Kolumnis
Hentikan stigma, Kesihatan mental milik semua
KERAP disisih dan didiskriminasi ahli keluarga dan masyarakat sekeliling disebabkan stigma menebal adalah faktor mengapa kesihatan mental sering diabaikan.
KERAP disisih dan didiskriminasi ahli keluarga dan masyarakat sekeliling disebabkan stigma menebal adalah faktor mengapa kesihatan mental sering diabaikan.
Stigma seperti golongan pesakit mental boleh bertukar menjadi ‘ganas’ pada bila-bila masa dan ‘perlu diasingkan’ serta ‘tidak mampu dirawat’ merupakan persepsi yang perlu ditangkis.
Ini kerana stigma negatif boleh memberi lebih tekanan kepada pesakit sehingga mereka sanggup mengambil keputusan membunuh diri kerana merasakan dirinya tidak berguna.
Statistik Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai jumlah individu mendapat sokongan menerusi Talian Bantuan Perkhidmatan Sokongan Psikososial (MHPSS) menunjukkan berlaku peningkatan lima kali ganda bagi 2022 berbanding 2020.
Manakala jumlah kes cubaan bunuh diri pada 2021 dilaporkan sebanyak 1,142 kes dan 631 kes dilaporkan pada 2020.
Jumlah kes bagi 2021 menunjukkan peningkatan ketara iaitu sebanyak 81 peratus berbanding 2020.
Sepatutnya dengan peningkatan kes sebegini, setiap individu seharusnya menyedari bahawa kesihatan mental adalah masalah serius yang perlu dirawat segera seperti merawat kesakitan fizikal.
Jika stigma ini berterusan, bagaimana kita hendak memastikan lebih ramai yang berani ke hadapan untuk membuat pemeriksaan kesihatan mereka?
Lebih merisaukan apabila individu itu sendiri mengetahui bahawa dirinya mempunyai masalah mental tetapi tidak berani untuk mendapatkan rawatan kerana malu dan khuatir hak mereka untuk menjalani kehidupan biasa akan dinafikan golongan tertentu.
Justeru, ramai lebih gemar menyimpan masalah, tidak mahu berkongsi dengan keluarga atau rakan sehingga akhirnya tekanan sukar dikawal.
Untuk menangani permasalahan itu, masyarakat perlu sedar mereka mempunyai peranan dan tanggungjawab penting dalam membantu individu yang mengalami masalah kesihatan mental.
Selain itu, masyarakat perlu prihatin dan peka terhadap perubahan sikap dan tingkah laku individu tersebut.
Antara perubahan dan simptom awal penyakit mental seperti murung, pendiam atau bertindak di luar kebiasaan.
Maka jika simptom-simptom awal tersebut dikenal pasti, ahli keluarga atau rakan perlu membawa mereka bertemu pakar psikiatri secepat mungkin. Tindakan merujuk kepada pakar hakikatnya selari dengan firman Allah dalam Surah Al Anbiya’ 21:7 “..maka tanyakanlah kepada orang yang berilmu, jika kamu tidak mengetahui.”
Berdasarkan pengamatan penulis, jumlah peningkatan individu masalah kesihatan mental seolah-olah tidak disambut baik Kerajaan Malaysia sebelum ini.
Buktinya, negara hanya memiliki 380 pakar psikiatri di seluruh negara yang perlu menampung keperluan lebih 30 juta penduduk Malaysia.
Nisbah seorang pakar psikiatri bersamaan 78,947 pesakit. Ini satu nisbah yang tidak sihat dan membimbangkan.
Masalah ini tentunya memberikan impak kepada proses rawatan dan pemulihan kerana bantuan pakar psikiatri dan profesional sangat diperlukan bagi merawat penyakit tersebut.
Ekoran kekurangan tenaga pakar di seluruh negara, ramai pesakit lambat menerima rawatan asbab perlu menunggu giliran temujanji mereka dengan pakar psikiatri di klinik atau hospital awam.
Walaupun beberapa hospital swasta mempunyai kepakaran tersebut, kesempitan wang pula menjadi masalah utama bagi mendapatkan rawatan segera.
Menurut Pegawai Penyelidikan Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial, Jade See, golongan B40 berisiko tinggi menghadapi masalah kesihatan mental.
Namun ekoran keadaan kehidupan mereka yang sukar, mereka tidak mampu menampung kos rawatan tinggi di hospital swasta dan hanya mampu mendapatkan rawatan di hospital awam.
Di sini, orang ramai boleh membantu golongan yang terkesan dari segi kewangan.
Wujudkan satu tabung sumbangan khas untuk menampung kos rawatan kesihatan mental bagi golongan tidak berkemampuan.
