Antarabangsa
Ibu hamil maut ditembak anak dua tahun terjumpa pistol suaminya
Seorang wanita dan bayi dalam kandungannya maut ditembak anak lelakinya yang berusia dua tahun di kediaman mereka di Ohio, Amerika Syarikat (AS).
- Laura Ilg, 31, yang sedang hamil 33 minggu maut ditembak anak lelakinya yang berusia dua tahun di kediaman mereka di Ohio, Amerika Syarikat (AS).
- Anaknya masuk ke bilik tidur utama ketika dia sedang mencuci pakaian lalu bermain dengan pistol yang dijumpainya.
- Pistol itu dikatakan milik suaminya, Alek Ilg yang sedang bekerja ketika kejadian.
Seorang wanita dan bayi dalam kandungannya maut ditembak anak lelakinya yang berusia dua tahun di kediaman mereka di Ohio, Amerika Syarikat (AS).
Laura Ilg, 31, yang sedang hamil 33 minggu menghubungi polis pada petang 16 Jun lalu melaporkan yang anaknya terjumpa pistol milik suaminya dan menembaknya dari belakang.
Setibanya pegawai penyelamat yang menendang pintu rumahnya, Laura ditemui di bilik tingkat atas dalam keadaan masih sedar bersama anaknya, bersebelahan pistol itu.
Menurut Ketua Polis Norwalk David Smith, Laura sempat memberitahu yang anaknya masuk ke bilik tidur utama ketika dia sedang mencuci pakaian lalu bermain dengan pistol yang dijumpainya.
Pistol itu dikatakan milik suaminya, Alek Ilg yang sedang bekerja ketika kejadian.
Susulan insiden itu, Laura dikejarkan ke hospital di mana doktor melakukan pembedahan caesarean untuk menyelamatkan bayi.
Bagaimanapun, bayi lelakinya gagal diselamatkan dan Laura pula meninggal dunia beberapa jam kemudian.
Di lokasi kejadian, pegawai merampas pistol semi automatik Sig Sauer P365 Nitro Micro-Compact bersama kelongsong peluru.
Polis juga memberitahu yang pistol itu disimpan di dalam meja di bilik tidur utama sepertimana dimaklumkan Laura.
Rumah mereka juga dilihat mempunyai banyak ciri keselamatan kanak-kanak, termasuk pintu pagar bayi di setiap pintu.
Selain itu, polis juga menemui senapang patah 12 tolok berpeluru di dalam almari dan senapang Carbine AirSoft di bilik komputer ketika menggeledah rumah tersebut.
Kes itu dimajukan ke Pejabat Pendakwa Daerah Huron, yang akan mempertimbang keperluan memfailkan pertuduhan jenayah.
Polis juga sedang menyiasat kefungsian pistol itu dan bagaimana kanak-kanak berusia dua tahun boleh menarik picunya.
Kanak-kanak berkenaan kini kekal di bawah jagaan Alex yang masih bersedih dengan kematian isteri dan anaknya yang belum lahir.
Sig Sauer selaku syarikat pistol itu, berdepan banyak tindakan undang-undang daripada penguatkuasa dan individu yang mendakwa pistol mereka tidak berfungsi dengan baik dan mengakibatkan banyak kesilapan yang membawa kepada kecederaan dan kematian.
Sumber: Huffpost