Connect with us

Antarabangsa

Belanda kembalikan 478 khazanah penjajah kepada Indonesia, Sri Lanka

Belanda pada Khamis memaklumkan akan menyerahkan semula ratusan artifak zaman penjajah kepada Indonesia dan Sri Lanka, termasuk harta karun serta meriam gangsa bertatahkan permata.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Belanda kembalikan 478 khazanah penjajah kepada Indonesia, Sri Lanka
Foto: Antara artifak zaman penjajah milik Indonesia dan Sri Lanka yang berada di muzium Belanda.
  • Belanda pada Khamis memaklumkan akan menyerahkan semula ratusan artifak zaman penjajah kepada Indonesia dan Sri Lanka, termasuk harta karun serta meriam gangsa bertatahkan permata. 
  • Keputusan untuk memulangkan kira-kira 478 artifak itu berikutan cadangan suruhanjaya yang dilantik kerajaan tahun lalu, selepas meneliti pemerolehan haram penjajah Belanda yang kini dipamerkan di muzium Belanda.
  • Beberapa barangan akan diserahkan kembali itu termasuk ‘harta karun Lombok’, berupa ratusan objek emas dan perak, yang dirompak tentera Belanda ketika menawan istana Cakranegara di pulau Lombok, Indonesia pada 1894.
  • Barangan lain adalah meriam gangsa yang dihiasi dengan perak, emas serta permata berharga termasuk delima.
  • Pengarah Rijksmuseum, Taco Dibbits berkata, pengembalian barangan itu satu langkah positif dalam hubungan kerjasama dengan Sri Lanka.

THE HAGUE: Belanda pada Khamis memaklumkan akan menyerahkan semula ratusan artifak zaman penjajah kepada Indonesia dan Sri Lanka, termasuk harta karun serta meriam gangsa bertatahkan permata.

Keputusan untuk memulangkan kira-kira 478 artifak itu berikutan cadangan suruhanjaya yang dilantik kerajaan tahun lalu, selepas meneliti pemerolehan haram penjajah Belanda yang kini dipamerkan di muzium Belanda.

“Syor ini adalah satu peristiwa penting dalam menangani koleksi yang diambil dalam konteks kolonial,” kata Timbalan Menteri Kebudayaan, Pendidikan dan Sains Belanda, Gunay Uslu.

Suruhanjaya itu ditubuhkan susulan tuntutan Indonesia supaya dikembalikan beberapa karya seni dan koleksi sejarah semula jadinya dari bekas pemerintah kolonial Belanda.

Beberapa barangan akan diserahkan kembali itu termasuk apa yang disebut sebagai ‘harta karun Lombok’, berupa ratusan objek emas dan perak, yang dirompak tentera Belanda ketika menawan istana Cakranegara di pulau Lombok, Indonesia pada 1894.

Sementara itu, barangan lain adalah meriam gangsa yang dihiasi dengan perak, emas serta permata berharga termasuk delima.

‘Meriam Lewke’ abad ke-18 itu dipercayai hadiah diberi bangsawan Sri Lanka bernama Lewke Disava kepada Raja Kandy sekitar 1745 hingga 1746.

Ia dipercayai jatuh ke tangan Belanda pada 1765 apabila tentera Belanda dipimpin Gabenor Ceylon, Lubbert Jan van Eck menyerang dan menakluki Kandy.

Selepas dipamer di sekitar Belanda, meriam itu kemudian dimasukkan dalam koleksi Rijksmuseum di Amsterdam.

Pengarah Rijksmuseum, Taco Dibbits berkata, pengembalian barangan itu satu langkah positif dalam hubungan kerjasama dengan Sri Lanka.

“Hubungan dan pertukaran pengetahuan yang dibina antara kedua-dua negara dalam bidang penyelidikan dan sejarah adalah asas yang kukuh untuk masa depan,” katanya dalam satu kenyataan.

Penyiar awam, NOS pula melaporkan suruhanjaya itu akan menentukan keputusan untuk menyerahkan artifak lain pada masa hadapan.

Ini termasuk karya seni dari Nigeria serta koleksi Dubois termasuk tali pada kuda Putera Diponegoro, seorang kerabat diraja Jawa yang menentang pemerintahan kolonial Belanda pada abad ke-19. -AFP

Sumber: Berita Harian

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *