Antarabangsa
Kritik konsert dan acara hiburan di Arab Saudi, bekas imam Masjidil Haram dipenjara 10 tahun
Mahkamah Saudi menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun ke atas bekas imam Masjidil Haram, Mekah.
- Mahkamah Saudi menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun ke atas bekas imam Masjidil Haram, Sheikh Saleh al Talib.
- Dijatuhkan hukuman penjara oleh Mahkamah Rayuan Jenayah Khas di Riyadh yang membatalkan pembebasan pertuduhan Sheikh Saleh sebelum itu.
- Sheikh Saleh ditahan pada 2018 selepas menyampaikan khutbah yang mengkritik Pihak Berkuasa Hiburan Umum, badan kerajaan yang bertanggungjawab mengawalselia industri hiburan di Arab Saudi.
- Bekas imam Masjidil Haram itu mengecam konsert dan acara keramaian yang menyimpang dari ajaran agama dan norma budaya Arab Saudi.
- Sejak Mohammed bin Salman (MBS) memegang kuasa de facto sebagai Putera Mahkota Saudi, kumpulan berhaluan kanan berkata, pihak berkuasa menahan berpuluh-puluh ulama dan imam terkemuka yang mengkritik agenda reformasinya.
Mahkamah Saudi menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun ke atas bekas imam Masjidil Haram, Mekah.
Mahkamah Rayuan Jenayah Khas di Riyadh menjatuhkan hukuman penjara itu ke atas Sheikh Saleh al Talib selepas membatalkan pembebasan pertuduhan ke atas bekas imam itu, demikian menurut kumpulan hak asasi berpangkalan di Amerika Syarikat, Democracy for the Arab World Now (Dawn) pada Isnin lalu.
Menurut aktivis, pihak berkuasa Arab Saudi menahan Sheikh Saleh pada 2018 tanpa sebarang alasan selepas beliau menyampaikan khutbah mengkritik Pihak Berkuasa Hiburan Umum iaitu badan kerajaan yang bertanggungjawab mengawalselia industri hiburan di negara itu.
Bekas imam Masjidil Haram itu mengecam konsert dan acara keramaian yang menyimpang dari ajaran agama dan norma budaya Arab Saudi, demikian laporan Middle East Eye semalam.
Penahanan itu dilakukan ketika Putera Mahkota Saudi Mohammed bin Salman (MBS) meneruskan usahanya mereformasi masyarakat Saudi dan mempelbagaikan ekonomi kerajaan negara Teluk yang bergantung kepada minyak itu.
Sejak MBS memegang kuasa de facto sebagai putera mahkota, kumpulan berhaluan kanan berkata, pihak berkuasa menahan berpuluh-puluh ulama dan imam terkemuka yang mengkritik agenda reformasinya.
Antara yang ditahan adalah Salman al-Odah yang bertindak menyeru rakyat Arab Saudi mendamaikan perbezaan dengan warga Qatar selepas Riyadh mengetuai sekatan ke atas negara teluk itu.
Hukuman penjara ke atas bekas imam Masjidil Haram itu disahkan Dawn, kumpulan yang diasaskan wartawan Allahyarham Jamal Khashoggi, melalui ciapan Twitter.
Jurucakap Dawn, Abdullah Alaoudh mengecam hukuman penjara itu dan berkata ia sudah menjadi kebiasaan, di mana ulama dan imam ditahan dan dipenjarakan kerana berani bersuara menentang pembaharuan dilakukan putera mahkota Saudi.
“Hukuman 10 tahun penjara terhadap Imam Masjidil Haram Saleh Al Talib atas kritikannya terhadap perubahan sosial serta hukuman 34 tahun penjara ke atas aktivis wanita, Salma al-Shehab kerana menyifatkan ironi pembaharuan sosial sebenar adalah penindasan MBS yang mengancam banyak kumpulan,” kata Alaoudh yang juga anak kepada Salman al-Odah.
“Persamaan di antara semua tahanan politik, termasuk Imam (Sheikh Saleh) Al Talib, mereka ditangkap hanya kerana menyatakan pendapat mereka secara aman. Penindasan ini harus dihentikan terhadap semua orang (tanpa) pengecualian.”
Pengkritik lain yang ditahan termasuk pelajar PhD Salma al-Shehab yang dijatuhkan hukuman penjara 34 tahun kerana menghantar ciapan kritikan terhadap kerajaan Saudi di Twitter.
Sumber: Middle East Eye
Bin daud
August 27, 2022 at 2:36 pm
Muhaamad bin salman dah menyimpang. Bakal dibalas di akhirat. Wallahu a’lam