Antarabangsa
Indonesia bergelut kawal harga beras
Langkah Indonesia mengimport beras dari negara jiran seperti China dan Thailand untuk mengawal lonjakan harga mencetuskan kecaman daripada pengeluar domestik, sekali gus mengetengahkan dilema Jakarta dalam mengimbangi kepentingan petani berbanding pengguna.
- Langkah Indonesia mengimport beras dari negara jiran seperti China dan Thailand untuk mengawal lonjakan harga mencetuskan kecaman daripada pengeluar domestik, sekali gus mengetengahkan dilema Jakarta dalam mengimbangi kepentingan petani berbanding pengguna.
- Akhbar South China Morning Post melaporkan, agensi pemerolehan makanan negara, Bulog mengimport 2.3 juta tan beras pada 2023 untuk mengurangkan kesan fenomena El Nino, di mana cuaca panas di kawasan pertanian utama Asia menjejaskan hasil tuaian.
- Kawalan eksport oleh India juga menjadi salah satu faktor menjejaskan harga beras dunia.
- “Perkara ini menjadi agak serius. Tempoh kebiasaan harga tinggi (beras) di Indonesia adalah Disember hingga Mac.
- “Sehingga September lepas harganya sudah melambung,” kata Pengarah Pusat Kajian Makanan Lestari Universiti Padjadjaran, Ronnie Natawidjaja.
JAKARTA – Langkah Indonesia mengimport beras dari negara jiran seperti China dan Thailand untuk mengawal lonjakan harga mencetuskan kecaman daripada pengeluar domestik, sekali gus mengetengahkan dilema Jakarta dalam mengimbangi kepentingan petani berbanding pengguna.
Akhbar South China Morning Post melaporkan, agensi pemerolehan makanan negara, Bulog mengimport 2.3 juta tan beras pada 2023 untuk mengurangkan kesan fenomena El Nino, di mana cuaca panas di kawasan pertanian utama Asia menjejaskan hasil tuaian.
Kawalan eksport oleh India juga menjadi salah satu faktor yang menjejaskan harga beras dunia.
“Perkara ini menjadi agak serius. Tempoh kebiasaan harga tinggi (beras) di Indonesia adalah Disember hingga Mac.
“Sehingga September lepas harganya sudah melambung,” kata Pengarah Pusat Kajian Makanan Lestari Universiti Padjadjaran, Ronnie Natawidjaja.
Pada penghujung Ogos lalu, harga purata beras berkualiti sederhana iaitu jenis beras yang biasa digunakan meningkat kepada 11,400 rupiah (RM3.45) sekilogram, demikian menurut data Statistik Indonesia.
Selepas berdekad-dekad program dijalankan untuk meningkatkan pengeluaran beras, Indonesia mencapai lebih 90 peratus bagi kadar mencukupi untuk sara diri dari 2019 hingga 2021, demikian menurut data Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO).
Bagaimanapun pada tahun ini, negara itu mengimport 1.59 juta tan beras dari Januari hingga Ogos lalu, dengan lebih separuh daripadanya diimport dari Thailand.
Angka itu lebih enam kali ganda daripada 237,146 tan yang diimport dalam tempoh sama tahun lalu.
Agensi Makanan Kebangsaan (NFA) pada 26 September lalu berkata, Indonesia juga akan mengimport 1 juta tan metrik beras dari China.
Menurut Pengerusi Lembaga Penyeliaan Bulog, Bayu Krisnamurthi, keadaan itu adalah menggalakkan bagi pengeluar yang masih mempunyai hasil tuaian, namun menjejaskan harapan petani untuk menjual beras pada harga tinggi.
NFA meramalkan bahawa fenomena kemarau di beberapa lokasi yang diburukkan lagi oleh El Nino, boleh mengurangkan pengeluaran beras domestik sebanyak lima hingga tujuh peratus pada tahun ini daripada 31.54 juta tan metrik tahun lepas.
Indonesia merupakan negara pengguna beras ketiga terbesar di dunia dengan data pemerintah menunjukkan bahawa setiap seorang daripada 270 juta penduduk makan kira-kira 114.6 kilogram beras setahun.
“Nasi membentuk kira-kira 40 peratus kalori yang digunakan di Indonesia. Ia adalah sumber karbohidrat paling biasa diambil penduduk.
“Dalam kalangan rakyat miskin Indonesia, makanan terdiri daripada kira-kira 74 peratus perbelanjaan dengan beras menyumbang 19 hingga 24 peratus,” kata Ketua Penyelidik di Pusat Kajian Dasar Indonesia (CIPS), Aditya Alta.
Dalam pada itu, kira-kira 21 juta keluarga Indonesia yang layak menerima bantuan makanan dibenarkan menuntut 10 kilogram beras import sebulan daripada Bulog dari September hingga November.
Langkah tersebut bagaimanapun mungkin tidak mampu meredakan tekanan yang dihadapi oleh golongan miskin kerana menurut pakar, kira-kira 40 peratus pengagihan bantuan sampai kepada orang yang tepat, manakala 60 lagi ‘hilang’ ke tempat lain.
Sumber: Kosmo