Connect with us

Antarabangsa

Niger di ambang perang

Presiden Ivory Coast, Alassane Ouattara, semalam, memberitahu bahawa pemimpin Afrika Barat meluluskan kerahan ‘pasukan tentera pengganti bagi memulihkan kuasa Perlembagaan’ di Niger.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Niger di ambang perang
Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Presiden Ivory Coast, Alassane Ouattara, semalam, memberitahu pemimpin Afrika Barat meluluskan kerahan ‘pasukan tentera pengganti bagi memulihkan kuasa Perlembagaan’ di Niger.
  • Katanya, campur tangan itu akan dilakukan secepat mungkin di bawah naungan blok 15 anggota negara serantau Komuniti Ekonomi Negara-Negara Afrika Barat (ECOWAS).
  • ECOWAS tidak memberikan butiran lanjut pasukan akan dikerahkan atau jadual bagi tindakan terhadap pegawai tentera yang menguasai Niger dua minggu lalu dengan menggulingkan Presiden Mohamed Bazoum.
  • Sebaik saja kembali dari sidang kemuncak tergempar di Abuja, Nigeria, Ouattara memberitahu Ketua Staf akan mengadakan persidangan lain untuk memuktamadkan beberapa perkara, namun sudah mendapat persetujuan Persidangan Ketua-ketua Negara untuk memulakan operasi ketenteraan.
  • Ivory Coast akan menyediakan batalion antara 850 hingga 1,100 bersama tentera dari Nigeria dan Benin, yang akan disertai tentera negara Afrika lain, untuk mengembalikan kuasa Presiden Bazoum.

ABUJA: Presiden Ivory Coast, Alassane Ouattara, semalam, memberitahu bahawa pemimpin Afrika Barat meluluskan kerahan ‘pasukan tentera pengganti bagi memulihkan kuasa Perlembagaan’ di Niger.

Katanya, campur tangan itu akan dilakukan secepat mungkin di bawah naungan blok 15 anggota negara serantau Komuniti Ekonomi Negara-Negara Afrika Barat (ECOWAS).

Bagaimanapun, ECOWAS tidak memberikan butiran lanjut mengenai pasukan yang akan dikerahkan atau jadual bagi tindakan terhadap pegawai tentera yang menguasai Niger dua minggu lalu dengan menggulingkan Presiden Mohamed Bazoum.

Sebaik saja kembali dari sidang kemuncak tergempar di Abuja, Nigeria, Ouattara memberitahu bahawa Ketua Staf akan mengadakan persidangan lain untuk memuktamadkan beberapa perkara, namun sudah mendapat persetujuan Persidangan Ketua-ketua Negara untuk memulakan operasi ketenteraan.

Ivory Coast akan menyediakan batalion antara 850 hingga 1,100 bersama tentera dari Nigeria dan Benin, yang akan disertai tentera negara Afrika lain, untuk mengembalikan kuasa Presiden Bazoum.

Terdahulu, di Abuja, Presiden Suruhanjaya ECOWAS, Omar Touray, mengumumkan kerahan pasukan blok itu.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken, menyuarakan sokongan terhadap ECOWAS.

“Blok ini memainkan peranan penting dalam menjelaskan kepentingan untuk mengembalikan perintah Perlembagaan dan kami sangat menyokong kepimpinan ECOWAS serta usaha yang dilakukan,” katanya.

Sementara bekas kuasa penjajah Niger, Perancis, turut memberikan ‘sokongan penuh kepada semua keputusan yang dicapai ECOWAS’, menurut kenyataan dikeluarkan Kementerian Luar Perancis.

Bagaimanapun, kuasa tentera baharu Niger terus mengukuhkan kedudukan mereka dan memberi isyarat penentangan akan diteruskan dengan melantik kerajaan baharu selain mendapat sokongan negara jiran, Mali dan Burkina Faso.

Kabinet yang dianggotai oleh 21 orang itu akan diketuai oleh Perdana Menteri, Ali Mahaman Lamine Zeine, bersama jeneral dari majlis pemerintahan tentera yang baharu mengetuai Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri.

Pemimpin rampasan kuasa mengingkari tarikh akhir ditetapkan oleh ECOWAS untuk mengembalikan Bazoum yang ditahan sejak 26 Julai lalu atau berdepan kemungkinan campur tangan tentera.

Di Abuja, Presiden Nigeria, Bola Tinubu, yang mempengerusikan mesyuarat krisis, berkata semuanya belum berakhir lagi dan usaha diteruskan untuk penyelesaian aman bagi memulihkan demokrasi dan kestabilan.

Tambahnya, terdapat banyak kemungkinan termasuk penggunaan kekerasan sebagai pilihan terakhir.

Bagaimanapun, sebelum menutup rundingan, Tinubu menegaskan bahawa mereka ‘mengutamakan rundingan dan dialog diplomatik sebagai asas pendekatan ‘.

Sebelum mesyuarat itu, Tinubu mengakui bahawa ‘tempoh tujuh hari yang diberikan ketika sidang kemuncak pertama tidak membuahkan hasil yang diinginkan.’

Cubaan minggu ini untuk menghantar pasukan yang terdiri daripada wakil ECOWAS, Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) dan Kesatuan Afrika (AU) ke ibu kota Niger, Niamey, ditolak oleh pemimpin rampasan kuasa.

Campur tangan ketenteraan di Niger, sebuah negara termiskin dunia, menimbulkan perdebatan dalam ECOWAS dan amaran daripada negara jiran iaitu Algeria serta Russia.

Negara jiran, Mali dan Burkina Faso, yang diperintah oleh kerajaan tentera menerusi rampasan kuasa turut memberi amaran bahawa campur tangan akan menjadi ‘pengisytiharan perang’ ke atas negara mereka.

Mali, Burkina Faso dan Guinea, juga dilanda rampasan kuasa baru-baru ini dan digantung keahlian daripada ECOWAS dan seperti Niger tidak diwakili di sidang kemuncak Abuja.

Sumber: Berita Harian

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *