Terkini
Sepanyol desak EU haramkan dagangan produk penempatan haram Israel
- Menteri Luar Negeri, Kesatuan Eropah dan Kerjasama Sepanyol, José Manuel Albares mengulangi desakan itu ketika menghadiri mesyuarat Majlis Hal Ehwal Luar EU di Brussels pada Isnin.
- “Sepanyol telah lama melarang import berkenaan pada peringkat nasional dan Kesatuan Eropah mesti melakukan perkara yang sama,” katanya sebelum mesyuarat berkenaan.
- Beliau merujuk pandangan nasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 19 Julai 2024 yang memutuskan bahawa kehadiran berterusan Israel di Wilayah Palestin yang dijajah secara haram adalah menyalahi undang-undang antarabangsa.
BRUSSELS – Sepanyol menggesa Kesatuan Eropah (EU) mengenakan larangan menyeluruh terhadap perdagangan produk yang berasal dari penempatan haram Israel di wilayah Palestin yang dijajah, khususnya Tebing Barat.
Menteri Luar Negeri, Kesatuan Eropah dan Kerjasama Sepanyol, José Manuel Albares mengulangi desakan itu ketika menghadiri mesyuarat Majlis Hal Ehwal Luar EU di Brussels pada Isnin.
Menurut Albares, Sepanyol telah melarang kemasukan produk berkenaan pada peringkat nasional dan EU kini perlu mengambil tindakan serupa secara bersama.
“Sepanyol telah lama melarang import berkenaan pada peringkat nasional dan Kesatuan Eropah mesti melakukan perkara yang sama,” katanya sebelum mesyuarat berkenaan.
Beliau merujuk pandangan nasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 19 Julai 2024 yang memutuskan bahawa kehadiran berterusan Israel di Wilayah Palestin yang dijajah secara haram adalah menyalahi undang-undang antarabangsa.
ICJ turut menyatakan negara-negara mempunyai kewajipan untuk tidak mengiktiraf keadaan haram itu atau memberikan bantuan yang membolehkan keadaan tersebut berterusan, termasuk melalui hubungan perdagangan atau pelaburan yang membantu mengekalkan pendudukan Israel.
“Sejak 2024, terdapat pandangan nasihat daripada Mahkamah Keadilan Antarabangsa yang menyatakan dengan jelas bahawa perdagangan produk yang berasal dari penempatan berkenaan adalah menyalahi undang-undang.
“Eropah mesti menyatakan pendiriannya dan hari ini merupakan peluang yang sangat baik untuk berbuat demikian,” kata Albares.
Albares turut menghadiri mesyuarat kedua Kumpulan Penderma untuk Palestin yang berlangsung di Brussels pada hari sama.
Beliau mengumumkan sumbangan tambahan sebanyak €4 juta daripada Sepanyol bagi 2026, selain ikrar €50 juta yang diumumkan negara itu dalam mesyuarat pertama kumpulan tersebut.
Sepanyol juga telah menyalurkan €5 juta secara dua hala kepada Palestin menerusi program Agensi Kerjasama Antarabangsa Sepanyol untuk Pembangunan dan Dana Horizon di bawah Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Pada 2025, Sepanyol merupakan penyumbang keempat terbesar kepada Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA), dengan sumbangan sebanyak €38 juta.
Bagi 2026 pula, Sepanyol telah menyumbang €15 juta kepada UNRWA. Bersama sumbangan tambahan €4 juta dan bantuan dua hala €5 juta, jumlah yang diumumkan bagi saluran berkenaan pada tahun ini mencecah €24 juta.
Albares berkata tindakan lebih tegas diperlukan bagi mengurangkan penderitaan rakyat Palestin susulan keadaan kemanusiaan yang kritikal di Gaza.-The Merdeka Times