Tindakan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban golongan tersebut. Di samping mereka juga akan merasakan adanya sokongan sosial dari masyarakat sekelilingnya bagi memastikan mereka pulih.
Selain itu, orang ramai boleh membantu dengan berkomunikasi secara berkesan dengan individu yang mengalami masalah kesihatan mental sepertimana yang dizahirkan Nabi Muhammad s.a.w apabila baginda didatangi individu yang mengalami permasalahan sama.
Terdapat sebuah hadis menceritakan seorang wanita yang mempunyai masalah mental bertemu Nabi Muhammad S.A.W dan berkata:
“Wahai Rasulullah, Aku punyai hajat denganmu (ingin bertanya sesuatu).” Baginda SAW menjawab: “Wahai ibu fulan, tengoklah mana-mana bahagian jalan (kawasan) yang sesuai (terpencil daripada orang ramai) yang kamu mahu, supaya Aku boleh (duduk) menunaikan hajatmu (menjawab soalanmu).” Baginda pun duduk bersamanya pada satu bahagian jalan sehingga selesai keperluannya (ditunaikan Nabi SAW). [Hadis Sahih Muslim, No 4293]
Malah, sebuah hadis yang lain turut menyatakan,
Dari Atha bin Abu Rabah ia berkata: Ibnu Abbas Radliyallahu ‘anhu pernah berkata kepadaku: Maukah kamu aku perlihatkan seorang wanita penghuni surga? Aku menjawab: Mau. Ia berkata: Wanita berkulit hitam ini pernah mendatangi Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan berkata: Sesungguhnya aku menderita penyakit sawan dan auratku terbuka, maka mohonlah kepada Allah demi kesembuhanku. Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda: Kalau kamu mau bersabar, maka bagimu adalah surga. Dan kalau kamu mau sembuh, maka aku akan memohonkan kepada Allah semoga Dia menyembuhkan penyakitmu. Wanita itu berkata: Baiklah aku akan bersabar. Wanita itu berkata lagi: Sesungguhnya auratku selalu terbuka, maka mohonkanlah kepada Allah agar aku tidak terbuka aurat. Lalu Rasulullah berdoa untuknya. [Hadis Sahih Al Bukhari, No.5652 & Sahih Muslim, No.2576]
Dari kedua-dua riwayat hadis ini, kita boleh pelajari bahawa bagaimana Nabi Muhammad S.A.W menyantuni sahabat yang mempunyai masalah kesihatan mental. Caranya adalah dengan:
- Mengambil serius terhadap masalah yang dialami wanita tersebut dengan cara menjaga privasinya daripada pengetahuian orang ramai yang barangkali tidak memahami situasinya,
- Menjadi pendengar yang baik dengan cara meluangkan masa untuk mendengar luahan mereka,
- Cuba memahami keadaan mereka dan tidak mengambil mudah atau memperlekehkan masalah mereka,
- Menunjukkan rasa empati dan mengelakkan sikap menghakimi individu tersebut,
- Memberi galakan dan bantu mereka untuk dapatkan penilaian yang terbaik mengikut keadaan kesihatan mereka, dan
- Memberikan sokongan sosial kepada pilihan yang mereka pilih seperti mendoakan mereka dan membantu dalam urusan seharian jika diperlukan.
Kesimpulannya, pihak kerajaan perlu mengambil serius dalam menangani masalah kekurangan tenaga pakar untuk mengendalikan rawatan terdapat golongan pesakit mental.
Pihak kerajaan boleh memperbanyakkan pekerjaan bagi jawatan pegawai psikologi dan ahli psikologi klinikal dalam sektor kerajaan.
Dengan adanya usaha ini daripada pihak kerajaan, hak pesakit mental untuk mendapatkan bantuan profesional dapat dipenuhi dengan sebaiknya.
Manakala, masyarakat pula perlu menimba ilmu pengetahuan tentang masalah kesihatan mental agar mereka yang terkesan dapat dibantu dan dipermudahkan urusan mereka agar urusan kita dipermudahkan di hari akhirat kelak. Ini bertepatan dengan hadis Nabi Muhammad S.A.W.
“Sesiapa yang melepaskan saudara mukmin daripada kesusahan di dunia maka Allah akan melepaskan kesusahannya pada hari kiamat.” [40 Hadis Imam Nawawi: 36]
Imam Ibnu Daqiq Al-A’id mensyarahkan hadis ini di dalam kitabnya menyatakan “Pelbagai jenis ilmu dan kaedah yang terdapat di dalam hadis ini tentang kelebihan menunaikan hajat seseorang. Ia juga termasuk di dalam mempermudahkan urusan dalam menuntut ilmu, harta, nasihat dan lain-lain”. [Syarah Al-Arbain Al-Nawawi Li Ibnu Daqiq Al-A’id: 1/119] – The Merdeka Times