Komuniti
Isu kuil di Damansara Damai: Wakil MBPJ tidak hadir sesi penerangan khas cetus persoalan
Kegagalan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) untuk menghantar wakilnya hadir pada sesi penerangan khas berhubung isu bantahan pembinaan kuil di Damansara Damai Jumaat lalu menimbulkan persoalan dalam kalangan penduduk setempat.
- Penduduk setempat tidak puas hati MBPJ gagal hantar wakil pada sesi penerangan khas pada Jumaat lalu berhubung isu pembinaan kuil di Damansara Damai.
- Penjelasan pihak MBPJ amat penting khususnya mengenai status pembinaan kuil di kawasan majoriti Islam itu sehingga menimbulkan bantahan 5,000 penduduk Damansara Damai atas beberapa faktor.
- Pihak PDRM minta penduduk menjaga ketenteraman awam berhubung isu itu dan beri jaminan akan menyiasat kesemua aduan berkaitan isu pembinaan kuil terbabit.
KUALA LUMPUR – Kegagalan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) untuk menghantar wakilnya hadir pada sesi penerangan khas berhubung isu bantahan pembinaan kuil di Damansara Damai Jumaat lalu menimbulkan persoalan dalam kalangan penduduk setempat.
Ini kerana sesi penerangan selama sejam bermula 10 malam itu amat penting bagi membolehkan pihak berwajib memberikan penjelasan berhubung isu berkaitan pembinaan kuil itu di kawasan majoriti penduduk Islam yang dibantah 5,000 penduduk Damansara Damai.
Ini termasuk isu penurunan kain rentang bantahan, tindakan pihak tertentu menaikkan papan tanda notis pemakluman pembinaan kuil ‘secara haram’ tanpa kebenaran pihak berkuasa tempatan terbabit (MBPJ) dan status sebenar projek pembinaan kuil itu.
Sesi penerangan khas yang berlangsung secara aman di Dewan Apartmen Impian pada Jumaat lalu itu dikendalikan Ketua Polis Balai Sri Damansara, Inspektor Mohamad Nor Nidzam Mohamad Zin dengan kehadiran beberapa anggota PDRM.
Ditanya penduduk kenapa tiada wakil MBPJ dalam sesi penerangan itu, pihak polis memaklumkan pihak berkuasa tempatan itu (MBPJ) telah dimaklumkan berhubung sesi penerangan dan sepatutnya menghantar wakil mereka.
Penduduk yang hadir meminta pihak polis merancang satu lagi perjumpaan bersama MBPJ dan memastikan pihak terbabit hadir bagi memberikan penjelasan berhubung isu pembinaan kuil itu yang dibantah penduduk Damansara Damai.
Berjanji untuk menyiasat kesemua aduan penduduk berhubung isu itu, Mohamad Nor Nidzam juga meminta penduduk untuk menjaga ketenteraman awam di kawasan terbabit.
Pihak polis juga tidak menggalakkan penduduk setempat menaikkan kain rentang bantahan kerana dikhuatiri akan mengundang konflik dan menjejaskan ketenteraman awam.
Terdahulu dalam sesi penerangan khas yang turut dihadiri petugas The Merdeka Times, wakil penduduk ada menanyakan tentang prosedur bantahan, termasuklah menaikkan kain rentang bantahan.
The Merdeka Times pada 3 Ogos lalu mendedahkan mengenai bantahan 5,000 penduduk Damansara Damai terhadap pembinaan kuil di kawasan majoriti penduduk beragama Islam itu.
Ini merupakan kali ketiga bantahan dibuat penduduk sejak 2017 dan bantahan kedua pada 2019 menyebabkan pembinaan kuil itu ditangguhkan sementara.
Pembinaan kuil itu dibantah penduduk setempat atas tiga alasan iaitu jalan keluar masuk sempit; majoriti penduduk Apartmen Impian adalah Melayu/Islam dan ketiga; kebimbangan pengunjung luar tidak sensitif bila mengunjungi kuil itu (jika dibina) sekaligus ancaman risiko ketenteraman penduduk setempat.
Usaha The Merdeka Times untuk mendapatkan komen MBPJ berhubung isu bantahan pembinaan kuil di Damansara Damai sejak minggu lalu, masih belum menerima sebarang maklum balas. – The Merdeka Times