, UK, Amerika Syarikat.
“Kalau tak boleh faham bahasa tempatan memang tidak layak memohon. Di Malaysia sudah terpahat dalam Perlembagaan bahawa bahasa Melayu (BM) adalah Bahasa Kebangsaan dan bahasa rasmi, bahasa lain bebas dipelajari dan digunakan. Jadi asasnya di situ.
“Kewajipan seseorang warga untuk kuasai BM itu, tak boleh kompromi, kalau insiden itu berlaku dan sebab itulah perlu faham BM supaya tidak timbul syak wasangka,” kata Saifuddin. —- The Merdeka Times
Sumber : Laman Web Lawyers for Liberty (LFL)