Antarabangsa
Turkiye setuju Sweden sertai NATO
Turkiye bersetuju membenarkan Sweden menyertai pakatan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
- Turkiye bersetuju membenarkan Sweden sertai pakatan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
- Ia turut menetapkan ruang kepada ahli sekutu mempamerkan muafakat pada sidang kemuncak yang memberi tumpuan kepada usaha mendapatkan sokongan bagi Ukraine menentang pencerobohan Russia.
- Sekatan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan dalam bidaan keahlian Sweden ‘menyebabkan ada pihak berhenti mempercayai sesuatu’ menjelang persiapan mesyuarat hari ini, namun Sweden dan Turkiye mengatasi perbezaan kedua-duanya pada saat akhir.
- “Menyelesaikan penyertaan Sweden ke dalam NATO adalah satu langkah bersejarah yang memberi manfaat kepada keselamatan semua sekutu NATO pada saat genting ini. Ia menjadikan kita semua lebih kuat dan lebih selamat,” kata Setiausaha Agung NATO, Jens Stoltenberg.
- Semalam Erdogan meningkatkan lagi kepentingannya, menuntut Kesatuan Eropah (EU) menghidupkan semula tawaran keahlian EU kepada Turkiye yang terhenti sebagai prasyarat untuk Sweden menyertai NATO.
VILNIUS – Turkiye bersetuju membenarkan Sweden menyertai pakatan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
Selain itu, ia turut menetapkan ruang kepada ahli sekutu mempamerkan muafakat pada sidang kemuncak yang memberi tumpuan kepada usaha mendapatkan sokongan bagi Ukraine menentang pencerobohan Russia.
Sekatan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan dalam bidaan keahlian Sweden ‘menyebabkan ada pihak berhenti mempercayai sesuatu’ menjelang persiapan mesyuarat hari ini, namun Sweden dan Turkiye mengatasi perbezaan kedua-duanya pada saat akhir.
Selepas bertemu Erdogan dan Perdana Menteri Sweden, Ulf Kristersson, Setiausaha Agung NATO, Jens Stoltenberg mengisytiharkan ia hari bersejarah selepas pemimpin Turkiye bersetuju untuk menyokong permohonan Stockholm.
“Menyelesaikan penyertaan Sweden ke dalam NATO adalah satu langkah bersejarah yang memberi manfaat kepada keselamatan semua sekutu NATO pada saat genting ini. Ia menjadikan kita semua lebih kuat dan lebih selamat,” katanya.
Permohonan oleh Sweden masih perlu diluluskan oleh Parlimen Turkiye tetapi Erdogan bersetuju untuk mendesak ratifikasinya.
Hungary juga masih belum meluluskannya, walaupun kerajaan pimpinan Perdana Menteri Viktor Orban berikrar negaranya bukan menjadi yang terakhir melaksanakan langkah itu, sekali gus ia memberi bayangan berbuat demikian tidak lama lagi.
Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden, yang juga di Vilnius untuk sidang kemuncak itu menzahirkan ucapan terima kasih kepada Stoltenberg.
“Saya mengalu-alukan Perdana Menteri Kristersson dan Sweden sebagai sekutu NATO ke-32,” katanya.
Turkiye membiarkan permohonan Sweden untuk menyertai perikatan Atlantik, menuduh Stockholm melindungi aktivis Kurdish yang dianggap Ankara sebagai pengganas.
Semalam Erdogan meningkatkan lagi kepentingannya, menuntut Kesatuan Eropah (EU) menghidupkan semula tawaran keahlian EU kepada Turkiye yang terhenti sebagai prasyarat untuk Sweden menyertai NATO.
Bagaimanapun kenyataan yang dikeluarkan selepas rundingan tiga penjuru itu menyatakan Turkiye dan Sweden akan bekerjasama rapat dalam ‘penyelarasan menentang keganasan’ dan meningkatkan hubungan perdagangan dua hala.
“Sweden secara aktif akan menyokong usaha menggiatkan semula proses penyertaan EU Turkiye, termasuk pemodenan Kesatuan Kastam EU-Turkiye dan liberalisasi visa,” kata kenyataan itu.
Perjanjian itu dibuat selepas Erdogan menghentikan perbincangannya dengan Stoltenberg dan Kristersson untuk pertemuan di luar sidang dengan Ketua EU Charles Michel yang juga presiden Majlis Eropah.
Michel memuji ‘pertemuan yang baik”‘ sambil menambah mereka ‘meneroka peluang ke hadapan untuk membawa kembali kerjasama EU-Turkiye ke hadapan dan menghidupkan semula hubungan terjalin’.
Turkiye menjadi calon rasmi untuk menyertai EU sejak 2005 dan bercita-cita sejak lama sebelum itu, tetapi perbincangan lama terhenti.
Bagaimanapun kenyataan semalam membayangkan Ankara dan Brussels mungkin bergerak untuk meningkatkan perdagangan, mengemas kini perjanjian kastam mereka dan melonggarkan peraturan visa sekiranya tiada rundingan keahlian rasmi. – AFP
Sumber: Berita Harian