Connect with us

Terkini

Tukar status tanah pertanian beri implikasi kepada keterjaminan makanan

Proses Kebenaran Merancang (KM) untuk mengubah status tanah daripada pertanian kepada pembangunan perlu dilakukan secara teliti dengan mengambil kira impak negatif terhadap isu keterjaminan makanan jangka panjang yang mungkin dihadapi negara.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Tukar status tanah pertanian beri implikasi kepada keterjaminan makanan
Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Proses Kebenaran Merancang (KM) untuk mengubah status tanah pertanian kepada pembangunan perlu dilakukan secara teliti mengambil kira impak negatif isu keterjaminan makanan jangka panjang yang mungkin dihadapi negara.
  • Pada dasarnya impak positif terhadap perubahan status tanah pertanian kepada pembangunan membawa manfaat kepada ekonomi, pertambahan pendapatan dan peluang pekerjaan, namun isu keterjaminan makanan amat penting untuk diambil kira secara mendalam.
  • Ketua Laboratori Kajian Dasar Pertanian dan Makanan, Institut Pertanian Tropika Dan Sekuriti Makanan (ITAFoS) Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Abdul Rahim Samad berkata, trend permohonan pertukaran status tanah daripada pertanian kepada pembangunan ketika ini amat membimbangkan.
  • “Pemain industri di Malaysia ini secara umumnya tidak lagi melihat sektor pertanian sebagai satu punca pendapatan sebaliknya berpendapat sektor pembangunan selain pertanian lebih membawa pulangan lumayan kepada mereka,” katanya.
  • Katanya, tidak dinafikan pertukaran status tanah daripada pertanian kepada pembangunan memberi impak positif kepada ekonomi, peluang pekerjaan dan pendapatan lumayan, tetapi kehilangan sumber pertanian tidak diambil kira dan ia boleh memberi kesan kepada kemerosotan sumber alam dan kemusnahan terhadap alam sekitar.

Kuala Lumpur: Proses Kebenaran Merancang (KM) untuk mengubah status tanah daripada pertanian kepada pembangunan perlu dilakukan secara teliti dengan mengambil kira impak negatif terhadap isu keterjaminan makanan jangka panjang yang mungkin dihadapi negara.

Walaupun pada dasarnya impak positif terhadap perubahan status tanah daripada pertanian kepada pembangunan membawa manfaat kepada ekonomi, pertambahan pendapatan dan peluang pekerjaan, namun isu keterjaminan makanan amat penting untuk diambil kira secara mendalam.

Ketua Laboratori Kajian Dasar Pertanian dan Makanan, Institut Pertanian Tropika Dan Sekuriti Makanan (ITAFoS) Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Abdul Rahim Samad berkata, trend permohonan pertukaran status tanah daripada pertanian kepada pembangunan ketika ini amat membimbangkan.

Katanya, permohonan untuk menukar status tanah daripada pertanian kepada pembangunan berlaku secara berterusan disebabkan di sesetengah tempat, industri pertanian dilihat kurang memberi pulangan yang lumayan kepada pengusaha.

“Pemain industri di Malaysia ini secara umumnya tidak lagi melihat sektor pertanian sebagai satu punca pendapatan sebaliknya berpendapat bahawa sektor pembangunan selain pertanian lebih membawa pulangan yang lumayan kepada mereka.

“Melihatkan kepada situasi itu, agensi kerajaan yang berkaitan seperti pihak berkuasa tempatan (PBT) dan PLANMalaysia (Jabatan Perancangan Bandar dan Desa) perlu meneliti secara mendalam dan melaksanakan pemantauan serta penguatkuasaan sebelum mengeluarkan KM dengan mengambil kira impak positif dan negatif terhadap sektor pertanian negara sebelum membuat sebarang keputusan terhadap pertukaran status tanah,” katanya.

Beliau yang juga salah seorang daripada panel penilai PLANMalaysia berkata, walaupun tidak mempunyai angka sebenar berhubung trend permohonan pertukaran status tanah dari pertanian kepada pembangunan, namun permohonan baharu sentiasa ada untuk dinilai oleh panel penilai PLANMalaysia mengenai cadangan pembangunan guna tanah.

Katanya, tidak dinafikan bahawa pertukaran status tanah daripada pertanian kepada pembangunan memberi impak positif kepada ekonomi, peluang pekerjaan dan pendapatan lumayan, tetapi kehilangan sumber pertanian tidak diambil kira dan ia boleh memberi kesan kepada kemerosotan sumber alam dan kemusnahan terhadap alam sekitar.

“Tanah pertanian yang ingin ditukar status tidak hanya membabitkan sawah padi sebaliknya merangkumi tanaman kontan lain selain tanah kelapa sawit.

“Dalam isu sawah padi, misalnya, pesawah tidak memperolehi pulangan yang sewajarnya kerana dibelenggu oleh peranan orang tengah yang lebih mengaut keuntungan.

“Kebanyakan status pendapatan isi rumah pesawah masih pada tahap kumpulan pendapatan B40 walaupun sudah hampir 30 tahun mereka berkecimpung dengan sektor pertanian.

“Oleh itu, tidak hairanlah jika mereka sanggup menukar status tanah pertanian kepada pembangunan dan kehilangan sumber pertanian mungkin akan memberi kesan negatif jangka panjang kepada keterjaminan makanan negara,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Author