Terkini
Permohonan semakan kehakiman batal nama sebagai mualaf remeh – AGC
Jabatan Peguam Negara (AGC) menyifatkan permohonan seorang wanita dari Sarawak untuk memulakan semakan kehakiman bagi meminta Pendaftar Wilayah Persekutuan Mualaf membatalkan namanya daripada didaftar mualaf, sebagai remeh dan menyusahkan.
- Jabatan Peguam Negara (AGC) menyifatkan permohonan seorang wanita dari Sarawak untuk memulakan semakan kehakiman bagi meminta Pendaftar Wilayah Persekutuan Mualaf membatalkan namanya daripada didaftar mualaf, sebagai remeh dan menyusahkan.
- Peguam Persekutuan mewakili AGC, Mohammad Sallehuddin Md Ali, berkata permohonan itu tidak boleh dibenarkan untuk semakan kehakiman mengikut Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan.
- “Permohonan itu adalah remeh dan menyusahkan serta harus ditolak oleh mahkamah,” katanya ketika berhujah di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Kamal Md Shahid, hari ini.
- Sementara itu, peguam wanita berkenaan, Iqbal Harith Liang, berkata permohonan itu tidak dihalang oleh Artikel 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan.
KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) menyifatkan permohonan seorang wanita dari Sarawak untuk memulakan semakan kehakiman bagi meminta Pendaftar Wilayah Persekutuan Mualaf membatalkan namanya daripada didaftar mualaf, sebagai remeh dan menyusahkan.
Peguam Persekutuan mewakili AGC, Mohammad Sallehuddin Md Ali, berkata permohonan itu tidak boleh dibenarkan untuk semakan kehakiman mengikut Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan.
“Permohonan itu adalah remeh dan menyusahkan serta harus ditolak oleh mahkamah,” katanya ketika berhujah di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Kamal Md Shahid, hari ini.
Sementara itu, peguam wanita berkenaan, Iqbal Harith Liang, berkata permohonan itu tidak dihalang oleh Artikel 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan.
“Kewajipan pendaftaran mualaf di sisi undang-undang untuk memutuskan permohonan pemohon keluar daripada agama Islam adalah tersirat dalam Seksyen 89 Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505).
“Pemohon memohon kebenaran diberikan untuk prosiding semakan kehakiman dimulakan,” katanya.
Hakim kemudian menetapkan 21 September ini untuk keputusan bantahan semakan kehakiman itu.
Wanita berusia 26 tahun memfailkan permohonan itu pada 20 April lalu, dan menamakan Pendaftar Wilayah Persekutuan Mualaf, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.
Pemohon dilahirkan pada 9 Julai 1997 dan ibu bapanya adalah Kristian, memohon pengisytiharan bahawa Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505) memberikan bidang kuasa kepada responden pertama (Pendaftar Mualaf) untuk mengisytiharkan bahawa seseorang bukan lagi seorang Muslim.
Beliau juga memohon responden pertama mempertimbangkan permohonan pemohon supaya namanya dibatalkan daripada Daftar Mualaf dan membuat keputusan serta-merta.
Selain itu, memohon pengisytiharan bahawa penolakan atau kelewatan responden pertama memutuskan permohonan pemohon dalam surat pada 30 Januari, 20 Februari dan 17 Mac 2023 adalah tidak rasional dan tidak munasabah.
Wanita itu dalam afidavit sokongannya berkata pada awal 2017, pemohon bertemu dengan seorang lelaki Islam yang mempelawanya untuk berkahwin dengannya dan bagi membolehkan perkahwinan itu, dia memeluk Islam pada 18 Ogos 2017 dan mendaftar sebagai seorang muallaf dengan responden pertama.
Bagaimanapun, pada 27 Januari tahun lalu, pemohon berikrar dalam afidavit bahawa dia mahu meninggalkan Islam dan kembali sebagai seorang Kristian.
Pada 30 Januari, 20 Februari dan 17 Mac 2023, pemohon melalui peguam caranya mengeluarkan surat kepada responden pertama untuk memohon namanya dibatalkan daripada Daftar Mualaf.
Setakat tarikh pemfailan permohonan, responden pertama tidak memberikan sebarang keputusan mengenai permohonannya.
Sumber: Berita Harian