Terkini
Tiada DNAA dalam sistem kehakiman Islam adalah tidak tepat – Menteri Agama
Kenyataan sesetengah pihak mengatakan tiada keputusan dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) dalam sistem kehakiman Islam adalah tidak tepat dan boleh dipertikaikan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
- Kenyataan sesetengah pihak mengatakan tiada keputusan dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) dalam sistem kehakiman Islam adalah tidak tepat dan boleh dipertikaikan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
- Mohd Na’im berkata DNAA merupakan suatu konsep diterima pakai dalam sistem perundangan semasa di Malaysia dan negara-negara luar serta di mahkamah sivil atau mahkamah syariah.
- Beliau menasihatkan semua pihak agar bertanggungjawab serta tidak mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan masyarakat.
- “Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berpendapat pandangan yang mengatakan bahawa konsep DNAA yang diperuntukkan dalam undang-undang prosedur/tatacara jenayah Syariah di Malaysia tidak selaras dengan hukum jenayah Islam adalah tidak tepat.
- “Undang-undang prosedur/tatacara adalah berhubung rapat dengan prinsip maslahah yang perlu mengambil kira keadaan dan pendekatan semasa pelaksanaan sesuatu undang-undang agar ia menepati objektif syarak dalam pentadbiran keadilan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
KUALA LUMPUR — Kenyataan sesetengah pihak mengatakan tiada keputusan dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) dalam sistem kehakiman Islam adalah tidak tepat dan boleh dipertikaikan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Mohd Na’im berkata DNAA merupakan suatu konsep diterima pakai dalam sistem perundangan semasa di Malaysia dan negara-negara luar serta di mahkamah sivil atau mahkamah syariah.
Beliau menasihatkan semua pihak agar bertanggungjawab serta tidak mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan masyarakat.
“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berpendapat pandangan yang mengatakan bahawa konsep DNAA yang diperuntukkan dalam undang-undang prosedur/tatacara jenayah Syariah di Malaysia tidak selaras dengan hukum jenayah Islam adalah tidak tepat.
“Undang-undang prosedur/tatacara adalah berhubung rapat dengan prinsip maslahah yang perlu mengambil kira keadaan dan pendekatan semasa pelaksanaan sesuatu undang-undang agar ia menepati objektif syarak dalam pentadbiran keadilan.
“Dr Abdul Karim Zaidan di dalam kitabnya Nizaam al-Qadha’ Fi al-Syari’aat al-Islamiyyah ada menyatakan Hakim boleh menggugurkan sementara dakwaan bagi membolehkan pendakwa mengemukakan semula saksi-saksi atau keterangan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Na’im berkata sekiranya keputusan pengguguran kes oleh hakim bukan atas sebab kegagalan pihak pendakwa mengemukakan keterangan, maka pihak pendakwaan boleh meneruskan pertuduhan berkenaan dengan mengemukakan saksi-saksi dan keterangan baru.
Prinsip itu adalah menetapi konsep DNAA, di mana tertuduh dilepaskan tanpa dibebaskan daripada pertuduhan di mana pertuduhan berkenaan boleh diteruskan semula di hadapan mahkamah di masa hadapan.
Mohd Na’im berkata dalam konteks mahkamah Syariah, DNAA diperuntukkan secara nyata di dalam Seksyen 103 Akta Prosedur Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 [Akta 560] yang memperuntukkan seperti berikut: Seksyen 103. Pendakwa bolehlah berhenti daripada mendakwa selanjutnya pada mana-mana peringkat.
Beliau berkata pada mana-mana peringkat sebarang perbicaraan, sebelum penghakiman diberikan, pendakwa boleh, jika difikirkannya patut, memberitahu Mahkamah bahawa dia tidak bercadang untuk mendakwa tertuduh selanjutnya atas pertuduhan itu.
Kemudiannya, semua prosiding atas pertuduhan itu terhadap tertuduh bolehlah digantung dengan kebenaran Mahkamah dan, jika digantung sedemikian, tertuduh hendaklah dilepaskan daripada pertuduhan itu.
Katanya, pelepasan sedemikian tidaklah terjumlah kepada suatu pembebasan melainkan jika mahkamah mengarahkan sedemikian.
“Peruntukan seperti Seksyen 103 Akta 560 ini terdapat di dalam semua Enakmen/Ordinan Prosedur/Tatacara Jenayah Syariah negeri-negeri (kecuali di Negeri Kedah, ianya diperuntukkan di dalam Seksyen 104).
“Peruntukan ini juga adalah sama dengan peruntukan Seksyen 254 Kanun Prosedur Jenayah (Akta 593] yang digunapakai di mahkamah sivil.
“Akta 560 merupakan satu undang-undang yang diluluskan Parlimen pada 27 Mac 1997 dan mula berkuatkuasa pada 1 April 1997,” kata Mohd Na’im yang juga bekas ketua hakim syarie.
Mohd Na’im berkata Akta 560 merupakan satu undang-undang model yang diluluskan Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil, iaitu sebuah Jawatankuasa ditubuhkan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) untuk menggubal model undang-undang Islam bagi tujuan penyelarasan dan penyeragaman di seluruh negara.
Katanya, penggubalan Akta 560 dibuat dengan teliti bagi memastikan ianya memenuhi kehendak semasa pelaksanaan undang-undang Islam dan yang paling penting, akta tersebut tidak bercanggah dengan hukum Syarak.
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebelum ini dilaporkan berkata tiada keputusan dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) dalam sistem kehakiman Islam.
Kenyataan itu dibuat ketika pelbagai pihak mempertikaikan keputusan Pejabat Peguam Negara (AGC) memohon menghentikan kes rasuah terhadap Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Sumber : Facebook Dato’ Setia Dr. Na’im