Terkini
Tuntutan bertindih China: Keselamatan maritim perlu dipertingkat
Malaysia perlu meningkatkan kawalan keselamatan maritim negara susulan tuntutan China di Laut China Selatan seperti yang digariskan melalui ‘Peta Standard China Edisi 2023’.
- Malaysia perlu meningkatkan kawalan keselamatan maritim negara susulan tuntutan China di Laut China Selatan seperti yang digariskan melalui ‘Peta Standard China Edisi 2023’.
- Bekas Menteri Luar, Tan Sri Syed Hamid Albar, berkata jika perlu, Malaysia juga perlu memaklumkan mengenai tindakannya itu kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
- Pemakluman kepada PBB itu penting kerana ia boleh mencegah sebarang kemungkinan tindakan agresif China terhadap negara ini, katanya.
- Selain Malaysia dan India tidak mengiktiraf Peta Standard China Edisi 2023 yang dikeluarkan Beijing, dua lagi negara iaitu Filipina dan Taiwan, turut membuat bantahan.
- Terdahulu, Wisma Putra menegaskan Malaysia tidak mengiktiraf tuntutan China di Laut China Selatan seperti digariskan dalam ‘Peta Standard China Edisi 2023’, yang menunjukkan tuntutan maritim sepihak China.
KUALA LUMPUR: Malaysia perlu meningkatkan kawalan keselamatan maritim negara susulan tuntutan China di Laut China Selatan seperti yang digariskan melalui ‘Peta Standard China Edisi 2023’.
Bekas Menteri Luar, Tan Sri Syed Hamid Albar, berkata jika perlu, Malaysia juga perlu memaklumkan mengenai tindakannya itu kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Mengulas lanjut, katanya, pemakluman kepada PBB itu penting kerana ia boleh mencegah sebarang kemungkinan tindakan agresif China terhadap negara ini.
“PBB boleh dimaklumkan mengikut Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS)…ini boleh mencegah tindakan agresif China.
“Malaysia juga perlu memaklumkan tindakan kita kepada negara ASEAN yang lain,” katanya kepada BH, di sini hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan Kementerian Sumber Asli China menerbitkan Peta Standard China Edisi 2023 yang meliputi sebahagian besar perairan Malaysia berhampiran Sabah dan Sarawak.
Peta itu antara lain menggabungkan kawasan yang menjadi pertikaian khususnya membabitkan kawasan Arunachal Pradesh, wilayah Aksai Chin, Taiwan dan Laut China Selatan.
Ia turut membabitkan kawasan maritim zon ekonomi eksklusif (EEZ) Malaysia berhampiran Sabah dan Sarawak, Brunei, Filipina, Indonesia dan Vietnam.
Dalam pada itu, Syed Hamid berkata, Wisma Putra mengambil tindakan tepat dalam menjelaskan pendirian Malaysia berhubung perkara berkenaan melalui nota bahatan yang akan dihantar kepada China.
“Ini kerana surat protes adalah kaedah paling utama untuk mengukuhkan hak dan kedaulatan negara,” katanya.
Terdahulu, Wisma Putra menegaskan Malaysia tidak mengiktiraf tuntutan China di Laut China Selatan seperti digariskan dalam ‘Peta Standard China Edisi 2023’, yang menunjukkan tuntutan maritim sepihak China.
Wisma Putra menegaskan peta itu sama sekali tidak mengikat Malaysia dan kerajaan kekal dengan pendiriannya dalam isu tuntutan dan persempadanan maritim di Laut China Selatan, yang secara konsisten menolak tuntutan kedaulatan, hak kedaulatan dan bidang kuasa mana-mana pihak asing ke atas fitur maritim atau kawasan maritim negara berdasarkan Peta Baru Malaysia 1979.
Malaysia juga akan menghantar nota bantahan kepada China susulan tuntutan negara berkenaan di Laut China Selatan seperti digariskan dalam ‘Peta Standard China Edisi 2023’, yang meliputi kawasan maritim Malaysia.
Selain Malaysia dan India tidak mengiktiraf Peta Standard China Edisi 2023 yang dikeluarkan Beijing, dua lagi negara iaitu Filipina dan Taiwan, turut membuat bantahan.
Sumber: Berita Harian