Terkini
Laksana semula PLKN untuk lahirkan belia bersemangat patriotisme tinggi – MBM
Majlis Belia Malaysia (MBM) bersetuju kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan semula Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) kepada belia yang tamat persekolahan.
- Presiden Majlis Belia Malaysia, Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid, berkata PLKN terbukti antara program yang berjaya menyemai semangat patriotisme.
- “Walaupun sudah ada program Malaysian Future Leaders School (MFLS), saya melihat ia lebih berfokuskan kepada program berbentuk kepemimpinan dan hanya terpilih.”
- Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dilapor sudah berbincang dengan Jawatankuasa Pilihan Khas Keselamatan berhubung hasrat mengembalikan PLKN.
KUALA LUMPUR: Majlis Belia Malaysia (MBM) bersetuju kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan semula Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) kepada belia yang tamat persekolahan.
Presidennya, Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid, berkata ini kerana PLKN terbukti antara program yang berjaya menyemai semangat patriotisme.
Selain itu, katanya, program yang diperkenalkan pada Disember 2003 itu juga mampu meningkatkan semangat perpaduan dalam kalangan belia yang menyertainya.
“Walaupun sudah ada program Malaysian Future Leaders School (MFLS), saya melihat ia lebih berfokuskan kepada program berbentuk kepemimpinan dan hanya terpilih.
“Selalunya mereka yang terpilih ini terdiri pelajar cemerlang dan juga mereka yang punya ciri kepemimpinan untuk diasuh,” katanya kepada BH.
Beliau berkata, berbeza dengan PLKN kerana ia bermatlamatkan kepada patriotisme dan perpaduan nasional.
“Bagaimanapun, saya melihat selepas pemansuhan PLKN pada Ogos 2018, setakat ini tiada lagi program yang mempunyai matlamat sama dan paling penting berjaya seperti PLKN.
“Jadi, untuk memastikan kita mampu melahirkan belia yang mempunyai semangat patriotisme yang tinggi, kita harus melihat pelaksanaan semula PLKN dengan kadar segera,” katanya.
BH hari ini melaporkan, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul sudah berbincang dengan Jawatankuasa Pilihan Khas Keselamatan berhubung hasrat mengembalikan PLKN.
Beliau berkata, perbincangan dengan jawatankuasa berkenaan berhubung hasrat itu bertujuan menyemai semangat patriotisme dalam kalangan belia.
Katanya, program seperti PLKN penting sebagai persediaan dan latihan untuk anak muda membina negara bangsa.
“Sekolah dan universiti tidak wujud program begini. Ia perlu ada untuk mereka berbincang, supaya anak muda berhimpun dan cerita tentang masa depan mereka.
“Ke mana anak muda nak pergi, kalau tiada platform lebih jitu?” katanya ketika wawancara bersama Astro Awani.
Sumber : Berita Harian