Terkini
PM diminta arah menterinya buru 1.2 juta warga China tidak keluar Malaysia
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diminta mengarahkan menterinya untuk menyiasat dan memburu keberadaan lebih 1.2 juta warga China yang dikesan tidak keluar dari Malaysia selepas masuk ke negara ini.
- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diminta mengarahkan menterinya untuk menyiasat dan memburu keberadaan lebih 1.2 juta warga China yang dikesan tidak keluar dari Malaysia selepas tiba ke negara ini.
- Presiden BERJASA, Zamani Ibrahim berkata tindakan itu adalah wajar sekiranya Perdana Menteri ingin menjaga keamanan negara ini.
- Katanya, menteri sepatutnya memberi keutamaan kepada perkara terbabit kerana ia mengundang bahaya kepada negara apabila ada individu datang ke Malaysia, namun tidak kembali ke negara asal.
- Beliau menegaskan sindiket yang terlibat menyembunyikan kelompok ini perlu dikenal pasti selain warga China terbabit diburu dan dihantar pulang ke negara mereka semula.
- “Mungkin ada sindiket terlibat menyembunyikan mereka. Jadi kalau sekiranya bab rasuah bukan bidang kuasa menteri pelancongan, menteri dalam negeri punya kuasa,” katanya menerusi klip video dimuat naik di Facebook pada Selasa.
KUALA LUMPUR — Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diminta mengarahkan menterinya untuk menyiasat dan memburu keberadaan lebih 1.2 juta warga China yang dikesan tidak keluar dari Malaysia selepas masuk ke negara ini.
Presiden BERJASA, Zamani Ibrahim berkata tindakan itu adalah wajar sekiranya Perdana Menteri ingin menjaga keamanan negara ini.
“Alangkah baiknya kalau Perdana Menteri kita yang inginkan negara aman, bagus, selamat, sejahtera dia panggil menteri pelancongan berikan tanggungjawab kepada menteri pelancongan supaya menteri pelancongan menyiasat memburu di mana 1.2 juta pelancong China yang datang di negara kita tak balik ke negara mereka,” katanya menerusi klip video dimuat naik di Facebook pada Selasa.
Zamani berkata menteri sepatutnya memberi keutamaan kepada perkara terbabit kerana ia mengundang bahaya kepada negara apabila ada individu datang ke Malaysia, namun tidak kembali ke negara asal.
Beliau menegaskan sindiket yang terlibat menyembunyikan kelompok ini perlu dikenal pasti selain warga China terbabit diburu dan dihantar pulang ke negara mereka semula.
“Seorang yang masuk tanpa tiket untuk kembali kepada negara mereka dilepaskan sedangkan di negara kita sudah berada 1.2 juta tidak balik.
“Apa yang terjadi? Kita tutup mata sahaja ke? Kita pejam mata? Seorang yang masuk, kita lepaskan, kita beria-ia tapi 1.2 juta yang dah masuk, kita senyap.
“Mungkin ada sindiket terlibat menyembunyikan mereka. Jadi kalau sekiranya bab rasuah bukan bidang kuasa menteri pelancongan, menteri dalam negeri punya kuasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas insiden membabitkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing yang dilaporkan terbabit dalam kekecohan di ruang ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), baru-baru ini.
Bagaimanapun, King Sing menafikan tuduhan kekecohan itu timbul kerana beliau menuntut Jabatan Imigresen membebaskan pelawat dari China.
Sebaliknya, beliau mendakwa kehadirannya untuk membongkar satu peristiwa memalukan negara apabila wujudnya budaya rasuah dilakukan segelintir pegawai dan penyalahgunaan kuasa kronik di pintu masuk negara.
Mengulas lanjut, Zamani mengingatkan agar insiden itu tidak beralih daripada isu pokok di mana berlaku pencerobohan tatakelola oleh menteri pelancongan.
Menurut beliau, menteri terbabit juga dilihat bertindak di luar bidang kuasanya sekiranya benar isu berbangkit adalah terkait rasuah.
“Jadi persoalan kita, kalau ada kes rasuah kenapa menteri pelancongan yang beria-ia untuk melepaskan?
“Meminta supaya dilepaskan orang yang tak layak untuk kita benarkan masuk negara kita sebab mereka tidak ada tiket balik dan mereka tidak tahu di mana tempat mereka nak tinggal di negara kita ini. Ini benda penting,” katanya. — The Merdeka Times
Sumber : Facebook Ustaz Zamani Ibrahim