Terkini
Hadi dakwa PH sebar Islamofobia, Seru perpaduan Melayu-Islam
- “Apa yang merisaukan kami ialah adanya dalam kalangan orang Melayu yang berimamkan DAP dan menumpang di belakangnya bagi memberi kemenangan untuk menguasai politik negara.
- “Sehingga ada orang Melayu Islam yang bebal menuduh rasis terhadap orang Melayu yang bersuara mempertahankan hak Melayu Islamnya yang dizalimi. Sebaliknya, mereka mendiamkan diri dan menjadi syaitan bisu terhadap DAP yang fanatik dan cauvinis kepada kebangsaan Cinanya,” – Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang
- PAS mengajak perpaduan umat Melayu Islam dan bukan Islam yang tidak ekstrem daripada semua kaum dan agama. Kita mengambil teladan daripada Rasulullah SAW yang melakukan perpaduan bangsa Arab bersama Islam, diikuti perpaduan penganut Islam daripada pelbagai bangsa, serta perpaduan kemanusiaan bersama bukan Islam yang tidak ekstrem.
KUALA LUMPUR – Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa Pakatan Harapan (PH), khususnya DAP, menggunakan sentimen Islamofobia bagi menimbulkan kebimbangan terhadap kebangkitan politik PAS dan pengaruh Melayu-Islam di negara ini.
Dalam kenyataannya hari ini, beliau mengaitkan penggunaan istilah “Gelombang Hijau” dengan kejayaan PAS meraih kerusi Parlimen terbanyak sebagai sebuah parti pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), selain menguasai beberapa kerajaan negeri.
Menurut Abdul Hadi, istilah berkenaan digunakan untuk memberikan gambaran negatif terhadap PAS dan usaha parti itu memperjuangkan kedudukan Islam serta orang Melayu.
Beliau turut mendakwa DAP mempunyai pengaruh besar dalam PH dan menuduh beberapa pemimpinnya mencabar perkara berkaitan Islam, institusi Raja-Raja Melayu dan Bahasa Kebangsaan.
Dalam kenyataan sama, Abdul Hadi mengalu-alukan apa yang disifatkannya sebagai perubahan sokongan pengundi Cina terhadap DAP di Sabah dan Johor.
Beliau berkata PAS bersedia membantu Barisan Nasional (BN) di Johor bagi menghalang PH dan DAP daripada menguasai negeri itu, meskipun tindakan tersebut didakwa menyebabkan PAS kehilangan kerusi.
“PAS tidak memerlukan sebarang kerusi hadiah daripada Johor. Apa yang paling diharapkan oleh PAS ialah perpaduan Melayu-Islam yang memimpin negara Malaysia bersama bukan Islam yang tidak ekstrem,” katanya.
Abdul Hadi turut menyeru sebahagian pemimpin dan ahli UMNO yang bekerjasama dengan DAP supaya “kembali ke pangkal jalan” serta membina semula kerjasama politik berasaskan penyatuan umat Melayu-Islam.
Pada masa sama, beliau menegaskan Islam tidak menghalang hubungan baik dan kerjasama dengan masyarakat bukan Islam yang tidak ekstrem.
Menurutnya, kepimpinan Melayu-Islam perlu berteraskan keadilan kepada semua kaum dan agama, selain menolak sikap fanatik perkauman serta kezaliman terhadap mana-mana pihak.-The Merdeka Times