Antarabangsa
Malaysia-Iran sepakat tingkatkan hubungan dua hala
Malaysia dan Iran sepakat untuk meningkatkan hubungan dua hala dua negara khususnya dalam bidang ekonomi, pendidikan, keterjaminan makanan, sains dan teknologi serta menerokai potensi kerjasama baharu.
- Malaysia dan Iran sepakat meningkatkan hubungan dua hala dua negara khususnya dalam bidang ekonomi, pendidikan, keterjaminan makanan, sains dan teknologi serta menerokai potensi kerjasama baharu.
- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyatakan komitmen itu bersama Presiden Republik Islam Iran, Seyyed Ebrahim Raisi, dalam perbualan melalui telefon, pada Selasa (22 Ogos).
- Berdasarkan perbualan itu, Perdana Menteri menyifatkan Iran sebagai rakan baik, selain memutuskan untuk meningkatkan hubungan dua hala berikutan republik itu adalah rakan kongsi yang penting dalam kalangan dunia Islam.
- Seyed Ebrahim, pula melalui jurubahasa, menyatakan keyakinan bahawa keazaman dua negara mempromosikan dan meluaskan hubungan dua hala termasuk dalam aspek ekonomi akan memberi limpahan kemakmurannya.
KUALA LUMPUR: Malaysia dan Iran sepakat untuk meningkatkan hubungan dua hala dua negara khususnya dalam bidang ekonomi, pendidikan, keterjaminan makanan, sains dan teknologi serta menerokai potensi kerjasama baharu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyatakan komitmen itu bersama Presiden Republik Islam Iran, Seyyed Ebrahim Raisi, dalam perbualan melalui telefon, pada Selasa (22 Ogos).
“Malaysia dan Iran juga bersetuju supaya dua jawatankuasa bersama sedia antara dua negara itu antaranya berkaitan aspek ekonomi mengadakan pertemuan dengan kadar segera bagi menghalusi semua potensi skop kerjasama.
“Dua jawatankuasa itu membabitkan Mesyuarat Suruhanjaya Bersama dan Suruhanjaya Ekonomi Bersama,” katanya berdasarkan kenyataan, di Facebook.
Perdana Menteri turut memuat naik video perbualan berdurasi 2 minit 20 saat bersama Seyyed Ebrahim.
Perbualan itu berlangsung sejurus tamatnya kunjungan hormat Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir kepada Seyyed Ebrahim, di Tehran.
Berdasarkan perbualan itu, Perdana Menteri turut menyifatkan Iran sebagai rakan baik, selain memutuskan untuk meningkatkan hubungan dua hala berikutan republik itu adalah rakan kongsi yang penting dalam kalangan dunia Islam.
Perdana Menteri juga memberikan jaminan akan membuat perbincangan susulan bersama Zambry, selain memastikan suruhanjaya itu diberikan keutamaan.
Sementara itu, Seyed Ebrahim, pula melalui jurubahasa, menyatakan keyakinan bahawa keazaman dua negara untuk mempromosikan dan meluaskan hubungan dua hala termasuk dalam aspek ekonomi akan memberi limpahan kemakmurannya.
Sebelum ini, Zambry melakukan lawatan rasmi pertamanya ke Iran pada Ahad lalu atas jemputan rakan sejawatnya, Hossein Amirabdollahian.
Zambry turut bertemu pemimpin tertinggi Iran termasuk Speaker Parlimen Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf.
Sumber: Berita Harian