Antarabangsa
Russia denda Apple kerana tidak padam kandungan ‘tidak tepat’ konflik Ukraine
Mahkamah Moscow mengenakan denda terhadap Apple sebanyak 400,000 Rubel atau AS$4,274 (RM19,421) semalam atas dakwaan tidak memadam kandungan “tidak tepat” mengenai “operasi ketenteraan khas” di Ukraine pada aplikasi dan podcast, lapor agensi berita Russia.
- Mahkamah Moscow mengenakan denda terhadap Apple sebanyak 400,000 rubel atau AS$4,274 (RM19,421) semalam atas dakwaan tidak memadam kandungan “tidak tepat” mengenai “operasi ketenteraan khas” di Ukraine pada aplikasi dan podcast, lapor agensi berita Russia.
- Agensi berita TASS berkata ia adalah kali pertama Apple didenda atas kesalahan itu.
- Interfax memetik mahkamah sebagai berkata kandungan itu termasuk maklumat “bertujuan membabitkan kanak-kanak di bawah umur dalam aktiviti haram bagi menggugat kestabilan keadaan politik di Persekutuan Russia.”
- Apple bagaimanapun tidak menjawab permintaan untuk mengulas yang dihantar menerusi e-mel.
- Syarikat itu menghentikan semua jualan produk di Russia sejurus Moscow menghantar puluhan ribu tentera ke Ukraine pada Februari 2022, dan mengehadkan perkhidmatan Apple Pay di Russia.
MOSCOW – Mahkamah Moscow mengenakan denda terhadap Apple sebanyak 400,000 Rubel atau AS$4,274 (RM19,421) semalam atas dakwaan tidak memadam kandungan “tidak tepat” mengenai “operasi ketenteraan khas” di Ukraine pada aplikasi dan podcast, lapor agensi berita Russia.
Agensi berita TASS berkata ia adalah kali pertama Apple didenda atas kesalahan itu.
Interfax memetik mahkamah sebagai berkata kandungan itu termasuk maklumat “bertujuan membabitkan kanak-kanak di bawah umur dalam aktiviti haram bagi menggugat kestabilan keadaan politik di Persekutuan Russia.”
Apple bagaimanapun tidak menjawab permintaan untuk mengulas yang dihantar menerusi e-mel.
Syarikat itu menghentikan semua jualan produk di Russia sejurus Moscow menghantar puluhan ribu tentera ke Ukraine pada Februari 2022, dan mengehadkan perkhidmatan Apple Pay di Russia.
Interfax berkata peguam Apple di mahkamah meminta sesi itu diadakan secara tertutup bagi mengelakkan pendedahan rahsia perdagangan.
Pertelagahan antara Moscow dan Big Tech berlaku selama bertahun-tahun berhubung kandungan, penapisan, data dan perwakilan tempatan dalam pertikaian yang meningkat selepas Russia menghantar angkatan tenteranya ke Ukraine.
Pada Februari lalu, Apple membayar denda 906 juta Rubel (RM43.34 juta) dalam kes penyalahgunaan penguasaannya dalam pasaran aplikasi mudah alih, kata Perkhidmatan Antimonopoli Persekutuan (FAS) Russia.
Apple sebelum itu telah merayu dan “dengan hormat tidak bersetuju” dengan keputusan FAS bahawa pengedaran aplikasi Apple melalui sistem pengendalian iOSnya memberikan produknya sendiri kelebihan daya saing.
Mahkamah yang sama kemudiannya berkata ia telah mendenda Yayasan Wikimedia, yang memiliki Wikipedia sebanyak tiga juta Rubel (RM140,000) untuk kesalahan sama.
Wikimedia didenda beberapa kali dan sebelum ini telah mengatakan maklumat yang diadukan oleh pihak berkuasa Russia adalah sumber yang baik dan selaras dengan piawaian Wikipedia.
Sumber: Berita Harian