Connect with us

Terkini

Lelaki India ditikam 15 kali selepas mengaku Muslim

Published

on

Foto: Seorang pekerja kiosk berasal dari India, Sohail.
  • Menurut dokumen polis, suspek, Peter Michael Larsen, 48, didakwa sengaja menyasarkan mangsa kerana beragama Islam dan mengaku mempunyai niat untuk membunuhnya.
  • Kempen kutipan dana yang diwujudkan bagi membantu mangsa memaklumkan Sohail mengalami lebih 15 tikaman, terpaksa menjalani beberapa pembedahan dan berada dalam keadaan kritikal.
  • Larsen kini ditahan tanpa jaminan di Penjara Salt Lake County untuk siasatan atas kesalahan cubaan membunuh dan memiliki senjata berbahaya sebagai individu yang dilarang berbuat demikian.

UTAH – Seorang pekerja kiosk berasal dari India ditikam lebih 15 kali dalam satu serangan yang dipercayai bermotifkan kebencian terhadap agama Islam di sebuah pusat beli-belah di Utah, Amerika Syarikat (AS).

Kejadian berlaku kira-kira jam 2.30 petang Isnin lalu di Valley Fair Mall, West Valley City, ketika mangsa yang dikenali sebagai Sohail sedang bekerja di sebuah kiosk.

Menurut dokumen polis, suspek, Peter Michael Larsen, 48, didakwa sengaja menyasarkan mangsa kerana beragama Islam dan mengaku mempunyai niat untuk membunuhnya.

Larsen juga dilaporkan memberitahu penyiasat bahawa dia menganggap dirinya sebagai “pemangkin” dan berniat membunuh orang Islam.

Seorang pekerja kedai barang kemas berhampiran, Luna Nunez berkata, Larsen pada mulanya mendekati Sohail sebelum bertanya mengenai negara asalnya.

“Dia bertanya, ‘Kamu berasal dari mana?’ dan Sohail menjawab, ‘Saya dari India, nama saya Sohail.’

“Lelaki itu kemudian bertanya, ‘Adakah kamu Muslim?’ Sohail menjawab ya, lalu dia terus menikamnya,” katanya.

Imam Utah Islamic Center, Shuaib Din pula dilaporkan berkata, suspek turut meminta sebotol air daripada mangsa. Ketika Sohail berpaling untuk mengambil air tersebut, Larsen didakwa mengeluarkan pisau sebelum melancarkan serangan.

Kempen kutipan dana yang diwujudkan bagi membantu mangsa memaklumkan Sohail mengalami lebih 15 tikaman, terpaksa menjalani beberapa pembedahan dan berada dalam keadaan kritikal.

Serangan itu bagaimanapun berjaya dihentikan selepas beberapa pengunjung dan pekerja pusat beli-belah menerkam serta menahan suspek sebelum polis tiba.

Menurut dokumen penahanan, Larsen turut mengalami kecederaan selepas dipukul di bahagian kepala oleh orang awam yang cuba merampas pisau daripada tangannya. Dia dibawa ke hospital untuk menjalani pemeriksaan sebelum ditahan pihak berkuasa.

Polis menyifatkan Larsen sebagai individu yang mendatangkan bahaya besar kepada masyarakat berdasarkan tindakan ganas, fahaman serta kenyataannya mengenai serangan yang dirancang.

Larsen kini ditahan tanpa jaminan di Penjara Salt Lake County untuk siasatan atas kesalahan cubaan membunuh dan memiliki senjata berbahaya sebagai individu yang dilarang berbuat demikian.

Pejabat Peguam Daerah Salt Lake County masih meneliti hasil siasatan bagi menentukan pertuduhan rasmi yang akan dikenakan terhadapnya.

Rakan dan majikan menyifatkan Sohail sebagai seorang ketua keluarga yang rajin bekerja, periang dan sentiasa tersenyum.

Nunez berkata, mangsa tidak mempunyai perlindungan insurans dan merupakan satu-satunya pencari nafkah bagi keluarganya yang terdiri daripada seorang isteri serta dua anak kecil.

Pengurus mangsa, Adnan Mohammed, mengecam serangan itu dan menegaskan bahawa kebencian tidak mempunyai tempat dalam masyarakat.

“Ini satu jenayah kebencian. Tiada ruang untuk kebencian. Apabila seseorang manusia dibunuh, bukan hanya seorang yang menjadi mangsa. Seluruh keluarganya turut dimusnahkan,” katanya.

Council on American-Islamic Relations (CAIR) turut mengecam serangan berkenaan dan menggesa pemimpin politik serta masyarakat menolak segala bentuk retorik kebencian terhadap umat Islam sebelum lebih ramai individu tidak bersalah menjadi mangsa.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author