Antarabangsa
Ribuan pelancong termasuk LGBT banjiri Kanada dapatkan vaksin cacar monyet
Beribu-ribu warga asing termasuk rakyat Amerika Syarikat (AS) dan komuniti LGBT mengunjungi bandar Montreal di Kanada semata-mata untuk mendapatkan suntikan vaksin cacar monyet berikutan kekurangan vaksin berkenaan di AS.
- Ribuan warga asing, termasuk rakyat Amerika Syarikat (AS) kunjungi bandar Montreal di Kanada dapatkan suntikan vaksin cacar monyet berikutan kekurangan vaksin berkenaan di AS.
- Pihak berkuasa di Montreal tawar vaksinasi kepada golongan berisiko iaitu komuniti LGBT bagi kekang penularan cacar monyet, berikutan pengesanan kontak sukar.
- Matlamat bandar raya itu untuk berikan 25,000 dos vaksin cacar monyet bagi memvaksinasi antara 75 hingga 80 peratus populasi yang dianggap berisiko, khususnya golongan gay dan lelaki berbilang pasangan.
- Sejak kempen vaksinasi dilancarkan pertengahan Mei lalu, Montreal telah memberi pelalian kepada 18,500 orang dengan 13 peratus merupakan warga asing.
MONTREAL, Kanada – Beribu-ribu warga asing termasuk rakyat Amerika Syarikat (AS) dan komuniti LGBT mengunjungi bandar Montreal di Kanada semata-mata untuk mendapatkan suntikan vaksin cacar monyet berikutan kekurangan vaksin berkenaan di AS.
Montreal yang merupakan bandar kedua terbesar di Kanada dan terletak dalam wilayah Quebec, sekitar 70 kilometer di utara sempadan AS, memutuskan untuk memberikan vaksin cacar monyet kepada sesiapa sahaja yang menganggap diri mereka berisiko.
Pengarah seni dari Denver, AckRobb Stilson mengambil peluang itu semasa mengunjungi Montreal minggu lalu.
“Amat sukar mendapatkan vaksinasi di AS. Kawan-kawan saya terpaksa menunggu sangat lama, antara lapan hingga sembilan jam sebelum disuntik,” kata lelaki gay itu dipetik AFP ketika beratur bersama pasangan lelakinya dan dua kanak-kanak perempuan yang didakwa anak mereka.
Berikutan pengesanan kontak adalah sukar, pihak berkuasa di Montreal menawarkan vaksinasi kepada semua mereka yang berisiko bagi mengekang penularan cacar monyet.
“Sebagai pelancong, mereka mungkin terbabit dalam aktiviti yang berisiko mendapat jangkitan cacar monyet. Justeru, kami membenarkan mereka mendapatkan pelalian supaya mereka tidak menyebarkan jangkitan, sama ada di sini atau selepas kembali ke negara asal,” kata pakar penyakit berjangkit Pusat Perubatan Universiti McGill, Donald Vinh.
Sejak kempen vaksinasi berkenaan dilancarkan pertengahan Mei lalu, Montreal telah memberi pelalian kepada 18,500 orang dengan 13 peratus merupakan warga asing.
Matlamat bandar raya itu adalah untuk memberikan 25,000 dos vaksin cacar monyet bagi memvaksinasi antara 75 hingga 80 peratus populasi yang dianggap berisiko khususnya golongan gay dan lelaki berbilang pasangan.
Setakat 11 Ogos lalu, Kanada merekodkan sebanyak 1,059 kes cacar monyet, namun pihak berkuasa menyatakan jangkitan kini semakin berkurangan. – AFP
Sumber : Kosmo / AFP