Terkini
Semenanjung Malaysia hanyalah istilah rekaan politik, Negeri-Negeri Melayu kekal dalam Perlembagaan Persekutuan – Peguam
Tiada istilah ‘Semenanjung Malaysia’ dalam Perlembagaan Persekutuan seperti dinyatakan dalam Perkara 121(1)(a) yang jelas menggunakan istilah ‘Negeri-Negeri Tanah Melayu’ merujuk kepada negeri-negeri di semenanjung.
- Tiada istilah ‘Semenanjung Malaysia’ dalam Perlembagaan Persekutuan seperti dinyatakan dalam Perkara 121(1)(a) yang jelas menggunakan istilah ‘Negeri-Negeri Tanah Melayu’ merujuk kepada negeri-negeri di semenanjung.
- Itu kenyataan peguam, Aidil Khalid menerusi akaun Facebooknya pada Isnin membidas dakwaan wartawan veteran, Datuk A Kadir Jasin kononnya istilah ‘Persekutuan Tanah Melayu’ tidak lagi digunapakai dan diganti dengan ‘Semenanjung Malaysia’ setelah tertubuhnya Malaysia pada tahun 1963.
- Menurutnya, bukti kesahihan pengistilahan ini bersandarkan kepada Perkara 121(1)(a) menyatakan, ‘Maka hendaklah ada dua Mahkamah Tinggi yang setara bidang kuasa dan tarafnya, iaitu – (a) satu di Negeri-Negeri Tanah Melayu, yang dikenali sebagai Mahkamah Tinggi Malaya dan yang mempunyai pejabat pendaftarannya yang utama di mana-mana tempat di Negeri-Negeri Tanah Melayu yang ditentukan oleh Yang di-Pertuan Agong.’
- Aidil menyifatkan istilah ‘Negeri-Negeri Tanah Melayu’ yang diguna pakai dalam asas Perlembagaan Persekutuan menunjukkan kepada penegasan sifat, hakikat dan identiti Tanah Melayu.
KUALA LUMPUR: Tiada istilah ‘Semenanjung Malaysia’ dalam Perlembagaan Persekutuan seperti dinyatakan dalam Perkara 121(1)(a) yang jelas menggunakan istilah ‘Negeri-Negeri Tanah Melayu’ merujuk kepada negeri-negeri di semenanjung.
Itu kenyataan peguam, Aidil Khalid menerusi akaun Facebooknya pada Isnin membidas dakwaan wartawan veteran, Datuk A Kadir Jasin kononnya istilah ‘Persekutuan Tanah Melayu’ tidak lagi digunapakai dan diganti dengan ‘Semenanjung Malaysia’ setelah tertubuhnya Malaysia pada tahun 1963.
“Hakikatnya, Perlembagaan tidak pernah merujuk kepada Semenanjung Malaysia sebagai ‘Semenanjung Malaysia’. Ia adalah istilah rekaan politik, yang tiada asas perlembagaan,” katanya.
Menurutnya, bukti kesahihan pengistilahan ini bersandarkan kepada Perkara 121(1)(a) menyatakan, ‘Maka hendaklah ada dua Mahkamah Tinggi yang setara bidang kuasa dan tarafnya, iaitu – (a) satu di Negeri-Negeri Tanah Melayu, yang dikenali sebagai Mahkamah Tinggi Malaya dan yang mempunyai pejabat pendaftarannya yang utama di mana-mana tempat di Negeri-Negeri Tanah Melayu yang ditentukan oleh Yang di-Pertuan Agong.’
“Perhatikan pengulangan istilah ‘Negeri-Negeri Tanah Melayu’ yang dikumandangkan dua kali dalam peruntukan di atas. Peruntukan ini masih ada dalam Perlembagaan, kekal wujud serta berkuat-kuasa dan tidak pernah dibatalkan,” katanya.
Aidil Khalid menyifatkan istilah ‘Negeri-Negeri Tanah Melayu’ yang diguna pakai dalam asas Perlembagaan Persekutuan menunjukkan kepada penegasan sifat, hakikat dan identiti Tanah Melayu.
Katanya, pindaan Perlembagaan Persekutuan dalam Perkara 1(2)(a) pada tahun 2022 turut mempertegaskan lagi sifat, hakikat dan identiti ini dengan menyatakan, ‘Negeri-negeri Persekutuan terdiri daripada – (a) Negeri-Negeri Tanah Melayu, iaitu Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Selangor dan Terengganu; dan (b) Negeri-Negeri Borneo iaitu Sabah dan Sarawak.’
Aidil Khalid berkata kemasukan Sabah dan Sarawak ke dalam Persekutuan Malaysia tidak sekali-kali mencairkan bahawa sifat, hakikat dan identiti negara ini adalah Tanah Melayu.
“Ia diperuntukkan dalam Perlembagaan, sebagai undang-undang tertinggi negara. Siapa-siapa yang mengatakan sebaliknya adalah, sama ada jahil, ataupun jika tidak jahil, maka dia berbohong,” kata Aidil Khalid bertegas penggunaan istilah ‘Negeri-Negeri Tanah Melayu’ dan ‘Semenanjung Tanah Melayu’ perlu dihidupkan kembali supaya identiti dan sifat negara ini terus berkekalan. – The Merdeka Times
Sumber: Facebook Aidil Khalid