Connect with us

Antarabangsa

Tiada kitab agama dibakar dalam bantahan pembakaran al-Quran di Sweden

Jangkaan orang ramai menyaksikan seorang lelaki Muslim membakar kitab Taurat dan Injil sebagai tanda bantahan di Stockholm, Sweden, meleset apabila perkara itu langsung tidak berlaku.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Ruszaini Ruslan

Published

on

Tiada kitab agama dibakar dalam bantahan pembakaran al-Quran di Sweden
Foto: Ahmad Alloush (tengah) ketika demonstrasi membantah pembakaran Al-Quran di Stockholm, Sweden.
  • Ahmad Alloush, 32, mendapat kebenaran untuk membakar kitab Taurat dan Injil di Stockholm, Sweden oleh pihak polis.
  • Bagaimanapun, dia tidak melakukannya ketika bantahan berlangsung pada Sabtu lalu di hadapan kedutaan Israel.
  • “Saya tidak pernah terfikir akan membakar mana-mana kitab. Saya seorang Muslim, kami tidak membakar (kitab),” – Penunjuk perasaan, Ahmad Alloush.
  • Mahkamah Sweden sebelum ini membenarkan pembakaran kitab suci kerana perlembagaan negara itu melindungi hak kebebasan berhimpun, bersuara dan berdemonstrasi.

Jangkaan orang ramai menyaksikan seorang lelaki Muslim membakar kitab Taurat dan Injil sebagai tanda bantahan di Stockholm, Sweden, meleset apabila perkara itu langsung tidak berlaku.

Ahmad Alloush, 32, berkata yang dia tiada niat pun untuk membakar sebarang kitab suci walaupun telah mendapat kebenaran Polis Sweden.

Memetik laporan DW dan Aljazeera, dia mengeluarkan pemetik api dari begnya, namun membuangnya di hadapan kedutaan Israel pada Sabtu.

“Saya tidak pernah terfikir akan membakar mana-mana kitab. Saya seorang Muslim, kami tidak membakar (kitab),” katanya.

Dalam bantahan itu, dia mengeluarkan senaskah al-Quran dan mengkritik kejadian membakar kitab suci umat  Islam yang berlaku di ibu negara itu.

Katanya, tiada masalah jika sesiapa mahu mengkritik Islam, namun membakar al-Quran “bukan kebebasan bersuara”.

“Ini adalah tindak balas kepada mereka yang membakar al-Quran – kebebasan bersuara ada hadnya.

“Saya mahu menunjukkan yang kita perlu menghormati antara satu sama lain, kita hidup dalam masyarakat yang sama. Jika saya membakar Taurat, satu lagi Injil, satu lagi al-Quran, akan berlaku perang di sini. Apa yang saya ingin tunjukkan ialah melakukan perkara tersebut adalah tidak betul,” kata Ahmad.

Mahkamah Sweden sebelum ini membenarkan pembakaran kitab suci kerana perlembagaan negara itu melindungi hak kebebasan berhimpun, bersuara dan berdemonstrasi.

Terdahulu, ibu kota Sweden itu menyaksikan beberapa kejadian biadab mempersendakan kitab suci al- Quran.

Bulan lalu, seorang pelarian dari Iraq berfahaman ateis, Salwan Momika membakar senaskah al-Quran di luar Masjid Jamek Stockholm pada Hari Raya Aidiladha.

Dia turut meletakkan sekeping daging babi pada halaman naskah al-Quran dan memijak kitab itu sebelum membakarnya.

Januari lalu, seorang ahli politik pelampau sayap kanan Denmark, Rasmus Paludan bertindak membakar senaskah al-Quran di luar Kedutaan Turkiye di Stockholm.

Dia melakukan tindakan sedemikian untuk menggesa Turkiye menyokong Sweden untuk menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Sumber: DW, Aljazeera

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *