Antarabangsa
AS tuduh Sudan ancam usir misi PBB
Amerika Syarikat (AS) semalam menuduh Sudan mengancam untuk mengusir misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berada di ibu negara, Khartoum.
- Amerika Syarikat (AS) semalam menuduh Sudan mengancam untuk mengusir misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berada di ibu negara, Khartoum.
- Difahamkan, amaran dikeluarkan negara dilanda perang itu jika utusan khasnya membuka mulut di hadapan Majlis Keselamatan PBB (UNSC) mengenai kekejaman konflik itu.
- Pada sesi ditujukan kepada Sudan dan Sudan Selatan, Duta Besar AS, Linda Thomas-Greenfield, yang negaranya mempengerusikan UNSC pada bulan ini, menyelar ketidakhadiran Volker Perthes, wakil khas Setiausaha Agung PBB di Sudan dan Ketua Misi PBB di sana yang dikenali sebagai UNITAMS.
- “Ini tidak boleh diterima,” kata Duta AS di hadapan rakan sejawatannya dari Sudan, Al-Harith Idriss Al-Harith Mohamed, yang menafikan tuduhan itu.
NEW YORK: Amerika Syarikat (AS) semalam menuduh Sudan mengancam untuk mengusir misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berada di ibu negara, Khartoum.
Difahamkan, amaran dikeluarkan negara yang dilanda perang itu jika utusan khasnya membuka mulut di hadapan Majlis Keselamatan PBB (UNSC) mengenai kekejaman konflik itu.
Pada sesi yang ditujukan kepada Sudan dan Sudan Selatan, Duta Besar AS, Linda Thomas-Greenfield, yang negaranya mempengerusikan UNSC pada bulan ini, menyelar ketidakhadiran Volker Perthes, wakil khas Setiausaha Agung PBB di Sudan dan Ketua Misi PBB di sana yang dikenali sebagai UNITAMS.
“Kami menjangkakan Perthes akan memberi taklimat kepada UNSC. Kami kini memahami kerajaan Sudan memberi amaran akan menamatkan Misi PBB di Sudan jika beliau mengambil bahagian dalam taklimat ini.
“Ini tidak boleh diterima,” kata Duta AS di hadapan rakan sejawatannya dari Sudan, Al-Harith Idriss Al-Harith Mohamed, yang menafikan tuduhan itu.
“Misi Sudan tidak menghantar surat-menyurat mengatakan kami mengancam memboikot sesi ini,” katanya.
Namun, Thomas-Greenfield tetap mengulangi dakwaan di hadapan media yang berkumpul selepas sesi tamat.
“Kami dimaklumkan semalam Perthes akan memberi taklimat kepada UNSC, namun pagi ini namanya tiada.
“Kami faham ia berlaku kerana kerajaan Sudan mengancam mengeluarkan UNITAMS dari Sudan jika beliau menyampaikan taklimat kepada UNSC. Kami terkejut dan ini keterlaluan, tidak boleh diterima,” katanya.
Taklimat Sudan disampaikan oleh Penolong Setiausaha Agung untuk Afrika, Martha Ama Pobee, yang mengatakan konflik itu ‘terus memberi kesan besar kepada negara dan rakyatnya juga terus menghadapi penderitaan yang tidak dapat dibayangkan’.
Dia menyatakan ‘keganasan seksual masih dilakukan secara besar-besaran, manakala kanak-kanak terus dibunuh atau menjadi mangsa atau berisiko direkrut untuk berperang’.
Peperangan di Sudan berlaku antara tentera negara di bawah Jeneral Abdel Fattah al-Burhan, yang menentang Pasukan Sokongan Pantas (FSR) separa tentera diketuai Jeneral Mohamed Hamdan Dagl.
Ia bermula pada 15 April dan meragut kira-kira 4,000 nyawa menurut NGO Acled dan meninggalkan hampir empat juta orang merempat di negara sendiri atau menjadi pelarian.
Jun lalu, Perthes mengecam kemungkinan ‘jenayah terhadap kemanusiaan’ di Darfur, selepas Khartoum mengisytiharkannya sebagai ‘persona non grata’ dan menuduhnya berat sebelah.
Jurucakap kepada ketua PBB, Antonio Guterres, Farhan Haq, berkata Perthes ‘terus menjadi Wakil Khas Setiausaha Agung yang berurusan dengan Sudan’.
Beliau bagaimanapun tidak mengesahkan tuduhan duta AS.
Sumber: Berita Harian