Terkini
400 jemaah haji B40 tolak bantuan bersasar Tabung Haji
Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar memaklumkan seramai 400 jemaah golongan B40 yang layak menerima bantuan bersasar menunaikan haji tahun ini tetapi menolak tawaran itu.
- Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar memaklumkan seramai 400 jemaah golongan B40 yang layak menerima bantuan bersasar menunaikan haji tahun ini tetapi menolak tawaran itu.
- Jemaah tersebut menolak atas faktor sudah ada kemampuan bagi menunaikan rukun Islam kelima itu dan mahu inisiatif itu diberikan kepada jemaah lain yang lebih memerlukan.
- TH sudah pun melaksanakan bantuan kewangan haji secara bersasar dengan mengecualikan golongan T20 sejak Musim Haji 1444H/2023M.
KUALA LUMPUR – Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar memaklumkan seramai 400 jemaah golongan B40 yang layak menerima bantuan bersasar menunaikan haji tahun ini tetapi menolak tawaran itu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu berkata, mereka menolak atas faktor sudah ada kemampuan bagi menunaikan rukun Islam kelima itu dan mahu inisiatif itu diberikan kepada jemaah lain yang lebih memerlukan.
“Mereka ini adalah golongan B40 tetapi mereka ambil inisiatif untuk nak pastikan haji mereka ini mabrur, jadi apa yang mereka ini buat, mereka tidak terima.
“400 orang ini serahkan bahagian mereka ini kepada orang lain yang lebih layak untuk terima. Jadi saya mahu ucapkan terima kasih kepada mereka yang ambil keputusan untuk tidak terima subsidi secara keseluruhan.
“Ini sedikit sebanyak membantu Lembaga Tabung Haji (TH) menyalurkan bantuan kepada yang benar-benar memerlukan,” katanya pada pemberita selepas Program Santun Kasih Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Perumahan Awam Sri Kota, Bandar Tun Razak hari ini.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan bersedia menyusun semula pemberian subsidi yang disifatkan sebagai tidak munasabah kerana turut dinikmati golongan kaya dan rakyat asing.
Anwar berkata, pemberian subsidi kerajaan dianggap antara yang paling tinggi di dunia namun perkara itu tidak salah dan tetap boleh diteruskan.
Ujarnya, pelaksanaan rasionalisasi subsidi penting bagi memastikan kewangan negara dapat terus diuruskan secara berhemah tanpa menambah hutang baharu kepada negara.
Dalam pada itu, Mohd Na’im turut menjelaskan, Lembaga Tabung Haji (TH) sudah pun melaksanakan bantuan kewangan haji secara bersasar dengan mengecualikan golongan T20 sejak Musim Haji 1444H/2023M.
Jelas beliau, pelaksanaan bantuan haji bersasar itu berbeza daripada tahun sebelumnya dengan pecahan kepada tiga kelompok melibatkan B40, M40 dan T20.
Sumber: MalaysiaGazette